Kencing Manis Pun Boleh Puasa? #HealthyRamadhan – KKM

Sumber: www.qmedicine.co.in

Sumber: www.qmedicine.co.in

Diabetes: Ramadan & Ubat

Pengenalan

Pada bulan Ramadan, umat Islam diwajibkan untuk berpuasa di antara terbit matahari hingga terbenam matahari iaitu 14 jam sehari. Mereka yang menghidap diabetes adalah digalakkan berpuasa dengan cara yang selamat. Walau bagaimanapun, Islam membenarkan pesakit yang mempunyai penyakit  serius seperti diabetes untuk berbuka puasa sekiranya boleh memudaratkan penyakit.

Antara keadaan yang tidak digalakkan berpuasa adalah seperti:

  1. Penyakit diabetes mellitus jenis 1 dan 2 yang tidak terkawal.
    • Dibimbangi akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti dehidrasi (kekurangan air), jangkitan kuman dan koma.
  2. Mengalami komplikasi diabetes yang serius.
    • Bagi pesakit yang mempunyai komplikasi seperti penyakit jantung koronari, kerosakan buah pinggang dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal perlu berbincang dengan Pakar Perubatan.
  3. Kerap mengalami komplikasi diabetik ketoasidosis.
    • Biasanya lebih cenderung kepada pesakit Diabetes Mellitus Jenis I. Biasanya adalah disebabkan oleh dos insulin yang tinggi dan pengambilan makanan yang sedikit ketika berpuasa.
  4. Pesakit yang tidak mematuhi aturan pemakanan dan ubat-ubatan bagi diabetes.
  5. Kerap mengalami komplikasi hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah).
    • Terutama kepada pesakit yang mempunyai sejarah 2 kali atau lebih pada bulan puasa yang lalu.
  6. Mengandung.
    • Bagi pesakit Diabetes Jenis I, II dan Gestasi jika ingin berpuasa, mereka perlulah berbincang dengan Pakar Perubatan dan Pegawai Dietetik berkenaan ubat dan diet yang sesuai semasa berpuasa.
  7. Mengalami jangkitan kuman.
  8. Warga tua yang tinggal bersendirian.

Penyesuaian Diet Semasa Berpuasa

Ia adalah sesuatu yang penting untuk penghidap diabetes melatih diri berpuasa 2 bulan awal sebelum berpuasa sebenar iaitu bermula bulan Rejab dan Sya’ban. Pesakit diabetes juga perlu mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan menjalani program pendidikan bersama Pegawai Perubatan, Pegawai Dietetik, Pegawai Farmasi dan Jururawat Diabetes tuntuk memahami cara-cara berpuasa dengan betul ketika bulan Ramadan.

Tips Bagaimana Untuk Menyesuaikan Diri Semasa Berpuasa

  1. Jangan tinggal waktu bersahur.
    • Waktu bersahur perlulah selewat mungkin sebelum waktu imsak.
    • Ketika bersahur perlu seimbangkan makanan dengan karbohidrat yang secukupnya.
  2. Jangan melambatkan waktu berbuka.
    • Memadai waktu berbuka dengan 2 biji kurma terlebih dahulu sebagai sebahagian daripada karbohidrat.
    • Hadkan pengambilan makanan yang tinggi gula.
  3. Digalakkan mengambil hidangan utama selepas solat maghrib.
    • Perlu mengamalkan pemakanan yang seimbang.
  4. Minum malam selepas solat tarawih.
    • Boleh diambil sebagai pengganti snek sebelum tidur.
  5. Sertakan buah-buahan dan sayur-sayuran ketika sahur dan berbuka.
    • Karbohidrat yang mengandungi serat yang tinggi adalah digalakkan untuk setiap hidangan utama.
  6. Hadkan makanan yang bergoreng dan berlemak.
    • Contohnya: Masakan berlemak yang menggunakan santan, ayam goreng, mi goreng dan lain-lain.
  7. Hadkan makanan yang tinggi garam.
    • Ini adalah bertujuan untuk mengurangkan risiko kekurangan air.
  8. Minum air secukupnya.
    • Minum air yang cukup terutamanya ketika sahur untuk menggantikan air yang hilang ketika berpuasa. Disarankan untuk mengambil 8 gelas air sehari terutama ketika masa tidak berpuasa (malam).

Jadual 1 : Contoh Menu Pesakit Diabetes Ketika Berpuasa

Waktu makan(tidak berpuasa) Waktu makan (waktu cadangan)(berpuasa) Contoh Menu
Sarapan pagi Berbuka puasa(7.30 malam)
  • 1 biji buah epal / 2 biji kurma
  • 1 keping kuih tanpa gula
  • 1 gelas susu
Makan tengah hari Selepas solat maghrib(8.00 malam)
  • 1 ½ cawan nasi / mi / mihun
  • 1 ketul ayam / ikan
  • 1 cawan sayur berdaun hijau
  • 1 biji buah limau
  • Air kosong
Minum petang Selepas tarawih /
minum malam(10.30 malam)
  • 1 keping kuih tanpa gula /
3 keping biskut krim kraker /
1 keping roti
  • 1 gelas susu
Makan malam Sahur(5.00 pagi)
  • 1 ½ cawan nasi / mi / mihun
  • 1 ketul ayam / ikan
  • 1 cawan sayur berdaun hijau
  • 1 potong betik
  • Air kosong

Apakah Hipoglisemia?

Hipoglisemia adalah gejala gula dalam darah yang terlalu rendah (kurang daripada 4mmol/L). Pesakit yang mengambil suntikan insulin berisiko tinggi untuk mengalami kejadian ini.

Apakah Tanda-tanda Hipoglisemia

  • Lemah, menggigil.
  • Berpeluh.
  • Pening.
  • Lapar.
  • Penglihatan Kabur.
  • Letih-lesu.
  • Sakit kepala.

Apakah Penyebab Hipoglisemia?

  • Tidak makan atau lewat makan selepas makan ubat atau suntikan insulin.
  • Tidak ambil sumber karbohidrat yang mencukupi.
  • Aktiviti fizikal yang tidak dirancang.
  • Senaman yang lasak.
  • Dos insulin atau ubat diabetes yang berlebihan.

Bagaimanakah Untuk Mencegah Hipoglisemia?

  • Ambil ubat / insulin mengikut dos yang diarahkan.
  • Makan secara tetap mengikut waktu dan kuantiti yang cukup.
  • Aktiviti fizikal seperti senaman yang aktif atau sederhana adalah tidak digalakkan. Walau bagaimanapun, senaman yang disarankan oleh Pegawai Perubatan adalah dibenarkan.
  • Memantau paras gula dalam darah.

Cara-cara Mengatasi Hipoglisemia

  • Sekiranya mengalami tanda-tanda hipoglisemia, minum ½ cawan air manis atau hisap 3 biji gula-gula atau 3 sudu teh gula/madu.
  • Kemudian, rehat 10 hingga 15 minit. Jika paras gula darah tidak kembali paras normal, sila ulangi langkah 1 sekali lagi.
  • Jika jarak masa makan yang seterusnya adalah lebih dari 20 minit, sila ambil 1 hidangan karbohidrat kompleks seperti 1 keping roti atau 1 keping sandwich atau 3 keping biskut kraker krim atau 1 biji buah atau 1 cawan susu.

Apakah Tanda-tanda Hiperglisemia?

  • Kerap buang air kecil.
  • Terlalu dahaga.
  • Sangat letih.

Apakah Tanda-tanda Dehidrasi?

  • Amat dahaga.
  • Kulit dan lidah yang terlalu kering.
  • Fikiran terganggu.

Pengubahsuaian Diet dan Ubat Ketika Berpuasa

Pengubahsuaian diet dan ubat-ubatan adalah berbeza setiap individu. Antara rawatan tersebut adalah :

Diet sahaja

Risiko bagi pesakit yang mengawal diabetes hanya melalui diet dan gaya hidup sahaja adalah rendah. Walau bagaimanapun, mereka masih mempunyai risiko sekiranya tidak mengawal pemakanan terutamanya ketika berbuka puasa. Pembahagian daripada 2 ke 3 hidangan waktu makan dapat membantu mengurangkan berlakunya hiperglisemia (kenaikan gula dalam darah). Berpuasa pada bulan Ramadan hanya sesuai kepada pesakit yang dapat mengawal pemakanan dengan betul.

Diet VS Ubat Tablet atau Kapsul

Sekali sehari:

  • Jika ingin mengambilnya semasa sahur : Ambil sebelum atau selepas bersahur mengikut arahan ubat tersebut.
  • Jika ingin mengambilnya semasa berbuka :  Bagi arahan sebelum makan, berbuka dahulu dengan air dan buah tamar dan ambil ubat. Ambil makanan utama selepas 20 hingga 30 minit kemudian.
  • Bagi arahan selepas makan, ambil ubat selepas berbuka. Adalah digalakkan untuk berbuka dengan air dan buah kurma, rehat atau solat maghrib dahulu, baru makan makanan utama dan ambil ubat selepas makan.
 

Dua kali sehari sebelum makan:

  • Ambil ubat sewaktu berbuka dengan segelas air kemudian ambil makanan selepas setengah jam.
  • Pengambilan dos kedua haruslah setengah jam sebelum bersahur.
 

Dua kali sehari selepas makan:

  • Ambil ubat sewaktu selepas berbuka dan selepas bersahur.
 

Tiga kali sehari sebelum makan:

  • Ambil ubat sebelum berbuka, sebelum tidur dan sebelum bersahur.
 

Tiga kali sehari selepas makan:

  • Ambil ubat selepas berbuka, sebelum tidur dengan minuman/ sedikit makanan dan selepas bersahur.
 

Diet VS Insulin

Saranan pengubahsuaian ubat insulin ketika berpuasa dan tidak berpuasa.

Jadual 2 : Pengubahsuaian ubat insulin ketika berpuasa dan tidak berpuasa

Jika Tidak Berpuasa Jika Berpuasa
Insulin (basal)Humulin N, Insulatard
(contoh : 10 unit malam)
  • Tiada perubahan, suntik pada waktu biasa sebelum tidur.
Humulin N, Insulatard 
(contoh : 10 unit malam)
Insulin (bolus)Humulin R, Actrapid (contoh : 12 unit 3 kali sehari)
  • Separuh dos waktu sahur
  • Abaikan dos waktu tengah hari
  • Dos penuh waktu berbuka puasa
(contoh : 6 unit waktu sahur, 12 unit waktu berbuka)
Insulin Tindakan Campuran (premixed)Humulin 30/70, Mixtard (contoh : 30 unit pagi dan 20 unit petang)
  • Pastikan pengambilan air yang mencukupi
  • Dos sahur : separuh dos yang dikhususkan untuk waktu petang (dos kecil)
  • Dos berbuka puasa : ambil keseluruhan dos waktu pagi (dos besar)
(contoh : 10 unit waktu sahur, 30 unit waktu berbuka)

 

Kesimpulan

Pesakit diabetes mempunyai pelbagai risiko dan komplikasi ketika berpuada pada bulan Ramadan. Risiko seperti hipoglisemia dan hiperglisemia sering berlaku kepada pesakit yang tidak dapat mengawal pemakanan dan ubat ketika berpuasa. Oleh itu, pesakit perlulah mendapatkan rawatan awal dan berbincang dengan Pegawai Perubatan dan Pegawai Dietetik sebelum menghadapi bulan Ramadan.

Pn. Faulina Khamisan berkerja di Jabatan Dietetik di sebuah hospital di Johor. Artikel ini pernah diterbit di: http://www.myhealth.gov.my/index.php/en/diabetes-ramadan-dan-ubat Terbitan semula dengan izin Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Rujukan :

  • Diet dan diabetes (2000) Diabetes Mellitus and fasting (Puasa) during Ramadan. Malaysian Diabetes Association.
  • Fereidom A. & Behnam S. (2003) Ramadan fasting and diabetes mellitus. Archieve of Iranian, Voume 6, Number 4 (237-242).
  • Monira et al. (2010) Recommendations for management of Diabetes during Ramadan. Diabetes Care, Volume 33, Number 8 (1895-1902).
  • Ibrahim eta al. (2004) A population-based study of diabetes and its characteristics during the fasting month of Ramadan in 13 countries. Diabetes Care, Volume 27, Number 10 (2306-2311).
  • Benaji B. et al (2005) Diabetes and Ramadan: review of the literature. Diabetes Research and Clinical Practice, 73 (117-125).
  • Hyperlink: http://mps.org.my/newsmaster.cfm?&action=view&menuid=37&retrieveid=2388
  • Jadual 2: Pamplet Pengubahsuaian Dos dan waktu pengambilan ubat di Bulan Ramadan. Farmasi Pesakit Luar, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box