10 Cara untuk Menyampaikan Keadaan Kesihatan kepada Pesakit dengan Lebih Baik – Dr Shaiful Ehsan

“Encik, keputusan darah encik nampaknya tidak seperti yang kita jangkakan”

 

Itu adalah antara ungkapan yang amat sukar untuk dimulakan oleh pihak doktor ketika ingin menyampaikan berita yang agak kurang menyenangkan kepada pesakit. Ya, ini lebih melibatkan sesuatu yang boleh mengubah masa depan seseorang termasuklah nyawa seperti ketumbuhan mahupun kualiti kehidupan dan stigma masyarakat seperti jangkitan kuman virus HIV (Human Immunodeficiency Virus).

Namun, sebagai pengamal perubatan, kita sebenarnya tidak akan dapat lari daripada memberitahu keputusan dan maklumat berkaitan penyakit yang telah disahkan dihidapi oleh pesakit setiap hari. Oleh itu, persediaan yang sesuai amatlah perlu dalam menghadapi situasi ini. Terdapat beberapa langkah yang boleh diikuti:

  1. Persediaan: Pastikan kita memahami setiap maklumat yang ada dengan rapi berkenaan latar belakang pesakit dan penyakit yang dialami. Keputusan yang berkaitan juga hendaklah tepat dan lengkap untuk diterangkan. Kita juga hendaklah memahami dengan siapa pesakit ingin ada bersama-sama ketika keputusan disampaikan. Keadaan di ruang klinik juga hendaklah selesa dan sebaik-baiknya bebas dari gangguan. Jika boleh, hendaklah pada masa tersebut pihak doktor dalam keadaan yang selesa dan tidak terburu-buru, begitu juga dengan pesakit. Jika berada di hospital, hendaklah memberitahu pesakit dalam keadaan duduk dan sama kedudukan dengan pesakit dan jauh dari hiruk pikuk kesibukan di wad. Suasana terbaik adalah di dalam bilik perbincangan.
  2. Pengetahuan: Pastikan setakat mana pesakit memahami keadaaan penyakit yang dihadapi setakat ini dan keputusan-keputusan yang telah diperolehi sebelum memulakan perbincangan dan memberi maklumat baru. Ini boleh dimulakan dengan bertanya kepada pesakit berkenaan dengan keadaan pesakit ketika mula mendapatkan rawatan dan sejauh mana pihak doktor sudah memberi maklumat berkenaan perkembangan penyakit yang dihadapi. Ini adalah penting supaya keputusan yang kita bakal berikan tidak memberi kejutan yang melampau kepada pihak pesakit kerana pesakit dapat mengimbau kembali segala yang telah dihadapi setakat ini.
  3. Maklumat tambahan: Pihak doctor perlulah bertanya kepada pesakit terlebih dahulu setakat mana maklumat yang ingin didengari pada hari tersebut. Ini kerana ada pesakit yang belum bersedia untuk menerima segala maklumat sepenuhnya dalam satu masa. Ada di antara mereka yang hanya ingin mendengar berkaitan baik buruk berita sahaja dan memerlukan penyampaian sepenuhnya ditangguhkan sehingga rasa lebih tenang termasuklah berkenaan rawatan dan rancangan lanjut.
  4. Berikan petanda: Pihak doktor juga hendaklah memberikan petanda kepada pesakit terlebih awal pada permulaan perbicaraan tetapi dalam nada dan fasa yang lebih perlahan dan kuanntiti yang sedikit. Sebagai contoh seperti penggunaan ayat pemberitahuan pada artikel ini: “Encik….(berhenti) keputusan darah encik (berhenti)…. nampaknya (berhenti) …..tidak seperti (berhenti) ……yang kita jangkakan”. Kemudian, biarkan pesakit sendiri bertanya dengan lebih lanjut sebelum meneruskan penerangan yang seterusnya. Petanda ini penting untuk membolehkan pesakit memahami bahawa keadaan dan keputusan pemeriksaannya pada masa itu adalah tidak baik.
  5. Benarkan penafian: Biarkan pihak pesakit cuba untuk mengawal keadaan pada masa itu dengan nada penafian. Adalah sesuatu yang normal bagi pesakit memberikan reaksi tidak setuju apabila mendapat berita yang tidak diharapkan. Biarkan juga pesakit mengawal sejauh mana maklumat yang ingin diterima pada masa itu. Ada pesakit yang berasa ingin pulang ke rumah dengan segera dan tidak mahu mendengar lagi maklumat lain pada masa itu. Benarkan perbincangan berakhir dengan lebih awal tetapi pastikan mereka balik dengan keadaan yang stabil dan selamat.
  6. Terangkan lebih lanjut: Jika dipohon atau dipersetujui oleh pesakit, pihak doktor boleh terus meneruskan penerangan secara beransur-ansur. Ada kalanya pesakit tidak dapat mengingati kesemua maklumat tetapi mereka akan senantiasa mengingati cara dan nada yang diberikan oleh pihak doctor ketika bercakap dengan mereka. Justeru, kebolehan berkomunikasi dalam keadaan yang penuh bersimpati dan memahami amat membantu pesakit untuk mendengar dengan lebih lanjut.
  7. Dengar dengan teliti: Berikan ruang untuk pesakit menunjukkan reaksi termasuklah menangis mahupun merintih. Berikan tanda sokongan dengan diam seketika dan menghulurkan tisu atau kain mengelap tangisan. Kemudian berbicaralah kepada pesakit berkenaan perasaan dan perkara yang membimbangkannya pada masa itu. Tunjukkan yang kita boleh mendengar dengan teliti dan mampu mententeramkan pesakit pada masa itu. Ambil peduli akan setiap kata-kata pesakit dan isu yang ingin mereka ketengahkan pada masa itu. Setiap perkara perlulah dirungkaikan dengan baik.
  8. Sokong perasaan pesakit: Ini termasuklah dengan menyatakan kepada pesakit bahawa perkara yang baru sahaja disampaikan semestinya agak menyedihkan dan tidak salah untuk mereka menangis atau berasa sedih pada masa itu. Cuba bercakap dengan nada perlahan dengan pesakit tetapi masih dalam keadaan yang professional. Terus berikan sokongan kepada pesakit pada masa perbincangan dilakukan.
  9. Berikan rumusan dan rancangan rawatan: Pihak doktor hendaklah memberikan rumusan dan imbasan terhadap apa yang telah dibincangkan pada masa itu. Ini membolehkan segala salah fahaman berkenaan maklumat dapat diperjelaskan dengan baik. Huraikan kebimbangan yang wujud dan apa langkah-langkah yang boleh diambil oleh pihak doktor dan pihak pesakit dalam usaha memberikan rawatan yang terbaik dan membolehkan pesakit menikmati kehidupan yang lebih berkualiti. Berikan maklumat rancangan rawatan yang lebih mudah untuk difahami termasuklah dalam bentuk tulisan mahupun pnerangan dalam bentuk gambar.
  10. Berikan saluran tambahan: Sebelum perbincangan berakhir, berikan saluran-saluran tambahan yang mana pesakit boleh hubungi untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut. Ini termasuklah merujuk pesakit kepada pihak yang lebih pakar dalam rawatan berkaitan atau merujuk kepada pihak kaunselor sekiranya pesakit berada dalam keadaan yang rungsing dan tegang. Beritahu kepada pesakit cara-cara untuk mengawal tekanan. Rujuk pesakit kepada badan-badan kerajaan yang boleh memberi bantuan kewangan untuk kos rawatan yang mahal.

Dalam erti kata lain, cara seseorang doktor mengendalikan perbincangan dan penerangan sebenarnya sudah mampu memberi kepuasan hati kepada pesakit yang sedang ditimpa musibah dengan penyakit yang teruk. Ada di antara pesakit dapat merasakan separuh dari beban mereka itu hilang apabila dapat berjumpa dengan doktor yang memahami dan mengambil berat. Yakinlah, setiap masa yang kita luangkan dengan pesakit adalah amat berbaloi.

Rujukan:

John Murtagh’s General Practice, Fifth Edition 2011, McGraw-Hill.

John Murtagh’s Patient Education, Fifth Edition 2008, McGraw-Hill.

Communication Skills for Final MB: A Guide to Success in the OSCE, 2006, Elsevier.

 

Dr. Shaiful Ehsan sedang melanjutkan pelajaran beliau untuk menjadi seorang Pakar Perubatan Keluarga dan kini merupakan seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box