Kaunseling Pemakanan kepada Ibu Hamil yang Mempunyai Kencing Manis – Dr Mohammad Hj. Che’ Man

Kawalan glukosa/gula semasa hamil adalah sangat penting untuk kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan. Ianya sangat penting untuk setiap trimester kehamilan bagi ibu mengandung yang mempunyai penyakit kencing manis. Ianya dapat dicapai dengan pemilihan makanan yang sesuai dan pengawalan berat ibu semasa mengandung. Mengikut kajian yang dijalankan, sesi kaunseling pemakanan dalam kumpulan yang kecil (seramai 2 hingga 4 orang) adalah sama berjaya dengan kaunseling individu untuk pencapaian paras glukosa yang baik. Gabungan antara penjagaan diet yang baik dan aktiviti fizikal telah menurunkan komplikasi kencing manis semasa mengandung sebanyak 18% berbanding dengan penjagaan yang ‘standard’. Mengikut kajian, pesakit kencing manis yang hamil yang menerima kaunseling diet sebelum mengandung dan mempunyai kawalan gula yang baik menunjukkan bahawa kadar komplikasi akibat kencing manis adalah rendah.

 

Makanan-makanan yang perlu dijaga bagi ibu hamil yang mempunyai kencing manis:

Makanan yang perlu dielakkan:

  • Mengandungi gula ringkas yang meningkatkan aras gula/glukosa dalam darah secara cepat. Contohnya adalah seperti:
  • Gula putih, gula merah, gula melaka,gula batu dan glukosa.
  • Madu, jem, kaya, halwa, susu pekat manis, sirap, minuman kordial, minuman ringan (karbonat).
  • Biskut manis, roti manis, kuih yang manis, kek, aiskrim, coklat.
  • Air tebu, air kelapa muda dan air nira.
  • Minuman dan makanan yang ditambah atau disalut dengan gula. Contohnya, jeruk buah-buahan dalam tin.

 

Makanan yang perlu dikawal:

  • Mengandungi gula kompleks yang diperlukan sebagai sumber tenaga untuk tubuh, diceraikan segala perlahan-lahan makan tidak akan meningkatkan aras glukosa darah dengan mendadak. Diambil mengikut nasihat pegawai dietetik atau pegawai sains pemakanan. Contohnya,
  • Bijirin dan hasilnya seperti roti, nasi, biskut, oat, kueh teow, capati, tosai, putu mayam, makaroni, iddli dan sphageti.
  • Sayuran berkanji.
  • Ubi kayu, ubi kentang, ubi keledek, keladi, labu, jagung, kacang peas, kacang panggang dan dhal.
  • Susu tepung, susu segar, susu sejat dan yogurt.
  • Semua jenis buah-buahan.

*Buah-buahan dan susu hendaklah diambil selepas atau semasa makan utama dan   elakkan diambil semasa perut kosong. Elak ambil jus buah tetapi ambil buah!

 

Makanan bebas dimakan:

  • Tidak mengandungi gula ringkas, maka ianya tidak mempengaruhi aras glukosa darah. Contohnya:
  • Minuman seperti air (panas atau sejuk), kopi atau teh o tanpa gula, teh herba, air mineral, air limau tanpa gula dan sup cair.
  • Sayuran atau ulam (kecuali sayur berkanji) seperti sawi, kubis, bayam, kalian, kangkung, kacang panjang, bendi, daun salad, bunga kubis, peria, pucuk paku, tomato, taugeh, cendawan dan terung.
  • Perasa dan perencah seperti bawang putih/merah, halia, cuka, serai, daun pandan, serbuk kari, cili, herba, akar kayu dan kunyit.

 

Contoh menu yang disarankan untuk ibu hamil yang mempunyai penyakit kencing manis:

 

Bersamaan 2000kcal

 

Sarapan pagi:

  • 2 keping roti bijirin penuh
  • 1 biji telur rebus
  • 1 gelas susu rendah lemak

Minum pagi:

  • 1 keping karipap
  • 1 gelas air kosong

 

Makan tengahari:

  • 1 ½ cawan nasi
  • 1 ketul dada ayam masak sup
  • ½ cawan bayam goreng
  • ½ biji jambu batu
  • 1 gelas air kosong

 

Petang:

  • 3 keping biskut berlemak
  • 1 gelas air kosong

 

Makan malam:

  • 1 ½ cawan nasi
  • 1 ekor ikan kembung asam pedas
  • ½ cawan sawi goreng
  • 1 potong tembikai susu
  • 1 gelas ais kosong

 

Minum malam:

1 gelas susu rendah lemak

 

ASST. PROF. DR. MOHAMMAD BIN HJ. CHE’ MAN

PENSYARAH PERUBATAN KLINIKAL/ PAKAR PERUBATAN KELUARGA

(MD. UKM, MMED, (FAMILY MEDICINE) USM)

SPECIAL INTEREST: MEN HEALTH, PRIMARY CARE DERMATOLOGY

 

DEPARTMENT OF FAMILY MEDICINE,

KULLIYYAH OF MEDICINE,

IIUM KUANTAN PAHANG.

 

RUJUKAN:

  1. Clinical practice guidelines, Management of Diabetes in Pregnancy 2017, Ministry of Health Malaysia.
  2. Perinatal Care Manual 3rd Edition 2013, Ministry of Health Malaysia.
  3. Clinical practice guideline, Management of Type 2 Diabetes Mellitus 5th Edition 2016, Ministry of Health Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box