- Penyusuan bayi dapat menyelamatkan nyawa semasa bencana melanda.
Susu ibu bukan sahaja mengandungi nutrisi lengkap untuk bayi, ia juga mengandungi antibodi yang dapat melidungi bayi dari jangkitan kuman dan penyakit. Semasa bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan sebagainya – kita terdedah dengan ancaman penyakit berjangkit seperti kolera, demam kepialu, cirit-birit dan sebagainya akibat persekitaran yang kotor, air yang tercemar dengan kumbahan dan bangkai haiwan. Kanak-kanak dan bayi terutamanya adalah golongan yang mudah diserang oleh penyakit dalam keadaan begini. Makanan yang paling selamat bagi bayi adalah susu ibu. Oleh itu – amat digalakkan untuk para ibu untuk meneruskan penyusuan di kala menghadapi bencana alam.2. Tekanan dan kelaparan tidak menjejaskan kualiti dan jumlah susu ibu yang dihasilkan
Kebanyakan ibu risau tidak dapat meneruskan penyusuan semasa bencana akibat tertekan dengan persekitaran serta mereka sendiri berfikir yang keadaan ibu yang lapar tidak mampu menghasilkan susu untuk bayi. Ini tidak benar sama sekali. Susu ibu dihasilkan dengan menggunakan stor simpanan di dalam badan ibu. Nutrisi yang dikandung dalam susu ibu tidak terjejas walaupun si ibu dalam keadaan kebuluran. Yang penting, si ibu perlu diberikan sokongan moral dan emosi untuk teruskan menyusu anak mereka. Kepada tenaga bantuan bencana alam, adalah penting untuk memastikan ibu-ibu yang menyusu mendapat ruang yang lebih privasi untuk memudahkan ibu menyusu dengan aman. Berikan keutamaan bekalan makanan untuk si ibu yang menyusu supaya mereka lebih bertenaga untuk meneruskan penyusuan dan menjaga keperluan bayi mereka. Jika jumlah susu badan berkurangan, galakkan ibu untuk menyusu lebih kerap – setiap 2 jam sekali atau 8-12 kali dalam sehari
- Bayi yang kurang sihat lebih memerlukan susu badan
Kanak-kanak dan bayi 5 kali lebih mudah meninggal dunia, mengalami dehidrasi melampau akibat diserang penyakit berjangkit khasnya diarrhea (cirit-birit). Bayi yang menyusu badan mempunyai kurang risiko untuk mengalami cirit-birit. Bagi bayi yang telah diserangkan penyakit, teruskan penyusuan bayi kerana susu ibu mengandungi faktor imun dan nutrien yang dapat membantu melawan penyakit. Malah susu ibu mengandungi kandungan air yang tinggi dan mampu mengurangkan risiko dehidrasi. Air kosong, teh, air garam atau ‘electrolyte solutions’ bukan lah alternatif yang sama baik jika dibandingkan dengan susu ibu.
- Bagi ibu yang tidak pernah menyusukan badan – mereka boleh memulakan semula penyusuan
Untuk ibu yang tidak pernah menyusu, mungkin mereka beranggapan adalah mustahil untuk mereka memulakan penyusuan semula khususnya semasa keadaan yang tertekan seperti bencana alam. Namun, tiada yang mustahil dalam hidup ini. Proses untuk memulakan penyusuan bayi dinamakan relaktasi. Ada banyak cara dan teknik yang boleh digunakan untuk memperkenalkan bayi kembali kepada penyusuan badan. - Susu formula boleh membahayakan bayi khususnya yang berusia kurang dari 6 bulan
Keadaan persekitaran yang kotor dan tiada bekalan air bersih atau kemudahan memasak boleh menyebabkan kesukaran untuk menyediakan susu formula yang selamat. Jika si ibu perlu memberi susu tepung formula untuk bayi atau anak mereka, diingatkan untuk HANYA menggunakan air bersih yang telah dididih sekurang-kurangnya 1 minit lebih pada suhu tinggi. Ini untuk memastikan kuman dalam air mati dan tidak membawa mudarat. Bekas susu yang digunakan juga perlu dibasuh dengan air bersih dan dinyahkuman dengan seeloknya. Bagi ibu yang menyusu badan secara langsung, langkah keselamatan ini tidak diperlukan kerana susu badan sudah dalam keadaan steril. - Penyusuan bayi memudahkan si ibu Bagi ibu yang menyusu badan – adalah mudah untuk mereka menyusu di mana-mana mereka berada. Malah, mereka boleh menggunakan kain gendong untuk membantu mereka menyusu ‘on-the-go’ di tempat awam ataupun keadaan bergerak sekalipun. Juga, mereka tidak memerlukan alatan tambahan seperti alat sterilisasi, botol susu, bekas air masak dan sebagainya untuk menyediakan susu mereka kerana susu badan sudah tersedia untuk digunakan. Ini memudahkan si ibu untuk bergerak menyelamatkan diri tanpa dibebankan untuk membawa bekalan susu tepung dan alatan tambahan untuk menyusu.
- Penyusuan bayi dapat menenangkan bayi dan ibu: Semasa menyusu – hormon oksitosin dirembeskan. Hormon ini berupaya untuk menenangkan emosi ibu yang tertekan akibat menghadapi bencana. Bayi yang menyusu juga senang ditenangkan kerana semasa menyusu, si bayi berada di dalam dakapan erat ibu. Keadaan ini menggalakkan rasa selamat dan aman bagi si bayi.
- Penyusuan bayi membantu regulasi suhu badan bayi: Semasa bencana, bayi terdedah dengan hawa sejuk dan panas persekitaran. Penyusuan bayi dapat melaraskan suhu bayi melalui mekanisma termoregulator yang diaktifkankan oleh dakapan kulit ibu ke kulit bayi secara langsung (direct skin to skin). Dengan cara ini kita dapat melindungi bayi dari kesan ‘hypothermia’
Rujukan:
http://www.ilca.org/i4a/pages/index.cfm?pageid=3733
http://www2.aap.org/breastfeeding/files/pdf/infantnutritiondisaster.pdf
Infografik atas ehsan Puan Rita Rahayu IBCLC bagi pihak Malaysian Breastfeeding Peer Counsellor
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]