Pengendalian manual sering kali dilakukan di tempat kerja kerana ia melibatkan hampir semua jenis aktiviti kerja dan ia mudah dilaksanakan dan menjimatkan masa. Pada masa yang sama, ia boleh menyebabkan kecederaan akibat sistem pengendalian manual yang lemah.
Pengendalian manual bermaksud sebarang aktiviti mengangkat, menurun, menolak, menarik, membawa, menggerak, mengalih, memegang atau menahan sebarang beban dengan cara manual.
Peruntukan perundangan berkaitan pengendalian manual adalah dengan merujuk kepada Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994 – Kewajipan majikan & orang berkerja sendiri [sek. 15 (2)(b)] di mana majikan mesti mewujudkan tempat kerja yang selamat dan sihat bukan sahaja bagi pekerjanya, tetapi juga bagi orang awam manakala Akta Kilang & Jentera 1967 menyebut tiada seorang boleh diambil bekerja untuk mengangkat, mengangkut atau mengalih sebarang beban berat sehingga berkemungkinan menyebabkan kecederaan anggota.[sek. 12]. Tujuan perundangan adalah untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja sentiasa dititikberatkan.
Risiko pengendalian manual
Aktiviti pengendalian manual melibatkan penggunaan tubuh badan pekerja di mana aktiviti ini secara langsung memberi kesan kepada anggota tubuh badan seperti otot-otot, tulang, urat saraf, pembuluh darah, urat (tendon) dan ligamen. Kemalangan, kecederaan, kematian/lumpuh, peningkatan kos, kehilangan tenaga kerja mahir dan seterusnya menjejaskan produktiviti dan kualiti produk/kerja boleh disebabkan oleh pengendalian manual. Antara faktor-faktor risiko di tempat kerja yang menjurus kepada masalah ini adalah kekemasan kerja yang tidak teratur, mengendali beban yang berlebihan, kerja yang dilakukan berulang-ulang tanpa memberi masa kepada anggota badan untuk pulih dan postur badan yang lemah/statik.
Punca kemalangan/kecederaan daripada pengendalian manual adalah terlepas beban yang dipegang, dihempap beban yang diletakkan, terjatuh bersama-sama beban yang dikendalikan atau tersentuh permukaan tajam beban.
Kecederaan akibat pengendalian manual (penyakit rangka tulang otot / Musculoskeletal diseases) boleh dibahagikan kepada kecederaan luaran iaitu luka, calar atau terkoyak bahagian anggota badan atau kecederaan dalaman seperti sindrom terowong karpal (carpal tunnel syndrome),’ tenosynovitis‘,’trigger finger’, ‘thoracic outlet syndrome‘ dan sebagainya.
Golongan perkerja yang manakah berisiko?
Jawapannya tentulah ‘semua pekerja yang melakukan kerja secara manual’ iaitu yang mengangkat beban yang berat dan besar ;
- berpusing menggunakan pinggang ketika mengangkat beban;
- menjangkau / capaian yang jauh
- mengangkat objek yang mempunyai pelbagai bentuk
- bekerja dalam kedudukan yang sulit/tidak selesa (awkward posture).
Strategi pengendalian yang selamat
Apakah yang patut anda lakukan? Terdapat 3 langkah asas pengendalian yang selamat iaitu:
1. Kenalpasti risiko
Antara kaedah mengenalpasti risiko di tempat kerja ialah dengan menyemak rekod kecederaan pekerja dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan anda di tempat kerja serta mendapat maklumbalas daripada doktor panel tempat kerja. Melakukan pemeriksaan tempat kerja secara berkala supaya bahaya-bahaya atau hazard boleh dikenalpasti dan diatasi sebelum menjadi suatu masalah. Selain daripada itu, temuduga terus dengan pekerja juga dapat memberi gambaran masalah mereka.
2. Taksir risiko
Bagi proses kerja pengendalian manual, ‘Layout’ tempat kerja, tempoh & kekerapan melakukan tugasan, jarak angkat/perpindahan beban, saiz dan keadaan beban di ambil kira. Satu kaedah yang boleh digunakan ialah ‘Job Hazard Analysis’; di mana analisa dijalankan ke atas tugas di lakukan dengan teliti.
3. Kawal risiko
Untuk mengatasi masalah pengendalian manual yang telah dikenalpasti, beberapa langkah boleh digunakan untuk tujuan tersebut seperti mengubahsuai layout tempat kerja supaya lebih teratur dan tiada halangan, ubah cara pemindahan beban, ubah suai kerja/tugasan, ubahsuai beban supaya menjadi lebih senang untuk dikendalikan, pelbagaikan pergerakan badan ketika mengendalikan beban dan juga pentingnya latihan di dalam aspek pengendalian manual.
Tips-tips pengendalian manual
- Kenalpasti tugasan/kerja yang hendak dijalankan
- Kenalpasti beban yang hendak dikendalikan
- Kenalpasti destinasi beban tersebut
- Taksir risiko yang bakal dihadapi
- Pilih kaedah pengendalian yang paling sesuai
- Buat perkiraan yang selamat sebelum kerja dimulakan
- Kaji sama ada berat beban boleh diagihkan
- Ubahsuai bentuk beban yang besar bagi kemudahan memegangnya
- Ubahsuai susun atur tempat kerja dan stesyen
- Cari alternatif terbaik (tolak, tarik, dan sebagainya)
- Kaji teknik mengangkat.
- Ubahsuai kaedah kerja dengan menggunakan peralatan bantuan
- Beri latihan bagi pekerja terlibat berkaitan kerja yang akan dijalankan
- Gunakan kaedah dan teknik yang betul
- Pastikan pelan kerja dipatuhi
Kesimpulan
Masalah pengendalian manual boleh menyebabkan kecederaan anggota luaran atau dalaman kepada pekerja. Kehendak perundangan ada menggariskan peruntukan berkaitan pengendalian manual dan rancangan pengendalian perlu mengambil kira beberapa faktor seperti berat, bentuk, saiz dan lain-lain keperluan. Ini diikuti dengan menggariskan langkah-langkah keselamatan sebelum dan semasa pengendalian manual untuk mengelak daripada penyakit rangka tulang otot atau musculoskeletal diseases.
Dr. Lim Jac Fang merupakan seorang pakar perubatan perkerjaan yang kini bertugas di Sabah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
Rujukan:
- Current occupational & environmental medicine: fourth edition – Joseph LaDou