Anda pasti telah terbaca, atau terdengar nama Zika disebut-sebut sejak kebelakangan ini. Amaran tentang Zika yang sedang melanda beberapa kawasan di luar negara (dan kini Malaysia) membuatkan netizen tertanya-tanya;
“Saya mengandung, apa akan terjadi jika saya dijangkiti Zika?”
“Zika tu apa? Siapa?”
Mari kita berkenalan dengan Zika.
Zika merupakan jangkitan virus yang agak serupa dengan denggi dan chikugunya. Ianya disebarkan melalui gigitan nyamuk spesis aedes yang aktif di siang hari.
Jika dijangkiti virus Zika, 1 dalam 5 pesakit akan menunjukkan simtom-simtom seperti demam, sakit tubuh badan dan sendi, kepenatan, sakit kepala, mata merah dan bintik-bintik merah di kulit. Simtom-simtom Zika ini selalunya tidak teruk dan amat jarang bagi pesakit memerlukan rawatan sebagai pesakit wad. Hal ini berlainan bagi pesakit yang mengandung. Kita akan bincangkan perihal Zika dan wanita hamil sebentar lagi.
Diagnosis Zika dibuat dengan mengenalpasti simtom, bertanya perihal percutian ke luar negara dan memastikan bahawa pesakit bukan menghidapi jangkitan lain seperti demam denggi, chikugunya, campak atau rubella. Selepas dijangkiti, Zika mempunyai tempoh inkubasi selama 3-12 hari. Meskipun tiada ubat untuk jangkitan Zika, simtom-simtom penghidap Zika akan hilang sendiri dalam masa seminggu.
Rawatan
Setakat ini, tiada vaksin atau ubatan untuk penghidap Zika. Jika dijangkiti, rawatan cumalah berdasarkan simtom. Oleh itu :
- Rehat secukupnya
- Minum banyak air masak untuk mengelakkan dehidrasi
- Ambil Panadol/paracetamol untuk mengurangkan demam
- Jauhi ubatan dari kumpulan non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) seperti aspirin, ponstan, ibuprofen hingga denggi telah dikecualikan (untuk mengelakkan risiko denggi berdarah)
- Elakkan gigitan nyamuk pada minggu pertama jangkitan, memandangkan nyamuk merupakan pembawa/vector bagi zika
Zika dan Wanita Hamil
Berdasarkan laporan setakat ini, adalah dibimbangkan jika wanita yang hamil dijangkiti Zika, terdapat potensi untuk jangkitan itu menular kepada bayi di dalam kandungan. Beberapa kes telah melaporkan keadaan bayi yang dilahirkan tidak normal setelah ibu yang sedang hamil terkena jangkitan.
Laporan terbaru dari Brazil menunjukkan potensi anak-anak dari ibu hamil yang dijangkiti Zika telah dilahirkan dengan simtom microcephaly. Microcephaly adalah satu kondisi neurologi dimana kepala bayi adalah jauh lebih kecil bila dibandingkan dengan bayi lain yang sama umur dan jantina. Bayi atau kanak-kanak dengan microcephaly selalunya menunjukkan masalah dalam perkembangan neurologi dan kognitif. Walaubagaimanapun, perkara ini memerlukan siasatan dan penyelidikan sepenuhnya di tahap global.
Oleh kerana masih banyak persoalan tentang kesan Zika pada wanita hamil dan janinnya, wanita yang sedang hamil atau berhasrat untuk hamil dalam masa yang terdekat dinasihatkan supaya tidak melancong ke negara-negara atau kawasan yang diketahui sebagai kawasan Zika. Jika tidak dapat menjauhi kawasan terbabit, wanita-wanita hamil perlu memastikan mereka dapat menghindari gigitan nyamuk. Oleh itu :
- Pakai pakaian yang menutupi seluruh tubuh (lengan dan kaki)
- Guna insect repellent yang mengandungi DEET, picaridin, minyak limau eucalyptus (OLE), atau IR3535. Sentiasa baca arahan pengguna.
- Insect repellents yang mengandungi DEET, picaridin, dan IR3535 adalah selamat untuk digunakan sewaktu hamil, ibu yang menyusu dan kanak-kanak lebih 2 bulan jika digunakan menurut arahan pengguna. Minyak limau eucalyptus tidak sesuai untuk digunakan oleh bayi di bawah umur 3 tahun.
- Jika menggunakan pelindung matahari dan insect repellent, sapu pelindung matahari dahulu sebelum repellent.
- Guna kelambu jika perlu
- Tidur di dalam bilik yang berhawa dingin atau terlindung dari nyamuk.
- Musnahkan kawasan pembiakan nyamuk
(dipetik dari New Zealand Ministry of Health)
Sekiranya anda hamil dan menunjukkan simtom bintik-bintik merah, mata merah (konjunktivitis), demam dan sakit sendi dalam masa 14 hari selepas berada di kawasan yang dilanda Zika, jumpa doctor dengan kadar segera.
Rujukan:
- Zika Virus Outside Africa, Emerging Infectious Disease Journal; Vol 15, No 9 – Sept 2009
- CDC leaflet – Zika Symptoms, Diagnosis & Treatment
- http://ecdc.europa.eu/en/healthtopics/zika_virus_infection/factsheet-health-professionals/Pages/factsheet_health_professionals.aspx
- http://www.health.govt.nz/our-work/diseases-and-conditions/zika-virus
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]