Kini dunia digegarkan dengan penularan wabak 2019 Novel-Coronavirus (n-Cov) yang mula dilaporkan di Wuhan, China pada 31 Disember 2019. Sehingga 31 Januari 2020, bilangan kematian meningkat kepada 259 orang, dan 11,000 kes telah disahkan n-Cov di China. Ini tidak termasuk beberapa kes yang telah dikenalpasti positif n-Cov juga merebak ke negara luar dari China termasuk Singapura, Thailand dan Malaysia. Pada 30 Januari 2020, pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak coronavirus sebagai darurat kesihatan global (WHO, 2020).
Selaras dengan itu, pihak WHO juga telah mengeluarkan empat saranan pencegahan, iaitu kerap mencuci tangan, menutup mulut dan hidung ketika bersin dan batuk, masak daging dan telur dengan sempurna dan elakkan sentuhan dengan individu yang mempunyai gejala (WHO 2020; Portal Kementerian Kesihatan Malaysia, 2020). Mencegah sememangnya langkah bijak yang lebih baik daripada mengubati kerana pihak perubatan masih belum menemui rawatan khusus untuk pengidap n-cov ini.
Mungkin semua orang tahu mencuci tangan, tetapi mungkin kita kurang ambil perhatian mengenai cara-cara yang tepat dan betul untuk mencuci tangan. Di sini saya ingin berkongsi 5 langkah mudah yang sepatutnya dibuat semasa mencuci tangan. Membasuh tangan dengan air dan sabun adalah yang terbaik untuk membasmi kuman (CDC, 2020).
Pertama: Pastikan tangan dicuci menggunakan air mengalir yang bersih. Basahkan kedua tangan.
Kedua: Ambil sabun pencuci tangan dan letakkan di atas tapak tangan.
Ketiga: Gosok kedua-dua tapak tangan termasuklah bahagian atas tangan (atau belakang tapak tangan). Pastikan celah-celah jari tangan kanan dan kiri, ibu jari, serta di bawah/celah kuku juga digosok. Proses ini haruslah dilakukan sekurang-kurangnya 20 saat.
Keempat: Bilas kedua-dua tangan dengan air mengalir yang bersih.
Kelima: Selepas tangan dicuci, lap tangan dengan kering menggunakan kain atau tuala tangan yang bersih atau keringkan tangan dengan menggunakan mesin pengering tangan.
Sekiranya tiada sabun, alternatif atau cara lain ialah menggunakan ‘alcohol-based hand-sanitizer’ yang mengandungi 60% kandungan alcohol. Walaubagaimanapun, mencuci tangan dengan ‘alcohol-based hand-sanitizer’ tidak mencegah semua jenis kuman, dan tidak berkesan mencuci tangan sekiranya tangan kotor dan berminyak.
Bagaimana pula cara yang betul menggunakan ‘alcohol-based hand-sanitizer’?
Pertama: Sapukan gel ‘hand-sanitizer’ tersebut ke atas tapak tangan. Baca label untuk memastikan banyak mana gel diperlukan.
Kedua: Sapukan kedua-dua telapak tangan.
Ketiga: Pastikan gel ‘hand-sanitizer’ tersebut meliputi ke seluruh bahagian kedua-dua tangan, jari dan celah kuku sehingga kering. Proses ini mengambil masa 20 saat.
Adalah diharapkan kita semua lebih peka terhadap cara-cara yang tepat dan betul untuk mencuci tangan dan jagalah kebersihan dan kesihatan kita semua. Cuci lah tangan sebelum, semasa dan selepas menyediakan makanan; sebelum makan, sebelum dan selepas merawat orang yang sakit terutamanya jika pesakit tersebut muntah-muntah dan mengalami cirit-birit; sebelum dan selepas mencuci luka; selepas keluar dari tandas; selepas membersihkan ‘pampers’/najis bayi; selepas menghembus hidung, batuk, atau selsema; selepas memegang haiwan peliharaan seperti kucing, atau anjing, atau menguruskan dan membersihkan najis haiwan tersebut; dan selepas memegang tong sampah atau selepas melakukan sebarang aktiviti yang mengotorkan tangan yang dikhuatiri mengundang kuman dan boleh menyebabkan kuman tersebut merebak.
Amalkan cara mencuci tangan yang tepat dan betul. Semoga anda dan keluarga anda serta masyarakat sekeliling semua terlindung daripada sebarang wabak penyakit. Ingatlah, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati (Prevention is better than cure!).
Dr Farizah Mohd Hairi adalah professor madya dan pakar perubatan kesihatan awam di Universiti Malaya.
Rujukan:
Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO Updates, 31 January, 2020
Portal Kementerian Kesihatan Malaysia. http://www.moh.gov.my; date accessed 1 February, 2020
Centers for Disease Control and Prevention, CDC US, Handwashing. http://www.cdc.gov; date accessed 1 February, 2020