Apa yang dimaksudkan dengan hepatitis?
Hepatitis bermaksud radang hati. Hati adalah salah satu organ terbesar dan terpenting di dalam tubuh badan kita. Ia terlibat dalam pemprosesan nutrien, penghasilan antibodi, dan pembuangan lebihan cecair hempedu, kolesterol serta ubat-ubatan yang diambil oleh kita. Ini semua bertujuan untuk mengekalkan badan dalam keadaan sihat. Radang kepada hati berpunca daripada bermacam-macam sebab antaranya ialah minuman beralkohol, ubat-ubatan terlarang, keracunan ubat, auto-immune dan jangkitan virus hepatitis.
Virus hepatitis adalah terdiri dari sekumpulan virus yang boleh menyebabkan penyakit berjangkit dan radang hati. Virus-virus ini dikenali sebagai virus hepatitis A, B, C, D dan E. Di negara-negara membangun seperti Malaysia, masalah utama yang menyebabkan kerosakan hati adalah disebabkan oleh virus hepatitis B dan C. Virus hepatitis B dan C ini menyebabkan radang hati akut dan kronik dan menjadi punca kematian hampir 1.4 juta orang setiap tahun. Malangnya, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kira-kira hanya 5% penduduk dunia menyedari akan jangkitan hepatitis ini.
Bagaimanakah cara virus ini merebak dan apakah cara-cara pencegahannya?
Virus hepatitis B dan C merebak dengan beberapa cara. Bagi hepatitis B, cara paling biasa adalah dari ibu kepada anak. Ini adalah cara paling kerap ditemui terutama di bahagian Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura. Bagi hepatitis C, cara jangkitan yang paling biasa adalah melalui pemindahan darah dari pesakit hepatitis C. Walaupun demikian, ada beberapa cara jangkitan yang dikongsi oleh kedua-dua virus ini iaitu, perkongsian jarum suntikan, pemindahan darah atau secara seksual.
Cara mencegah daripada terkena virus hepatitis ini adalah dengan mengelakkan perkongsian jarum suntikan dan hubungan seks rambang. Walau bagaimanapun, bagi ibu-ibu mengandung yang menghidapi hepatitis B, adalah sukar untuk menjangka kandungan akan menjadi pembawa hepatitis B atau tidak. Namun demikian, risiko untuk jangkitan kepada bayi yang lahir dari ibu pembawa hepatitis B adalah rendah. Satu lagi langkah pencegahan untuk hepatitis B yang paling berkesan adalah melalui vaksin. Penghasilan vaksin untuk melawan hepatitis B telah pun bermula sejak akhir tahun 70-an dan pada 1982-1986 vaksin hepatitis B telah diwajibkan kepada semua bayi yang baru lahir di Malaysia. Oleh sebab program vaksinisasi inilah, bilangan pesakit hepatitis B telah turun mendadak dan komplikasi akibat hepatitis B semakin berkurangan. Malangnya tiada vaksin yang dihasilkan untuk hepatitis C buat masa ini.
Siapakah yang patut menjalani ujian saringan hepatitis ini?
Semua yang terdedah kepada risiko jangkitan seperti yang dinyatakan di atas adalah perlu menjalani ujian saringan ini. Sekiranya anda pernah menerima pemindahan darah sebelum tahun 1992, anda juga dikehendaki menjalani ujian saringan kerana sebelum tahun 1992 kebanyakan darah tidak menjalani saringan virus hepatitis C. Adik-beradik kepada pembawa hepatitis B juga disarankan untuk menjalani ujian saringan hepatitis B tetapi ini tidak terpakai bagi hepatitis C. Ibu-ibu mengandung adalah digalakkan untuk menjalani ujian saringan ini. Pada ketika ini, ujian saringan bagi hepatitis B dan C tidak diwajibkan sepertimana ujian saringan HIV bagi ibu mengandung. Sekiranya anda termasuk dikalangan yang berisiko, sebaik-baiknya ujian saringan hepatitis B dan C ini hendaklah dijalankan.
Apakah tanda-tanda dijangkiti virus hepatitis B atau C?
Kebanyakan pembawa virus hepatitis B dan C tidak mempunyai tanda-tanda yang mereka menghidapi penyakit hepatitis B atau C. Pembawa virus ini boleh hidup seperti orang lain tanpa dikesan. Hanya sebilangan yang dijangkiti virus ini akan memberikan tanda seperti demam, loya, muntah-muntah, sengal-sengal badan dan paling ketara adalah jaundis, iaitu kekuningan dibahagian putih mata. Kebanyakan akan pulih sendiri dengan rawatan yang minimum namun ada yang akan kekal sebagai pembawa virus hepatitis. Oleh kerana tanda-tanda jangkitan virus hepatitis B dan C tidak terlalu menonjol, ramai yang tidak tahu akan bahayanya hepatitis B dan C ini kerana virus ini lebih bersifat ‘senyap’.
Apakah komplikasi jangkitan hepatitis?
Memandangkan kebanyakan pembawa tidak mempunyai simptom, kegagalan untuk mengenalpasti dirinya sebagai pembawa akan mendedahkannya kepada komplikasi-komplikasi lewat akibat hepatitis. Virus hepatitis menyebabkan radang pada hati. Akibat radang yang berpanjangan, hati boleh menjadi ‘keras’ atau dipanggil ‘cirrhosis‘. Apabila berlaku cirrhosis ini, maka ia akan menyebabkan tekanan tinggi di dalam salur darah di dalam abdomen. Tekanan yang tinggi inilah akhirnya akan menyebabkan salur-salur darah di dalam abdomen membengkak dan menyebabkan cecair berkumpul di abdomen atau dipanggil ‘busung’ dan paling ketara apabila kedua-dua belah kaki mula membengkak. Sekiranya tekanan didalam salur darah ini terlalu tinggi, salur darah ini akan pecah dan pesakit akan mula muntah darah. Komplikasi yang paling teruk ialah apabila hati mula gagal berfungsi dimana pesakit akan mula menjadi celaru dan akhirnya tidak sedarkan diri. Komplikasi lain akibat cirrhosis ini adalah kanser hati. Majoriti pesakit kanser hati datang ke hospital apabila telah sampai ke tahap akhir kanser kerana mereka tidak tahu bahawa mereka adalah pembawa virus hepatitis. Kanser hati adalah sangat sukar dirawat sekiranya berada ditahap pertengahan atau akhir. Hanya diperingkat permulaan kanser, ianya mampu dirawat dengan berkesan. Oleh sebab itulah, kesedaran orang ramai mengenai hepatitis B dan C ini harus ditingkatkan supaya komplikasi-komplikasi akibat hepatitis ini dapat dielakkan.
Adakah terdapat rawatan bagi hepatitis B dan C?
Sekiranya positif kali pertama sebagai pembawa hepatitis B atau C, kebiasaannya ujian untuk pengesahan akan dilakukan sekali lagi. Keputusan darah hendaklah dibawa ke klinik terdekat dan doktor akan membuat surat rujukan ke doktor pakar perubatan/hepatologi di hospital terdekat. Kebanyakan pesakit hepatitis B adalah pembawa kronik dan tidak memerlukan ubat untuk melawan hepatitis B. Namun demikian, lawatan susulan ke hospital adalah perlu bagi pengesanan awal masalah berkait dengan hepatitis iaitu cirrhosis dan kanser hati. Dalam pada masa yang sama, fungsi hati dan ujian ultrabunyi hati akan dilakukan dari masa ke semasa. Bagi pembawa virus hepatitis B, sekiranya fungsi hati menunjukkan tanda-tanda radang atau ujian ultrabunyi hati menunjukkan tanda awal cirrhosis, rawatan mungkin diperlukan untuk melawan virus hepatitis B ini. Rawatan dengan ubatan anti-virus mungkin diperlukan untuk jangkamasa yang lama sehinggalah badan menunjukkan tanda virus telah dikurangkan atau dihapuskan. Ini berbeza dengan pembawa virus hepatitis C, dimana semua pembawa yang belum menunjukkan tanda cirrhosis hati yang teruk perlu diberi rawatan. Buat masa ini rawatan untuk hepatitis C adalah sangat efektif dan jangkamasa rawatan adalah tidak terlalu lama, namun begitu kos rawatan adalah terlalu mahal. Dengan penemuan ubat baru ini hepatitis C boleh disembuhkan dan komplikasi akibatnya boleh dielakkan.
Artikel ditulis bersempena dengan ‘Hari Hepatitis Sedunia 2016 pada 28 Julai 2016′
Artikel ini ditulis oleh Professor Madya Dr Ahmad Najib Azmi Pakar Perubatan Gastroenterologi dan Hepatologi Universiti Sains Islam Malaysia.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]