Pada zaman serba berteknologi tinggi kini, penggunaan gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer riba adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Perubahan cara komunikasi menggunakan teks (Whatsapp dan Wechat), media sosial (Facebook & Instagram) dan aplikasi permainan online semestinya menjadi kegilaan kepada golongan dewasa dan kanak-kanak. Peranti berteknologi tinggi ini sememangnya banyak memberikan kebaikan tetapi tetap memberikan impak buruk apabila menggunakannya secara berlebihan.
Kajian di Amerika Syarikat mendapati 93% menggunakan gajet melebihi 2 jam sehari manakala 69% menggunakan melebihi 8 jam sehari. Jika dahulu hanya golongan dewasa mempunyai akses terhadap gajet, namun kini 75% kanak-kanak mempunyai akses internet dan 40% memiliki gajet mereka sendiri. Sikap segelintir ibu bapa yang gemar memberikan gajet kepada anak mereka untuk mengawal perlakuan anak mereka amatlah membimbangkan. Malahan bayi yang masih belum belajar untuk memegang botol susu telah pun didedahkan kepada gajet ini. Ibu bapa berpendapat gajet dapat membantu perkembangan anak mereka tetapi sebenarnya penggunaan luar kawalan ini akan menyumbang kepada kesan buruk terhadap penglihatan anak-anak.
PENGLIHATAN KABUR
Melihat gajet melibatkan proses penglihatan yang aktif di mana mata perlu memfokus melalui proses akomodasi. Semasa kita berakomodasi, otot siliari pada mata akan kontraksi supaya dapat menambahkan kelengkungan kanta mata dan seterusnya membawa cahaya yang masuk agar terfokus kepada titik peka mata iaitu fovea. Paparan skrin gajet mengandungi bentuk bucu tulisan yang tidak tajam, bergantung kepada berapa pixel resolusi paparan skrin yang digunakan. Ini memaksa penglihatan untuk sentiasa bekerja keras supaya imej objek yang dilihat dalam keadaan terfokus. Penglihatan kabur boleh berlaku apabila menggunakan gajet pada jangka masa yang lama. Kedudukan kanak-kanak yang memegang gajet secara dekat terutamanya ketika berbaring, akan membebankan lagi sistem penglihatan. Apabila otot siliari kontraks dalam tempoh yang lama dan akhirnya gagal untuk direhatkan apabila mata memandang pada jarak jauh akan mencetus keadaan yang dinamakan accommodation spasm atau akomodasi kejang. Ia akan mengakibatkan berlakunya pseudomyopia (rabun jauh palsu). Keadaan ini seolah-olah mempunyai rabun jauh yang teruk akibat cahaya yang masuk ke dalam mata sentiasa terfokus di hadapan fovea. Penurunan tahap penglihatan yang teruk, akan menyebabkan sakit kepala dan penglihatan berganda. Keadaan ini bersifat sementara dan adakalanya hilang setelah berehat dari menggunakan gajet. Pemeriksaan komprehensif penglihatan binokular optometri diperlukan untuk mengesan masalah ini. Masalah akomodasi kejang boleh dirawat melalui terapi visual yang dipantau oleh optometrist.
AKOMODASI KEJANG AKAN MENYEBABKAN CAHAYA YANG MASUK KE DALAM MATA TERFOKUS DI HADAPAN FOVEA SEPERTI KEADAAN RABUN JAUH. KONDISI INI DIPANGGIL PSEUDOMYOPIA.
MATA KERING
Apabila mata melihat gajet pada jarak dekat, daya tumpuan terhadap bahan bacaan melalui skrin akan meningkat. Ini seterusnya akan mengurangkan kadar kelipan mata iaitu daripada 15 kali seminit kepada 5 kali seminit. Menjadi kebiasaan untuk kanak-kanak yang menggunakan komputer yang diletakkan mengikut susunatur perabot bersaiz orang dewasa. Ini akan mengakibatkan kanak-kanak akan mendongak kepala apabila melihat paparan skrin. Perbuatan ini akan menyebabkan bukaan kelopak mata yang lebih besar. Ini menyebabkan kadar evaporasi air mata akan meningkat jika dibandingkan sekiranya paparan skrin gajet terletak sekitar 15 darjah ke bawah pandangan mata. Peningkatan evaporasi air mata akan menghasilkan titik-titik kering atas permukaan kornea yang akan mencetus luka-luka kecil yang dipanggil superficial punctate epithelieal erosion. Ini akan mencetuskan rasa seperti mata kering, rasa bendasing pada mata kemerah-merahan. Selain mengakibatkan masalah mata kering, kedudukan ergonomik kanak-kanak yang tidak bersesuaian dengan saiz badan semasa menggunakan komputer pada tempoh yang lama turut menyumbang kepada masalah mata penat serta kesakitan pada bahu dan leher.
SUPERFICIAL PUNCTATE EPITHELIEAL EROSION
PENINGKATAN MYOPIA (RABUN JAUH)
Penggunaan gajet berlebihan akan menyebabkan kanak-kanak kurang melakukan aktiviti luar rumah. Kajian mendapati kanak-kanak yang mempunyai rabun jauh mempunyai dopamine yang rendah berbanding kanak-kanak berpenglihatan normal. Dopamine merupakan tindakbalas kimia yang dihasilkan oleh tubuh apabila terdedah kepada cahaya matahari. Ia didapati bertindak untuk merencatkan proses pemanjangan bola mata yang menjadi antara punca rabun jauh. Penggunaan gajet juga akan menyebabkan regangan bebola mata turut berlaku apabila proses akomodasi berlaku pada masa yang lama. Ini juga akan menyebabkan pemanjangan bebola mata berlaku dan menyumbang kepada peningkatan kuasa rabun jauh anak-anak.
PENDEDAHAN JANGKA PANJANG TERHADAP CAHAYA BIRU DARI SKRIN PAPARAN GAJET
Skrin paparan gajet menghasilkan cahaya biru bergelombang rendah tetapi bertenaga tinggi. Kajian terdahulu ke atas tikus makmal ada menunjukkan pendedahan cahaya biru pada tempoh yang lama mengakibatkan perubahan dan kematian sel retina haiwan terbabit. Ini telah membawa kepada kewujudan cermin mata anti-cahaya biru di pasaran. Terdapat dakwaan bahawa penggunaan kanta perlindungan cahaya biru boleh meningkatkan fungsi penglihatan atau kualiti tidur serta mengatasi masalah keletihan mata dan memelihara kesihatan mata secara amnya. Namun setakat ini, tiada lagi kajian berkualiti tinggi yang membuktikan kesan jangka panjang cahaya biru ke atas retina manusia dan keberkesanan kanta anti-cahaya biru dalam melindungi mata daripada mengalami masalah kerosakan retina seperti degenerasi makula.
TIPS MENGURANGKAN KESAN PENGGUNAAN GAJET BERLEBIHAN TERHADAP MATA:
- Kawal tempoh penggunaan gajet anak anda
American Association of Pediatric menyarankan agar kanak-kanak berumur 2 tahun ke bawah tidak sama sekali dibenarkan untuk menggunakan gajet. Bagi kanak-kanak berumur 2 ke 5 tahun, masa yang dibenarkan adalah kurang dari dua jam sehari. Ibu bapa perlu bersama anak-anak ketika menggunakan gajet bagi menggalakkan interaksi secara aktif semasa melayari internet dengan bahan yang berunsurkan pendidikan. Bagi kanak-kanak melebihi 6 tahun, penggunakan gajet mestilah tidak melebihi dua jam sehari. Elakkan penggunaan gajet pada waktu malam kerana gajet menghasilkan cahaya biru yang boleh mengganggu kitaran waktu tidur kanak-kanak. Kajian mendapati melatonin yang membolehkan kita tidur, kurang dihasilkankan apabila menggunakan gajet sehingga menyukarkan tidur pada waktu malam. Tidur yang tidak mencukupi pastinya akan mengganggu proses pembelajaran di sekolah pada keesokkan hari.
- Amalkan 20-20-20
Berhenti seketika semasa menggunakan gajet telah terbukti berkesan untuk mengelakkan masalah seperti akomodasi kejang dan mata kering. Oleh itu, disarankan agar berhenti sebentar antara waktu menggunakan gajet selama 20 saat setiap 20 minit penggunaan gajet sambil memandang objek jauh (sekitar 20 kaki). Galakkan anak anda untuk kerap mengelipkan mata untuk mengelakkan mata menjadi kering apabila fokus dengan gajet pada masa yang lama.
- Perbanyakkan aktiviti luar bersama anak-anak
Unutk mengurangkan tempoh penggunaan gajet di rumah, Ibu bapa digalakkan untuk merancang aktiviti yang melibatkan aktiviti luar rumah seperti perkhemahan, bermain di taman permainan, bersenam atau berenang. Selain dapat merapatkan hubungan kekeluargaan, ia dapat merehatkan pandangan mata ketika menikmati pemandangan yang jauh. Pendedahan terhadap cahaya matahari yang mencukupi dapat menggalakkan penghasilan dopamine di dalam tubuh. Pastikan anak anda tidak membawa gajet bersama semasa keluar. Menikmati kebaikan sinar matahari merupakan kaedah paling murah untuk mengawal myopia anak anda.
- Postur tubuh dan susunatur meja komputer
Perhatikan postur tubuh ketika menggunakan gajet. Berbaring akan menyebabkan jarak gajet terlalu dekat dengan mata dan bukaan kelopak mata juga akan menjadi lebih besar. Apabila menggunakan komputer, posisi monitor/gajet diletakkan sekitar 15 darjah ke bawah aras mata. Jarak antara mata dan komputer/gajet mestilah sekitar 30-40cm. Pencahayaan juga perlu dikawal untuk mengelakkan masalah silau ketika menggunakan gajet. Pastikan pencahayaan luar adalah sama dengan pencahayaan gajet anda. Gunakan penapis atau filter gajet anda untuk mendapatkan perlindungan daripada cahaya biru bagi mengelakkan kesan jangka panjang cahaya biru kepada mata. Anda boleh juga mendapatkan cermin mata yang mempunyai penapis cahaya biru yang terdapat di pasaran.
- Pemeriksaan tahunan mata kanak-kanak dengan optometrist
Ibu bapa seharusnya peka terhadap masalah visual yang mungkin dialami oleh anak-anak. Sekiranya anak anda aktif menggunakan gajet, dapatkan pemeriksaan mata tahunan dengan optometrist yang bertauliah untuk memastikan penglihatan anak anda sentiasa dalam keadaan optimum. Antara tanda-tanda masalah rabun adalah seperti mengadu sakit kepala, mata penat dan berair, sering menggosok mata, gemar mengecilkan mata serta suka menelengkan kepala apabila melihat. Prestasi sekolah yang menurun, selalu meniru kawan sebelah di kelas, seringkali tidak dapat menyalin di papan hitam dan tidak dapat menyiapkan kerja sekolah juga merupakan perlakuan yang dipamerkan oleh anak-anak yang mungkin mengalami masalah penglihatan. Pemeriksaan komprehensif optometrist dapat mengenalpasti masalah fungsi visual anak anda. Optometrist akan membantu melalui preskripsi cermin mata atau terapi visual. Oleh itu segera dapatkan pemeriksaan optometrist sekiranya anak anda ada menunjukkan tanda-tanda seperti yang dinyatakan.
Diana Mohamed seorang optometris yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia.
RUJUKAN
- Kozeis N Impact of computer use on children’s vision, HIPPOKRATIA 2009, 13, 4: 230-231
- American Optometric Association. Computer Vision Syndrome. http://www.aoa.org/patients-and-public/caring-for-your-vision/protecting-your-vision/computer-vision-syndrome
- American Optometric Association.The Effect of Computer Use on Eye Health and Vision, https://www.aoa.org/documents/optometrists/effects-of-computer-use.pdf
- Parihar et al, Computer and visual display terminals (VDT) vision syndrome (CVDTS), Med J Arm Forces India, 2016 Jul; 72(3): 270–276.
- Shrestha et al, Visual problem among video display terminal (VDT) user in Nepal, J Optom. 2011;4(2):56-62
- Norton,T.T and Siegwart, J.T, Light Levels, Refractive development and Myopia- a speculative review, Exp Eye Res.2013 Sep;114:48-57
- Elie Dolgin, The myopia booms, Article 19 MARCH 2015, VOL 519; NATURE: 277, https://www.nature.com/news/the-myopia-boom-1.17120
- Lawrenson, J., Hull, C. and Downie, L.E. (2017). The effect of blue-light blockingspectacle lenses on visual performance, macular health and the sleep-wake cycle:asystematic review of the literature. Ophthalmic & Physiological Optics, 37(6), pp. 644-654.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]