7 Sebab Kenapa Mengabus (Fogging) Tidak Akan Membunuh Nyamuk – Dr Helmy Hazmi

Adakah kerja mengabus (fogging) berkesan?

Tidak, is tidak akan berkesan.

Tidak berkesan dalam jangka masa panjang mengawal denggi.

Kita telah buat kerja fogging sejak azali. Ia satu gejala denggi yang diketahui ramai. Anda boleh mendiagnos denggi dari jarak sekilometer jauhnya – dengan nampak kabus berkepul-kepul di udara kejiranan anda. Ia sangat terkenal sehinggakan masyarakat buat tidak endah dengan fogging/mengabus hinggakan menyangka asap rokok pun boleh menghalau nyamuk. Merokok tidak sihat. Mengabus boleh menyelamatkan nyawa.

Walaupun kesan khas yang berpunca daripada petugas jabatan kesihatan itu hampir sama bingit dan berasap-asap macam pembukaan konsert Van Halen dan Metallica, dampak pengabusan itu tidak kekal lama, tak sama macam pengalaman konsert rock pertama anda! Kepada sesetengah orang, melihat petugas jabatan kesihatan itu bekerja memberikan rasa selamat seolah-olah apa sahaja punca yang menyebabkan denggi sudah berjaya dikawal. Hakikatnya tidak!

Mari kita lihat beberapa sebab kenapa kita tidak boleh bergantung harap kepada fogging.

Mengabus hanya membunuh nyamuk dewasa.

Ya, ia boleh membunuh nyamuk dewasa dan mengurangkan bilangannya. Anda boleh rasa jumlah nyamuk berkurang ketika anda hendak tidur malam dan tak perlu menghalau pengacau-pengacau yang berdesing di telinga anda.

Tetapi itu hanya sementara.

Walaupun nyamuk dewasa telah terkorban, anak-anaknya – larva, hidup terlindung daripada wasap beracun, menanti hari-hari untuk bertukar menjadi nyamuk dewasa dan mengambil tempat mereka.

Mengabus tidak membunuh larva

Untuk membunuh anak-anak nyamuk – larvanya, bukan dengan cara mengabus. Sebagai peringatan, semua air bertakung, di dalam dan di luar rumah perlu dibuang. Air bersih yag bertakung cukup sesuai untuk pembiakan larva.

Dalam situasi anda tidak boleh membuang air yang terkumpul, seperti akuarium, air mandi dan tumbuhan berpasu, sila tambah abate ke dalam air untuk membunuh larva dan menghalang nyamuk melengkapkan kitar hidupnya. Inilah satu-satunya ketika anda diizinkan membunuh.

Abate boleh dibeli di farmasi. Jika jurujual tidak tahu apakah itu abate, katakan saja ‘ubat bunuh jentik-jentik’ atau apa saja istilah di tempat anda untuk mendapatkannya.

Anda tiada di rumah semasa kedatangan petugas kabus

Nyamuk dewasa giat mencari makan semasa subuh dan senja. Maka, mengabus dilakukan pada waktu itu untuk meningkatkan peluang berjaya membunuh nyamuk.

Memandangkan nyamuk juga aktif di dalam rumah, petugas kabus perlu masuk ke dalam rumah juga. Mereka tidak boleh masuk ke dalam rumah jika anda tiada di rumah. Nyamuk dewasa yang berada di dalam rumah boleh terselamat.

Anda tidak mengizinkan petugas kabus masuk

Dengan beberapa insiden kecederaan, kemudaratan dan penculikan, tuan-tuan rumah merasa ragu untuk membenarkan orang asing masuk ke dalam rumah.

Hak anda untuk tidak mengizinkan mereka masuk kerana bimbangkan keselamatan anda.

Tetapi lelaki-lelaki yang memikul mesin mengabus yang berat, berselubung dan memakai lencana Kementerian Kesihatan Malaysia – mustahil anda terlepas pandang mereka sebagai petugas kesihatan yang tulin, yang hanya menjalankan tugas – mencegah kejadian denggi kepada orang lain.

Sila ambil maklum, kejiranan yang dilanda denggi akan diberi makluman tentang kerja mengabus melalui risalah atau pengumuman. Jika masih ragu, anda boleh menelefon pejabat kesihatan tempatan untuk mengesahkan maklumat.

Anda risau wasap itu boleh membunuh diri anda juga.

“Tak, kamu tak boleh masuk, nanti kucing kami mati lepas kena semburan asap,” seorang wanita pencinta kucing berteriak di sebalik pagar rumahnya. Tolonglah makcik, ada orang nak mati ni!

Ada beberapa isu berkenaan kesan racun serangga ke atas manusia semasa mengabus. Kepekatan racun hanya membunuh nyamuk tetapi tidak cukup untuk membunuh haiwan seperti arnab atau kucing.

Tambahan pula, kerja mengabus itu suatu aktiviti bersasaran dan terhad. Bahan kimia yang digunakan boleh terurai dengan cahaya matahari. Ia tidak boleh berkumpul dan menyebabkan keracunan.

Dalam pada itu, jika racun kurang pekat, kita bimbang kerja mengabus itu tidak berkesan.

Mengabus dan penyenggaraan mesin mengabus itu mahal.

Mesin, seperti juga kereta, perlu senggaraan selepas cukup perbatuannya. Senggaraan boleh terabai apabila mesin mengabus terlebih digunakan dalam situasi wabak.

Muncung mesin kabus boleh tersumbat dengan kotoran. Akibatnya, asap yang terhasil hanyalah kabus putih yang menyebabkan batuk-batuk, tetapi nyamuk tetap sihat wal afiat.

Kekurangan kakitangan, mesin dan terlalu banyak wabak yang perlu ditangani

Dengan begitu banyak halangan, mengabus tidak dapat dilakukan dengan cekap jika terlalu banyak wabak pecah yang perlu dikawal.

Mengabus bukan sekadar menyembur ‘asap’ di persekitaran. Ada teknik-teknik yang harus dipatuhi. Selain daripada kepekatan racun serangga, keluasan muncung mesin, kelajuan petugas, teknik hayunan, hala mata angin dsb semuanya penting untuk membunuh lebih banyak nyamuk.

Bilangan wabak yang pecah telah membanjiri petugas kita hinggakan dalam satu laporan terkini, hanya 40% rumah yang diwasapkan dalam 5 hari selepas kes pertama dilapor. Ini duduk di bawah par, kerana sasaran kita ialah 85%.

Ke mana hala tuju kita?

Mengabus berkesan sebagai pukulan pertama untuk menghalang kemungkinan penularan wabak denggi. Pukulan demi pukulan, ibarat petinju yang kian letih, kekuatan wasap kabus akan berkurangan. Ia tidak lestari.

Sumber-sumber tenaga lain amat diperlukan agar petinju kekal gagah. Gatorade, kata-kata motivasi masa rehat dan sorakan penyokong akan mengobarkan semangatnya sehingga mencapai kemenangan. Begitulah juga perjuangan menentang denggi.

Mengabus bukanlah jawapannya. Yang betulnya ialah mengurangkan punca denggi. Ia perlu bermula dengan masyarakat. Bukan kaedah yang canggih pun – hanyalah kesedaran – jaga kebersihan, buang barang yang menakung air dan kita sudah pun menuju Malaysia yang bebas denggi.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Dr Helmy Hazmi ialah pakai perubatan masyarakat dengan pengkhususan dalam Epidemiologi dan Biostatistik. Sekarang beliau bertugas di tempat asalnya, Kuching, sebagai pensyarah perubatan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team. Artikel ini diterjemahkan oleh Azizul Ismie daripada https://www.mmgazette.com/7-reasons-why-fogging-will-not-kill-the-mosquitoes-dr-helmy-hazmi/

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box