Kebaikan Cahaya Matahari Dalam Mengawal Rabun Jauh (Miopia) – Diana Mohamed (Pegawai Optometri)

Danial pelik bagaimana anaknya boleh mengalami masalah rabun jauh sedangkan beliau dan isterinya tidak memakai cermin mata. Malahan keluarga mereka tidak ada yang memakai cermin mata melainkan setelah lewat usia. Anaknya Adam baru saja didiagnos mengalami masalah rabun jauh atau dikenali juga sebagai miopia. Danial seringkali sibuk dan jarang mempunyai masa untuk membawa keluarga untuk aktiviti rekreasi pada hujung minggu. Tablet memang dihadiahkan kepada Adam sempena hari lahirnya yang ke dua tahun tempoh hari sememangnya menjadi teman setia Adam. Adam yang sememangnya tidak berminat dengan aktiviti seperti berbasikal atau bermain bola kerana lebih memilih bermain permainan internet atau membaca siri komik kesukaannya.

 

Senario ini sering berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Dengan gaya hidup yang semakin terdedah dengan penggunaan skrin lantaran perkembangan teknologi yang tidak mampu diabaikan, masalah miopia menjadi semakin membimbangkan terutamanya di kalangan golongan kanak-kanak. Jika dahulu miopia begitu sinonim dengan perwarisan secara genetik, kini semakin ramai kanak-kanak mengalami masalah rabun akibat faktor persekitaran dan gaya hidup.

Miopia atau rabun jauh merupakan satu masalah penglihatan yang semakin meningkat secara global, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Dijangkakan menjelang tahun 2050, 50 peratus populasi dunia akan mengalami masalah rabun jauh. Malahan kini di Asia Timur seperti China telah pun mencatatkan hampir 80 peratus pelajar sekolah mengalami masalah miopia, 20 peratus daripadanya mengalami masalah miopia yang tinggi. Miopia berlaku apabila berlakunya pemanjangan bola mata yang menyebabkan titik fokus terbentuk di hadapan retina, bukan di fovea seperti yang sepatutnya sehingga menyebabkan kekaburan penglihatan jarak jauh. Peningkatan miopia boleh menyumbang kepada komplikasi penglihatan seperti lekangan retina, degenerasi macula, glaukoma dan katarak.

Para saintis berusaha mencari kaedah bagaimana untuk mengawal miopia daripada berlaku. Kajian terkini menunjukkan bahawa pendedahan kepada cahaya matahari mampu mengekang miopia dan juga terhadap perkembangan miopia. Artikel ini akan membincangkan bagaimana cahaya matahari dapat membantu dalam mengurangkan kadar perkembangan miopia berdasarkan bukti penyelidikan saintifik.

 

Pengaruh Cahaya Matahari terhadap Dopamin Retina

Kajian menunjukkan bahawa cahaya matahari merangsang pengeluaran dopamin di retina, yang bertindak sebagai agen menghalang pemanjangan bola mata yang menjadi punca utama miopia (Smith et al., 2012). Dalam kajian yang dijalankan oleh Ashby et al. (2009), didapati bahawa peningkatan tahap dopamin di retina membantu dalam mengekalkan bentuk normal bola mata dan mengurangkan risiko pemanjangan aksial yang berlebihan. Oleh itu, pendedahan yang mencukupi kepada cahaya matahari dapat mengawal perkembangan miopia dengan menggalakkan pelepasan dopamin yang stabil.

 

Pengurangan Kadar Miopia melalui Pendedahan Cahaya Matahari

Beberapa kajian menunjukkan terdapat hubungan antara masa yang dihabiskan di luar rumah dengan kadar miopia yang lebih rendah. Kajian oleh He et al. (2015) di China mendapati bahawa kanak-kanak yang menghabiskan sekurang-kurangnya dua jam sehari di luar rumah mempunyai risiko lebih rendah untuk mengalami miopia berbanding mereka yang kurang terdedah kepada cahaya matahari. Kajian Rose et al. (2008) juga menyokong penemuan ini, di mana pendedahan kepada cahaya matahari selama lebih daripada 14 jam seminggu dikaitkan dengan penurunan insiden miopia dalam kalangan kanak-kanak sekolah. Pencahayaan terang di luar rumah boleh membantu mengawal pertumbuhan aksial mata, yang mengurangkan risiko miopia (Ashby & Schaeffel, 2009). Terdapat juga kajian menunjukkan bahawa pendedahan kepada cahaya matahari lebih berkesan dalam mengawal miopia berbanding sekadar mengurangkan penggunaan peranti digital atau membaca pada jarak dekat (Wu et al., 2018).

 

Mengawal Ritma Sirkadian untuk Kesihatan Mata

Pendedahan kepada cahaya matahari juga bermanfaat untuk kesihatan mata secara keseluruhan. Cahaya matahari membantu dalam pengawalan ritma sirkadian, yang penting untuk tidur yang berkualiti dan keseimbangan hormon dalam badan (Figueiro & Rea, 2010). Tidur yang berkualiti juga dikaitkan dengan kesihatan mata yang lebih baik dan membantu mengurangkan ketegangan visual akibat penggunaan peranti digital yang berlebihan.

 

Langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengawal miopia daripada berlaku:

  1. Rancang aktiviti-aktiviti luar rumah bagi memastikan anak anda mendapat pendedahan terhadap cahaya matahari yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya 2 jam sehari. Galakkan anak-anak menghabiskan lebih banyak masa di luar rumah pada waktu petang melalui aktiviti seperti bermain di padang atau taman permainan, berbasikal, bermain bola ataupun aktiviti rekreasi yang lain.
  2. Aktiviti luar dapat mengurangkan tempoh skrin anak anda secara tidak langsung. Kawal penggunaan peranti berskrin dan juga aktiviti visual jarak dekat yang berlebihan seperti membaca dengan mengamalkan 20-20-20 iaitu 20 saat rehatkan mata melihat objek jauh sekurang-kurangnya 20 meter bagi setiap 20 minit aktiviti jarak dekat.

 

Kesimpulan

Pendedahan kepada cahaya matahari merupakan kaedah kawalan miopia semulajadi yang mudah dan tidak perlukan sebarang kos. Aktiviti luar sekurang-kurangnya 2 jam sehari mampu melambatkan proses pemanjangan mata yang boleh menyebabkan miopia. Gaya hidup dan faktor persekitaran kini menjadi punca miopia masakini. Oleh itu, ibu bapa perlu cakna dan melakukan perubahan gaya hidup demi kebaikan kesihatan mata anak-anak.

Artikel ini ditulis oleh Pn Diana Mohamed, Ketua Bidang Optometri Sabah yang bertugas di Hospital Queen Elizabeth Sabah.

Rujukan

  • Ashby, R. S., & Schaeffel, F. (2009). The effect of bright light on lens compensation in chicks. Investigative Ophthalmology & Visual Science, 50(11), 5348-5354.
  • Figueiro, M. G., & Rea, M. S. (2010). Lack of short-wavelength light during the school day delays dim light melatonin onset in middle school students. Neuro Endocrinology Letters, 31(1), 92-96.
  • He, M., Xiang, F., Zeng, Y., et al. (2015). Effect of time spent outdoors at school on the development of myopia among children in China: A randomized clinical trial. JAMA, 314(11), 1142-1148.
  • Rose, K. A., Morgan, I. G., Ip, J., et al. (2008). Outdoor activity reduces the prevalence of myopia in children. Ophthalmology, 115(8), 1279-1285.
  • Smith, E. L., Kee, C. S., Ramamirtham, R., et al. (2012). Peripheral vision can influence eye growth and refractive development in infant monkeys. Investigative Ophthalmology & Visual Science, 53(11), 6762-6769.
  • Wu, P. C., Tsai, C. L., Wu, H. L., et al. (2018). Outdoor activity during class recess reduces myopia onset and progression in school children. Ophthalmology, 125(8), 1239-1246.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box