Bulan Ramadhan yang dinanti-nanti kini tiba. Semestinya ramai yang sudah bersedia untuk berpuasa, termasuklah juga warga emas. Walau bagaimanapun, seringkali dikhuatiri akan keadaan bacaan gula yang rendah atau hypoglycaemia oleh warga emas ketika berpuasa. Namun, adakah punca pening di kalangan warga emas adalah akibat kekurangan gula?
Terdapat pelbagai definisi pening oleh pesakit. Ada yang mengatakan ianya sebagai sakit kepala. Ada juga yang mengaitkannya dengan rasa pitam. Namun apa yang dimaksudkan dalam penulisan ini adalah pening yang dikaitkan dengan keadaan diri seolah olah berpusing-pusing. Ianya boleh menyebabkan ketidak seimbangan badan, justeru boleh meningkatkan kejadian terjatuh di kalangan warga emas.
Punca-punca pening
Punca berlakunya pening di kalangan warga emas boleh disebabkan oleh sesuatu yang ringkas seperti jangkitan kuman atau demam, sehinggalah oleh penyakit yang lebih membimbangkan seperti ketumbuhan.
Antara sebab-sebab yang kerap berlaku adalah:
- Tekanan darah rendah – ini boleh terjadi ketika warga emas mengubah posisi meraka setelah baring atau duduk yang lama kepada kedudukan berdiri secara tiba-tiba
- Ubat-ubatan – Ini selalunya dikaitkan dengan ubat darah tinggi tertentu, ubat penenang mahupun ubat air kencing terkucil. Polypharmacy atau pengambilan ubat yang berlebihan dan interaksi ubat-ubatan juga mampu menyebabkan keadaan pening.
- Dehidrasi – Ini mudah berlaku ketika cuaca panas dan kurangnya pengambilan air minuman secukupnya
- Cedera pada kawasan telinga dalam yang boleh menjejaskan sistem keseimbangan
- Penyakit tidak berjangkit – seperti penyakit jantung, kencing manis ataupun masalah penglihatan yang teruk – samada disebabkan oleh kencing manis, selaput putih pada kanta mata (katarak) manupun rabun. Kencing manis boleh mengakibatkan kurang gula (hypoglycaemia) dan kenaikan gula yang akut dan teruk (acute hyperglycaemia). Masalah kekurangan darah seperti Anaemia juga boleh menyebabkan pening.
- Kereputan tulang – ini jika berlaku di kawasan berdekatan saraf, di mana boleh menghimpit saraf-saraf berdekatan, terutama di kawasan tengkuk (cervical)
- Emosi – keadaan cemas, kemurungan atau kebimbangan yang melampau di kalangan warga emas juga boleh menyebabkan keadaan pening.
- Angin ahmar / stroke – ini boleh dikaitkan dengan ketidak kawalan penyakit tidak berjangkit. Keadaan stroke boleh hadir dengan gejala setempat, sementara mahupun kekal.
- Penyakit-penyakit lain – yang boleh menyerang saraf seperti vestibular migraine (sakit pening yang teruk, biarpun tiada sakit kepala) dan penyakit Parkinson (Parkinson’s disease)
Yang manakah bahaya?
Untuk menjawab persoalan ini, kita sebagai masyarakat umum perlu lah mengambil cakna akan tanda-tanda yang boleh dikaitkan dengan keadaan di atas. Namun, sebagai langkah terbaik, secara menyeluruh, kita perlulah menganggap keadaan pening di kalangan warga emas adalah semuanya bahaya. Ini kerana adalah faktor umur dan kesan yang boleh berlaku akibat pening tersebut, samada sekejap ataupun berterusan iaitu jatuh disebabkan pening dan kecederaan serta pendaraan pada anggota badan mahupun kematian selepas jatuh. Justeru, segeralah mendapatkan pandangan pihak doktor akan kebarangkalian penyakit yang dihadapi.
Apakah tanda-tanda kekurangan gula di dalam darah?
Gejala-gejala kekurangan gula adalah pelbagai dan berbeza-beza mengikut individu dan tahap kekurangan yang berlaku. Antara yang sering dialami adalah gementar atau menggigil, berpeluh-peluh, rasa loya atau muntah, sangat letih dan lesu, merasa berdebar-debar atau bimbang dan juga pening kepala.
Langkah pencegahan
Pening di kalangan warga emas boleh dicegah dengan beberapa pendekatan umum:
- Senantiasa memastikan pengambilan air dan pemakanan sihat yang mencukupi. Elakkan berada di Kawasan yang terlalu panas buat masa yang lama
- Buat pemantauan keadaan Kesihatan secara berkala di klinik berdekatan. Pastikan tekanan darah dan bacaan gula berada pada tahap yang normal dan stabil
- Berbincang dengan pihak doktor dan farmasi berkenaan ubat-ubatan yang diambil
- Amalkan pergerakan ringan dan fizikal aktiviti setiap hari dalam keadaan yang selamat. Ini mampu memberi kekuatan otot dan badan
- Kawal stress dan senantiasa berada bersama keluarga. Elakkan perasaan sunyi. Banyakkan aktiviti kerohanian. Dapatkan rawatan jika mengalami kebimbangan atau kemurungan
- Pastikan keadaan di dalam rumah selamat dan sesuai untuk didiami oleh warga emas. Elakkan risiko kejatuhan.
- Sekiranya berpuasa, pastikan sudah berjumpa dengan pihak doktor untuk mengenalpasti perubahan ubat yang perlu dilakukan. Jangan sesekali tinggalkan sahur, dan bersegeralah berbuka puasa jika tiba masanya.
- Pesakit juga harus ambil cakna akan gejala-gejala kurang gula, dan mengambil langkah pantas seperti minum atau makan madu, air buah mahupun apa-apa makanan yang tersedia ada di rumah. Terus berjumpa dengan pihak Kesihatan untuk pemantauan dan rawatan segera.
Kesimpulannya, pening boleh berlaku pada sesiapa sahaja. Tetapi ianya agak membimbangkan jika berlaku pada warga emas. Warga emas yang sihat seharusnya mengaharungi usia mereka tanpa kebimbangan dan masalah Kesihatan yang teruk. Ini penting bagi mengekalkan kualiti hidup yang baik. Selamat berpuasa kepada semua.
Artikel ini ditulis oleh Dr Shaiful Ehsan (Pakar Perubatan Keluarga di International Islamic University Malaysia).
Rujukan
- Iwasaki S, Yamasoba T. Dizziness and Imbalance in the Elderly: Age-related Decline in the Vestibular System. Aging Dis. 2014 Feb 9;6(1):38-47. doi: 10.14336/AD.2014.0128.
- Casani AP, Gufoni M, Capobianco S. Current Insights into Treating Vertigo in Older Adults. Drugs Aging. 2021 Aug;38(8):655-670. doi: 10.1007/s40266-021-00877-z.
- UpToDate. (n.d.). Www.uptodate.com. https://www.uptodate.com/contents/causes-of-vertigo