Merungkai Manfaat Insulin kepada Manusia – Arif M. Sopian

“Tuan, sekiranya saya dipreskrib insulin, adakah penyakit saya sudah teruk?”

“Tuan, adakah penggunaan insulin ini selamat untuk buah pinggang saya?”

Sering kali pesakit bertanya soalan sebegini semasa bertemu mereka di klinik terapi kepatuhan ubat-ubatan untuk pesakit diabetes. Rata-rata pesakit yang bertanya, sebenarnya risau risiko penggunaan insulin terhadap kesihatan mereka. Prasangka atau ketakutan terhadap penggunaan insulin jelas menggambarkan sifat insulinofobia dan keadaan ini menunjukkan bahawa masih terdapat lagi masyarakat yang kurang faham akan fungsi dan manfaat insulin kepada tubuh badan.

 

Kenali Fungsi Insulin Kepada Tubuh Badan Manusia.

Fungsi utama insulin adalah untuk mengawal paras glukos (gula ringkas) normal dalam darah. Insulin, sejenis hormon yang dihasilkan oleh pankreas manusia, bertindak sebagai kunci supaya glukos dapat masuk ke dalam sel-sel seterusnya menjana tenaga untuk kegunaan sel-sel.

Kencing manis, keadaan yang terjadi apabila paras glukos tinggi untuk tempoh berpanjangan, berlaku apabila pankreas manusia tidak dapat menghasilkan insulin secukupnya atau pun berlakunya kerintangan terhadap insulin. Untuk merawat keadaan ini, insulin tambahan perlu diambil bagi menambah atau menggantikan insulin dalam tubuh.

 

Kehidupan Manusia Era Pra-Insulin dan Pasca-Insulin.

Semasa zaman pra-Insulin, masa hadapan pesakit kencing manis agak kelam. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Klinik George Baker di Amerika Syarikat pada waktu itu, jangka hayat pesakit selepas dikesan menghidapi penyakit kencing manis adalah selama 4 tahun sahaja. Bayangkan, satu-satunya rawatan utama pada masa itu adalah kawalan pemakanan yang amat ketat namun pesakit manghadapi kesukaran untuk mematuhinya kerana susah.

Penemuan insulin oleh Dr. Frederick Banting dan Dr. John Macleod pada tahun 1922 merubah segala-galanya dan memberi sinar baharu kepada kehidupan pesakit kencing manis. Pencapaian terulung pada zaman itu menganugerakan mereka Hadiah Nobel pada tahun 1923. Berdasarkan laporan dari klinik yang sama iaitu Klinik George Baker, selepas penemuan insulin, jangka hayat pesakit selepas dikesan kencing manis dapat ditingkatkan sehingga 45 tahun.

 

Sumber gambar: Google

Sumber gambar: Google

 

Gambar di atas ialah Teddy Ryder, salah seorang pesakit Dr Frederick Banting yang terawal. Gambar kiri menunjukkan keadaan Teddy semasa dirawat dengan pemakanan yang ketat. Gambar kanan menunjukkan keadaan Teddy setelah dirawat menggunakan insulin.

Evolusi Teknologi Insulin.

Pada awal penemuannya, insulin diekstrak daripada pankreas haiwan tetapi terdapat variasi terhadap kualiti insulin yang diperoleh lantas menjejaskan mutunya. Namun, teknologi penghasilan insulin telah berkembang dengan pesatnya mengikut peredaran zaman. Pada tahun 1978, “human-insulin” telah mula dihasilkan melalui teknologi penggabungan DNA oleh syarikat bioteknologi Genentech. Risiko alahan terhadap “human insulin” adalah lebih rendah berbanding insulin yang diekstrak daripada haiwan kerana strukturnya yang menyerupai insulin sebenar manusia. Terkini, saintis telah berjaya menghasilkan pankreas bionik yang fungsinya menyerupai pankreas manusia sebenar. Dengan adanya pankreas buatan ini, pesakit dapat mengawal paras glukos dalam darah dengan lebih optimum berbanding suntikan insulin kovensional.

 

Adakah Penggunaan Insulin Selamat?

Penggunaan insulin oleh pesakit kencing manis adalah selamat dengan pengambilan yang betul. Bagi ibu mengandung, insulin adalah pilihan ubat yang terbaik dan paling selamat kerana insulin yang diambil tidak akan menyeberangi janin seterusnya selamat untuk kandungan. Tambahan lagi, menurut satu kajian yang telah diterbitkan oleh Journal of Nephrology, penggunaan insulin tidak menjejaskan fungsi buah pinggang pesakit yang mengambilnya. Justeru, secara umumnya, penggunaan insulin adalah selamat untuk semua golongan pesakit.

 

Insulin dan Peranan Pesakit Kencing Manis.

  • Patuh kepada arahan pengambilan insulin anda mengikut masa yang telah ditetapkan.
  • Simpan insulin anda dengan betul. Insulin yang belum digunakan hendaklah disimpan di dalam peti sejuk. Insulin yang sedang diguna hendaklah disimpan pada suhu bilik iaitu 25°C dan ke bawah.
  • Elakkan pendedahan insulin kepada cahaya matahari atau suhu yang terlalu tinggi (seperti meletakkan di dalam kereta pada hari yang panas atau berdekatan kawasan dapur) kerana akan merosakkan insulin.
  • Sentiasa peka terhadap tanda-tanda kekurangan paras glukos dalam darah (hipoglisemia). Rawat segera hipoglisemia dengan mengambil karbohidrat ringkas seperti gula-gula kecil, satu sudu gula atau madu atau setengah cawan jus.
  • Maklumkan kepada doktor perubatan/ahli farmasi sekiranya anda mengalami hipoglisemia. Mereka boleh mengajar cara menyesuaikan dos insulin mengikut paras gula dalam darah anda.

 

Klinik Terapi Kepatuhan Ubat-Ubatan untuk Pesakit Diabetes.

Perkhidmatan Klinik Terapi Kepatuhan Ubat-Ubatan untuk Pesakit Diabetes telah diperkenalkan dan diperluaskan di hampir keseluruhan fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara. Perkhidmatan yang disediakan oleh jabatan farmasi ini bertujuan meningkatkan kepatuhan pesakit terhadap ubat-ubatan mereka dengan mendidik dan memberikan mereka pemahaman berkaitan kencing manis. Sekiranya anda menghadapi kencing manis dan mengalami kesukaran untuk mengawal paras glukos normal, anda bolehlah merujuk ke mana-mana fasiliti farmasi KKM yang terlibat dan mendaftar sebagai pesakit klinik berkenaan.

Kami sedia membantu.

Arif M. Sopian seorang pegawai farmasi yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Rujukan.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box