Pencegahan dan Rawatan untuk Hepatitis – Pn. Sofhatun Nur Subhi (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi)

Pencegahan dan Rawatan untuk Hepatitis

Hepatitis merupakan keradangan hati yang lazimnya berpunca daripada jangkitan virus hepatitis. Hepatitis turut digelar sebagai “pembunuh senyap” kerana kebanyakan pesakit hepatitis tidak menunjukkan simptom atau tanda yang jelas pada peringkat awal. Mereka hanya menyedari penyakit ini pada tahap yang lebih serius dan telah mengalami komplikasi seperti sirosis dan kanser hati yang boleh membawa maut.

Menurut Laporan Hepatitis Global 2024 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit ini merupakan punca kematian berjangkit kedua tertinggi di seluruh dunia. Dianggarkan kira-kira 1.3 juta kematian setiap tahun akibat jangkitan virus ini, sama seperti tuberkulosis. Setiap hari, terdapat 3500 kematian di seluruh dunia akibat jangkitan hepatitis B dan C.

 

Jenis dan punca hepatitis

 

Terdapat beberapa jenis penyakit hepatitis bergantung kepada virus hepatitis yang menjangkiti iaitu A, B, C, D atau E.

  • Hepatitis A dan E biasanya boleh dijangkiti daripada makanan atau air tercemar yang mengandungi virus tersebut.
  • Hepatitis B atau C boleh dijangkiti melalui bendalir tubuh seperti darah dan cecair atau rembesan daripada alat sulit. Sebagai contoh, hepatitis B dan C berkemungkinan untuk dijangkiti menerusi perkongsian jarum suntikan, hubungan seks, luka atau ketika proses kelahiran.
  • Hepatitis D boleh dijangkiti melalui darah dan lazimnya mudah menjangkiti individu yang telah menghidap hepatitis B.

 

Walau bagaimanapun, tumpuan lebih diberikan kepada virus hepatitis jenis B dan C kerana kedua-duanya adalah penyebab utama kematian akibat hepatitis, bukan sahaja di Malaysia, tetapi seluruh dunia. Selain jangkitan virus, hepatitis juga boleh diakibatkan oleh beberapa faktor lain seperti pengambilan alkohol atau sesetengah jenis ubat secara berlebihan serta tindak balas autoimun badan.

 

Gejala bagi hepatitis

 

Pesakit yang menghidap hepatitis kronik seperti hepatitis B dan C kebiasaannya tidak menunjukkan gejala atau tanda yang jelas pada peringkat awal. Gejala hanya dialami apabila kerosakan pada fungsi hati telah menjadi semakin serius.

Antara gejala biasa hepatitis yang disebabkan oleh jangkitan termasuklah demam, loya, muntah, keletihan, sengal-sengal badan, sakit perut, kurang selera makan dan yang paling ketara ialah jaundis, iaitu kekuningan pada kulit dan di bahagian mata putih.

Suntikan vaksin untuk pencegahan hepatitis B di Malaysia

Pemberian vaksin hepatitis B dalam tempoh 24 jam selepas lahir didapati efektif dalam mencegah jangkitan virus hepatitis B hingga 95% dalam tempoh perinatal. Oleh sebab itu, KKM telah memberikan imunisasi vaksin hepatitis B sebanyak tiga dos kepada semua bayi di bawah Program Imunisasi Kebangsaan sejak tahun 1989.

Rawatan bagi hepatitis B

Rawatan bagi hepatitis B kebiasaannya diberikan kepada pesakit yang menghidap hepatitis B kronik. Keputusan untuk memulakan rawatan bergantung kepada beberapa faktor yang perlu dinilai oleh doktor yang merawat. Antaranya termasuklah tahap keradangan hati yang disebabkan oleh virus hepatitis, jangkitan lain yang dihidapi contohnya seperti hepatitis C atau HIV, serta tahap ketahanan tubuh pesakit. Rawatan yang diberikan dapat membantu melambatkan komplikasi daripada kerosakan hati berlaku dan mengelakkan penularan jangkitan hepatitis B daripada pesakit kepada individu lain.

 

Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh diberikan untuk merawat hepatitis B kronik, iaitu entecavir, tenofovir dan lamivudine. Ubat-ubatan ini bertindak ke atas virus hepatitis B untuk memperlahankan kerosakan yang berlaku pada hati. Sesetengah pesakit mungkin diberikan rawatan dengan satu jenis ubat manakala sebilangan yang lain mungkin memerlukan kombinasi dua jenis ubat.

Selain itu, terdapat juga suntikan interferon alfa yang berfungsi untuk menguatkan sistem imun tubuh bagi melawan jangkitan. Suntikan interferon alfa tidak boleh diberikan kepada wanita yang sedang hamil atau merancang untuk hamil. Kesan sampingan biasa yang dikaitkan dengan suntikan interferon alfa ialah loya, muntah, kemurungan dan kesukaran bernafas.

Rawatan bagi hepatitis C

Hepatitis C kronik boleh dirawat dengan ubat antiviral (directly acting antiviral, DAA) daripada kumpulan perencat nonstructural protein 5A (NS5A) dan perencat NS5B. Contoh DAA daripada kumpulan perencat NS5A ialah seperti daclatasvir, ledipasvir dan velpatasvir. Contoh DAA daripada kumpulan perencat NS5B pula ialah sofosbuvir. DAA ini bertindak secara langsung untuk merencat pembiakan virus hepatitis C.

Kebiasaannya, rawatan hepatitis C kronik akan melibatkan kombinasi DAA daripada kedua-dua kumpulan perencat NS5A dan perencat NS5B. Sesetengah pesakit pula turut diberikan tambahan ubat antiviral yang lain iaitu ribavirin untuk meningkatkan keberkesanan rawatan. Penggunaan DAA, sama ada dengan atau tanpa ribavirin tidak digalakkan untuk wanita yang hamil atau sedang menyusukan bayi.

Kesan sampingan yang biasa dialami oleh pesakit yang mengambil kombinasi daclatasvir dan sofosbuvir ialah sakit kepala, keletihan, loya dan cirit-birit. Kesan sampingan yang sama juga mungkin berlaku sekiranya pesakit turut diberikan ubat ribavirin, dengan tambahan kesan sampingan lain seperti pening, ruam, insomnia dan anemia.

Bukan itu sahaja, sesetengah pesakit hepatitis C kronik juga berkemungkinan diberikan suntikan interferon alfa. Sama seperti hepatitis B kronik, suntikan ini bertujuan untuk menguatkan ketahanan tubuh pesakit bagi melawan jangkitan virus.

Nasihat untuk orang awam dan pesakit hepatitis

 

Orang awam dan pesakit hepatitis dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan cara hidup yang sihat. Amalkan pemakanan yang seimbang dan gaya hidup aktif secara konsisten. Elakkan atau kurangkan pengambilan alkohol dan sentiasa mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sebarang ubat, suplemen kesihatan atau produk tradisional.

Selain itu, orang awam dan pesakit juga diingatkan untuk tidak berkongsi alat kebersihan diri peribadi tertentu seperti pengetip kuku, berus gigi, pisau cukur dan sebagainya. Amalan hubungan seks secara selamat juga dapat mencegah daripada penularan jangkitan. Pesakit hepatitis juga dinasihatkan agar tidak menderma darah kerana dikhuatiri boleh menyebabkan jangkitan kepada penerima darah yang lain.

Individu yang terdedah kepada risiko jangkitan virus hepatitis disaran agar menjalani ujian saringan untuk mengesan jangkitan. Langkah ini penting untuk membolehkan rawatan diberikan lebih awal. Ibu bapa juga hendaklah memastikan suntikan imunisasi hepatitis B yang lengkap diberikan kepada anak mengikut jadual yang telah ditetapkan menerusi Program Imunisasi Kebangsaan.

Kenali ubat anda, sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Center, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali cuti umum).

 

Artikel ini ditulis oleh Pn. Sofhatun Nur binti Subhi,  Ketua Penolong Pengarah Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.

 Rujukan:

 

  1. https://www.worldhepatitisday.org/
  2. https://www.cochrane.org/ms/CD011644/LIVER_rawatan-perubatan-bagi-jangkitan-virus-hepatitis-c-akut
  3. https://www.beritaharian.sg/kesihatan/hepatitis-%E2%80%9Cpembunuh-senyap%E2%80%9D
  4. https://www.mmgazette.com/virus-hepatitis-b-c-ketahui-hepatitis-bertindak-sekarang-professor-madya-dr-ahmad-najib-azmi/
  5. https://www.who.int/news-room/q-a-detail/what-is-hepatitis
  6. https://www.webmd.com/hepatitis/faq-viral-hepatitis
  7. https://www.cdc.gov/knowhepatitisb/faqs.htm
  8. https://www.uspharmacist.com/article/the-pharmacists-role-in-identifying-treating-and-preventing-chronic-hepatitis-c
  9. https://www.healthline.com/health/hepatitis#causes
  10. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/hepatitis-c/diagnosis-treatment/drc-20354284
  11. https://hepatitisc.net/treatment/direct-acting-antivirals
  12. https://www.cdc.gov/hepatitis-c/treatment/index.html
  13. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/hepatitis-b/diagnosis-treatment/drc-20366821
  14. https://www.cdc.gov/hepatitis-b/treatment/index.html
  15. https://quest3plus.bpfk.gov.my/pmo2/detail.php?type=product&id=MAL20032401A
  16. https://go.drugbank.com/drugs/DB09102

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box