Populasi warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas di Malaysia terus meningkat dan kumpulan ini berisiko untuk mendapat pelbagai masalah kesihatan termasuk kesihatan pergigian disebabkan perubahan fisiologi dalam proses penuaan serta amalan gaya hidup. Dalam aspek kesihatan mulut, warga emas berisiko untuk kehilangan gigi akibat masalah gusi, karies gigi dan mulut kering. Masalah kehilangan gigi di kalangan warga emas membawa kepada penggunaan gigi palsu.
Terdapat dua jenis gigi palsu (rujuk gambar);
i) gigi palsu penuh untuk mengganti semua gigi yang hilang
ii) gigi palsu separa untuk menggantikan beberapa gigi yang hilang, samada di rahang atas atau di rahang bawah mahupun kedua-duanya sekali.
Bahan yang digunakan bagi menghasilkan gigi palsu juga berbeza mengikut kesesuaian dan kemampuan pesakit.
Jangka hayat gigi palsu bergantung pada transformasi gusi, tulang rahang dan perubahan pada permukaan gigi palsu. Jika terdapat perubahan pada rongga mulut pesakit, penggunaan gigi palsu yang sama untuk jangka masa yang panjang akan memberi impak negatif kepada kesihatan mulut. Pesakit disarankan untuk mengganti gigi palsu setelah 7-10 tahun menggunakannya. Dalam tempoh ini selalunya berlaku perubahan fisiologi pada rongga mulut dan transformasi struktur gigi palsu, yang mungkin mengakibatkan gigi palsu tidak lagi sepadan dan berlakunya perubahan pada rupa paras pemakai. Antara tanda-tanda masalah pada gigi palsu adalah apabila pesakit tidak dapat mengunyah makanan dengan selesa, gigi palsu longgar, sukar untuk menyebut beberapa perkataan semasa bertutur, sakit semasa menggigit makanan atau terdapat kesan luka/ulser di kawasan tisu lembut tempat terletaknya gigi palsu. Oleh itu, penting bagi ahli keluarga untuk sentiasa peka pada perkara ini dan memahami keluhan warga emas tentang masalah yang di hadapi ketika menggunakan gigi palsu. Jika mereka mengadu tentang ketidakselesaan ketika menggunakan gigi palsu, segera ke klinik pergigian bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Permukaan gigi palsu juga boleh berubah warna, mempunyai kesan hakisan dan calar jika digunakan dalam tempoh masa yang lama. Seperti gigi asli, gigi palsu juga berisiko untuk mengalami perubahan warna dan bentuk terutamanya melalui tabiat merokok, pengambilan berterusan beberapa jenis makanan dan minuman berwarna dan juga bergantung kepada cara penjagaan gigi palsu tersebut. Adakala, bahagian gigi pada gigi palsu boleh terpisah dari bahagian tapak gigi palsu. Penggunaan gigi palsu yang retak ataupun patah perlu dielakkan kerana ia boleh menyebabkan pesakit tertelan serpihan gigi palsu. Elakkan juga cubaan untuk membaiki gigi palsu sendiri atau menerima servis dari pengamal yang tidak bertauliah. Masalah gigi palsu ini boleh diselesaikan di klinik gigi dengan cara membaiki atau menggantikan gigi palsu dengan gigi palsu yang baru.
Selain itu, jangka hayat gigi palsu juga bergantung kepada cara pemakaian dan penjagaan gigi palsu tersebut. Gigi palsu yang tidak dibersihkan dan dibiarkan kotor boleh menyebabkan pengumpulan plak dan kalkulus (karang) yang mengandungi bakteria dan fungus. Ia boleh mendatangkan kesan negatif pada tisu mulut, dan gigi yang masih ada bagi pemakai gigi palsu separa. Gigi palsu perlu di keluarkan dari mulut dan dibersihkan sekurang-kurangnya sehari sekali. Permukaan gigi palsu perlu di gosok dengan berus untuk menghilangkan sisa makanan dan plak. Sekiranya pesakit menggunakan pelekat gigi palsu (denture adhesive), pastikan ianya di bersihkan dengan sempurna samada di bahagian gusi mahukan pada permukaan gigi palsu tersebut. Selain itu, gigi palsu tidak boleh di pakai berterusan untuk tempoh 24 jam sehari, ia perlu dikeluarkan dan direndam di dalam air pada waktu malam untuk mengekalkan bentuk gigi palsu dan merehatkan tisu mulut. Pesakit tidak digalakkan memakai gigi palsu sewaktu tidur, ini kerana tekanan yang berpanjangan pada gusi dan tulang di bawah gigi palsu boleh mempercepatkan penyusutan tulang. Selain itu tidur dengan menggunakan gigi palsu boleh menjejaskan aliran air liur, peningkatan bakteria di dalam mulut dan akhirnya boleh memberi risiko untuk keadaan yang di panggil keradangan berpunca dari gigi palsu (denture stomatitis). Keadaan ini menyebabkan gusi dan lelangit menjadi radang kemerahan, bengkak, mulut berbau dan menyebabkan ketidakselesaan kepada pemakai gigi palsu.
Justeru itu, pengamal pergigian juga bertanggungjawab untuk memberi panduan kepada pesakit yang memakai gigi palsu tentang cara penjagaan yang betul dan tanda-tanda gigi palsu bermasalah. Bagi warga emas yang tidak mempunyai keupayaan untuk menguruskan diri, adalah menjadi tanggungjawab ahli keluarga atau penjaga untuk memastikan gigi palsu yang digunakan berfungsi dan sentiasa dalam keadaan bersih. Kajian menunjukkan kekurangan zat makanan, masalah pertuturan, pengambilan nutrisi yang lebih rendah dikalangan warga emas berkait rapat dengan pemakaian gigi palsu yang bermasalah. Gigi palsu yang berfungsi dengan baik boleh memberi impak positif kepada kualiti hidup warga emas.
Disediakan oleh
Prof Madya Dr Nosizana Mohd Salleh & Prof Madya Dr Nor Azlida Mohd Nor
Pensyarah Fakulti Pergigian, Universiti Malaya.
Sumber rujukan:
- Yen, Y.Y., Lee, H.E., Wu, Y.M., Lan, S.J., Wang, W.C., Du, J.K., Huang, S.T. and Hsu, K.J., 2015. Impact of removable dentures on oral health-related quality of life among elderly adults in Taiwan. BMC Oral Health, 15(1), pp.1-12.
- Taylor, M., Masood, M. and Mnatzaganian, G., 2021. Longevity of complete dentures: A systematic review and meta-analysis. The Journal of Prosthetic Dentistry, 125(4), pp.611-619.