Plak dan Karang Gigi – Dr Marini Ismail

Pernahkah anda terdengar perkataan plak gigi dan karang gigi? Dan tahukah anda apakah perbezaan plak gigi dan karang gigi?

Plak gigi merupakan satu lapisan biofilm yang lembut tidak berwarna mengandungi pelbagai jenis bakteria yang berada di permukaan gigi , tampalan (contohnya korona), gigi palsu, lidah dan dicelah-celah gigi. Plak gigi sememangnya terjadi setiap masa. Sekiranya plak terkumpul tanpa dibersihkan ia kelihatan seperti putih atau kekuningan dan bakteria-bakteria yang berada didalamnya menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan pada gusi dan membuatkan gusi mudah bengkak dan berdarah. Selain itu, plak gigi juga boleh menyebabkan kerosakan gigi seperti karies gigi dan masalah lain seperti halitosis (nafas berbau busuk) sekiranya plak gigi bercampur dengan makanan yang melekat pada gigi .

Oleh yang demikian , bagi mencegah plak gigi dari terkumpul, anda disarankan untuk memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan teknik yang berkesan dan memilih jenis berus gigi yang sesuai serta menggunakan flos gigi untuk membersihkan celah antara gigi. Sekiranya, plak gigi masih tidak dapat dikawal, anda disaran untuk mendapatkan tunjuk ajar kebersihan mulut dan nasihat dari Doktor Pergigian.

Plak gigi Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Dental_plaque

 

 

Sekiranya anda mengabaikan penjagaan kebersihan mulut, plak gigi yang terkumpul akan menebal. Plak gigi ini bercampur dengan sisa makanan dan air liur dan kemudiannya akan mengeras dan terbentuklah karang gigi.

Karang gigi Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Calculus_(dental)

 

Karang gigi biasanya terbentuk dicelah-celah antara gigi. Permukaan karang gigi yang kasar ini menyebabkan peningkatan pengumpulan plak gigi. Sekiranya masalah karang gigi dibiarkan berlarutan tanpa dibersihkan, ia boleh mengakibatkan masalah gusi yang dipanggil periodontitis yang akhirnya menyebabkan gigi goyang dan terpaksa dicabut. Namun sayang sekali kerana karang gigi tidak boleh dibersihkan dengan cara pemberusan gigi sahaja. Karang gigi hanya boleh dibersihkan dengan rawatan pengskaleran.

Oleh yang demikian, lakukan pemeriksaan gigi secara berkala di klinik pergigian yang berdaftar dan dapatkan nasihat serta tunjuk ajar kebersihan mulut dari Doktor Pergigian bagi mencegah masalah pergigian.

Gusi sihat, gigi kuat!

Rujukan:

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box