Mengapa pembedahan caesarean bukan dilakukan untuk setiap wanita hamil?
Kebanyakkan wanita bersalin secara normal, sembuh dengan sempurna dan mempunyai bayi yang sihat dan comel. Namun demikian ada juga yang menjalani pembedahan caesarean elektif – pembedahan yang dirancang turut sembuh seperti sediakala dan mempunyai bayi yang sihat.
Perlu diingatkan disini, pembedahan caesarean mempunyai risiko dan beberapa masalah yang boleh berlaku pada anda dan juga bayi, dan anda mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk kembali pulih selepas bersalin. Dengan bersalin secara caesarean, mungkin menyebabkan kelahiran anda pada masa hadapan menjadi lebih rumit. Para doktor perbidanan bukan sewenang-wenangnya melakukan pembedahan caesarean, melainkan jika keadaan memerlukan atau terdapat indikasi untuk melakukan pembedahan, bukan suka-suka ya!
Apakah risiko-risiko yang mungkin saya hadapi semasa pembedahan caesarean?
Untuk ibu
Apabila anda sudah dirancang untuk menjalani pembedahan caesarean, anda dapat mengawal perasaan gelisah dan ketidaktentuan untuk mengalami rasa sakit bersalin normal. Walau bagaimanapun, setiap pembedahan mempunyai risikonya yang tersendiri. Walaupun anda tidak berasa sakit ketika menjalani pembedahan (disebabkan diberikan bius separa badan atau bius penuh) anda tetap akan merasakan sakitnya lebih-lebih lagi pada beberapa hari pertama selepas pembedahan. 1 dalam 10 wanita akan mengalami ketidakselesaan pada luka pembedahan untuk beberapa bulan yang pertama.
Risiko utama dalam menjalani pembedahan caesarean termasuk lah :
- Jangkitan kuman – biasa berlaku, kadang-kadang mengambil masa berminggu-minggu untuk sembuh.
- Darah beku di kaki yang mana darah beku ini boleh bergerak dan menyumbat salur darah di peparu yang boleh membawa maut.
- Pendarahan yang banyak, lebih daripada apa yang dijangka – biasa pada mereka yang mempunyai berat badan berlebihan
Risiko-risiko yang serius selalunya jarang berlaku sekiranya ini adalah pembedahan caesarean yang pertama kali, dan pembedahan yang telah dirancang pada awalnya, asalkan anda sihat dan berat badan tidak berlebihan.
Risiko-risiko yang serius kebiasaanya berlaku, jika mengalami pembedahan caesarean yang berulang kali. Jika mengalami sebarang risiko atau komplikasi, anda mungkin perlu dipantau di hospital lebih lama lagi.
Untuk bayi
Masalah biasa yang dihadapi oleh bayi yang dilahirkan secara caesarean adalah masalah pernafasan yang bersifat sementara. Bayi yang lahir secara caeserean mungkin perlu dipantau di wad rawatan rapi bayi, jika dibandingkan dengan bayi yang lahir secara normal.
Ada risiko bayi terluka akibat pisau yang digunakan ketika pembedahan. Luka ini selalunya sedikit sahaja dan tidak memerlukan jahitan untuk memberhentikan pendarahan. Ianya akan pulih sendiri dalam beberapa hari. Kekerapan terjadi 1 dalam 100 bayi yang dilahirkan secara caesarean.
Bayi yang dilahirkan secara caesarean berkemungkinan menghidapi asthma ketika zaman kanak-kanak dan mempunyai berat badan yang berlebihan.
Bagaimana pula dengan kelahiran saya yang lain pada masa hadapan?
Jika anda memilih untuk menjalani pembedahan caesarean sekarang, ada kemungkinan kelahiran lain pada masa hadapan, anda dikehendaki juga menjalani pembedahan caesarean sekali lagi. Anda sepatutnya menentukan berapa besar jumlah ahli keluarga yang anda mahukan, kerana risiko untuk pembedahan caesarean meningkat dengan berulangnya pembedahan caesarean.
Risiko-risiko serius yang mungkin terjadi untuk pembedahan ulangan caesarean –
- Kecederaan pada pundi kencing/usus (1 dalam 1000 wanita) atau tiub ureter – yang menyambungkan buah pinggang dan pundi kencing (1 dalam 10 000 wanita)
- Prosedur tambahan yang perlu dilakukan ketika caesarean itu sendiri – transfusi darah, pembedahan membuang rahim sekiranya pendarahan berlebihan yang berlaku setelah semua langkah-langkah telah dilakukan. Jika rahim sudah dibuang, bermakna anda tidak berupaya hamil lagi.
- Jika anda pernah mengalami pembedahan caesarean sebanyak 2 kali atau lebih, ada risiko untuk mendapat uri bawah dan uri melekat dalam dinding rahim – uri tidak tanggal dari dinding rahim selepas bayi dilahirkan. Dalam keadaan ini, pendarahan yang banyak boleh berlaku, ada yang memerlukan pemindahan darah. Usaha menyelamatkan nyawa kadang-kadang tidak berhasil menyebakan doktor perlu membuang rahim sebagai langkah terakhir.
- Risiko uri melekat dalam dinding rahim ini meningkat dengan meningkatnya bilangan pembedahan caesarean yang pernah anda jalani.
- Untuk sebab-sebab yang masih belum diketahui, risiko mengalami bayi meninggal secara tiba-tiba untuk kandungan berikutnya meningkat sekiranya anda mengalami pembedahan caesarean (4 dalam 1000 wanita) jika dibandingkan dengan wanita yang lahir secara normal (hanya 2 dalam 1000 wanita).
Bagaimana pula jika dibandingkan dengan kelahiran biasa?
Selalunya kelahiran biasa ini, adalah mudah dan tidak mempunyai masalah lebih-lebih lagi jika anda telah mengalami kelahiran biasa sebelum ini. Adalah sesuatu yang normal bahagian perineum – bahagian antara vagina dan lubang dubur menjadi kurang selesa kadangkala selepas kelahiran. Ini terjadi kerana bahagian ini mengembang dan meregang dalam proses kelahiran. Anda juga mungkin mempunyai jahitan untuk koyakkan bersalin.
Walaupun saya menyatakan kelahiran biasa lazimnya tiada apa-apa masalah, kelahiran anda mungkin dibantu oleh doktor menggunakan alat – sama ada forseps atau vacuum untuk kes-kes yang memerlukan kelahiran dipercepatkan atau perlu dibantu. Dalam kelahiran dibantu ini, akan ada kebarangkalian koyakkan bersalin menjadi besar sehingga melibatkan lubang dubur. Jika kelahiran dibantu ini gagal mengeluarkan bayi – pembedahan caesarean akan dijalankan secara kecemasan pula.
Mengalami pendarahan yang lebih banyak pada beberapa hari pertama selepas kelahiran normal adalah lebih biasa berbanding dengan kelahiran secara pembedahan caesarean. Walau bagaimanapun, kehilangan darah adalah lebih banyak ketika pembedahan caesarean secara amnya.
Anda perlu tahu, kebaikan bersalin secara normal adalah seperti berikut :
- Lebih senang untuk melakukan sentuhan pertama ibu dan bayi skin-to-skin sejurus sahaja selepas kelahiran dan anda boleh memulakan penyusuan susu ibu sekaligus.
- Kadar penyembuhan dan pemulihan anda lebih cepat. Maka anda cepat kembali ke kegiatan seharian anda.
- Jika berjaya lahir secara normal untuk kehamilan pertama, proses kelahiran untuk kehamilan berikutnya akan menjadi lebih singkat dan risiko menjadi rendah untuk anda dan bayi
Setelah memahami segala risiko yang mungkin anda hadapi serta kebaikan dan keburukan bersalin secara normal mahupun secara caesarean, jika anda tetap mahukan pembedahan caesarean saya cadangkan agar anda berbincang semula dengan doktor perbidanan anda. Doktor perbidanan akan menerangkan kembali pilihan yang anda ada dan melakukan yang terbaik untuk anda dan bayi.
Sungguhpun pembedahan caesarean mempunyai risiko-risko dan komplikasi nya, jika keadaan memerlukan kelahiran secara pembedahan caesarean, doktor perbidanan akan menyarankan anda untuk menjalaninya setelah difikirkan untuk keselamatan ibu dan bayi.
Jangan segan atau malu untuk berbincang dengan doktor anda, dan pastikan anda membuat keputusan yang bijak, berpaksikan nasihat doktor perbidanan.
Selamat bersalin!
Artikel ini ditulis oleh Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, Registrar Obstetrik & Ginekologi yang kini berkhidmat di sebuah hospital di Selangor.
Rujukan:
- Choosing to have a caesarean section, Information for you by Royal College of Obstetricians & Gynaecologists Publish in July 2015
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]