Gigitan Serangga Charlie – Dr Helmy Hazmi

Pernahkah anda tiba-tiba merasai kulit anda sakit, merah dan terasa panas seolah-olah melecur? Ia diikuti dengan rasa gatal dan pedih yang berterusan. Lebih kurang empat hari kemudian, bahagian sakit tersebut akan melepuh, dan timbul gelembung-gelembung sebesar jerawat sehingga beberapa sentimeter diameternya. Di dalamnya mengandungi cecair jernih dan ada juga yang bernanah.

Menariknya, ramai tidak dapat mencari punca kejadian tersebut. Malah, di kalangan orang tempatan, kita mudah saja menyalahkan kejadian aneh dan mistik ke atas kejadian yang menimpa.

Anda mungkin terkena penangan sejenis serangga, yang digelar “Charlie”.

Keadaan melecur dan bernanah itu akan berterusan sehingga 10 sehingga 14 hari lamanya. Rupanya agak menakutkan bagi mereka yang pernah mengalaminya.

Nama lain serangga “Charlie” adalah Rove Beetle. Ia juga dikenali dengan “Charlie Ants” di negara barat. Di Malaysia, ia juga dikenali dengan nama “semut kayap”.

 

Serangga Charlie yang hinggap pada barangan rumah.

Rupa bentuk dan habitat serangga Charlie

Serangga ini berbentuk seperti semut dan panjangnya lebih kurang satu sentimeter. Rupanya mudah dikenali kerana ia mempunyai badan berbelang hitam dan jingga. Serangga Charlie ini tergolong dalam genus Paederus, di dalam famili Staphylinidae. Di bawah genus Paederus,serangga ini mempunyai banyak spesis yang lain. Serangga Charlie dewasa boleh hidup selama beberapa bulan dan boleh melahirkan dua sehingga tiga generasi setahun.

Habitat serangga Charlie ini adalah di kawasan yang mempunyai takungan air seperti di kawasan paya, kawasan pertanian yang mempunyai tali air (irigasi) dan kawasan sawah padi. Walaupun demikian, serangga ini boleh dijumpai di kawasan rumah kerana ia tertarik kepada lampu dan cahaya yang terang kawasan kediaman tersebut. Ia juga boleh terbang secara berkumpulan pada waktu malam, terutamanya selepas kejadian hujan lebat dan banjir, di mana ia bermigrasi ke tempat yang lebih kering.

Biasanya kecederaan yang disebabkan oleh serangga Charlie ini berlaku di kawasan penanaman padi seperti di negeri-negeri bahagian utara semenanjung Malaysia. Namun demikian, pengangkutan yang semakin baik mungkin menyebabkan serangga ini tersebar ke seluruh negara. Habitat serangga ini juga turut boleh dijumpai di Sarawak dan Sabah.

Keradangan kulit berdekatan mata akibat terkena cecair badan serangga Charlie pada seorang pesakit kanak-kanak. Serangga yang tercedera menghasilkan lintasan cecair toksin yang menyebabkan kesan “garisan” pada muka kanak-kanak tersebut.

Mengapa anda harus tahu tentang serangga Charlie ini?

Serangga ini tidak menyengat, namun cara ia menyebabkan kesakitan pada manusia agak berlainan dan unik. Serangga ini mempunyai haemolymph, yang berfungsi seperti darah. Haemolymph ini mengandungi sejenis toksin yang dipanggil paederin. Jadi, serangga yang dilanyak akan merembeskan darah yang mengandungi toksin paederin yang boleh menyebabkan keradangan pada kulit manusia jika bersentuhan. Oleh itu, sekiranya tidak dibersihkan serta merta, toksin ini akan terus disebarkan sehingga menyebabkan kesan keradangan di beberapa tempat lain kulit. Sekiranya toksin ini terkena mata, ia mungkin menyebabkan kebutaan sementara dan kesakitan yang perit.

Apakah yang patut saya lakukan sekiranya terkena darah serangga Charlie ini?

Pastikan cairan darah serangga itu dibersihkan secukupnya dengan air dan sabun. Toksin Paderin ini menyerap kulit manusia dengan lambat. Oleh itu, pembersihan segera akan dapat mengurangkan kesan lebih buruk ke atas kulit. Kesan pada kulit daripada toksin ini mungkin kelihatan 12 sehingga 36 jam selepas pendedahan, bermula dengan ruam merah yang sakit yang kemudiannya melepuh dan bernanah. Keradangan kulit disebabkan oleh serangga ini dinamakan paederus dermatitis. Toksin ini juga boleh menyebabkan keradangan pada mata (conjunctivitis).

Apa yang anda boleh lakukan sekiranya melihat serangga Charlie ini?

Adalah penting anda tidak terus menepuk dan melanyak serangga ini semata-mata untuk membunuhnya. Gunakan alat untuk mencungkil atau tiup sahaja serangga tersebut. Sekiranya selamat dan anda atau keluarga anda tidak terdedah kepada bahaya darah serangga ini, barulah ia dibunuh. Pastikan cecair daripada terhasil dibersihkan sepenuhnya.

Langkah pencegahan yang lain

Selain tidak menepuk atau memukul serangga ini, perkara lain yang boleh dilakukan termasuk mengurangkan cahaya lampu yang tidak diperlukan pada waktu malam. Kurangkan pendedahan kepada serangga ini dengan menggunakan pakaian berlengan panjang. Lindungi rumah anda dengan menutup tingkap dengan menggunakan jaringan penghalang. Racun serangga boleh digunakan, namun terdapat laporan yang mengatakan bahawa ia tidak berkesan disebabkan oleh kerentanan (resistance) yang terbentuk pada serangga tersebut.

Kesimpulan

Serangga Charlie boleh menyebabkan kemudaratan kepada manusia sekiranya bersentuhan dengan darahnya. Kita terdedah kepada serangga ini kerana habitatnya mudah dijumpai di persekitaran kita. Pastikan anggota yang terkena darah serangga ini dibersihkan secukupnya menggunakan sabun dan air yang banyak untuk mengurangkan keradangan dan kesakitan pada kulit.

 

Dr Helmy Hazmi ialah pakai perubatan masyarakat dengan pengkhususan dalam Epidemiologi dan Biostatistik. Sekarang beliau bertugas di tempat asalnya, Kuching, sebagai pensyarah perubatan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan:

https://www.health.nsw.gov.au/environment/factsheets/Pages/rove-beetles.aspx

http://docfiles.blogspot.com/2007/06/paederousrove-beetle-dermatitis.html

https://www.thestar.com.my/metro/community/2016/11/16/beware-of-rove-beetles/

Nasir, S. et al. (2015) ‘Paederus beetles: the agent of human dermatitis.’, The journal of venomous animals and toxins including tropical diseases. Centro de Estudos de Venenos e Animais Peçonhentos – CEVAP, 21, p. 5. doi: 10.1186/s40409-015-0004-0.

Zargari, O. et al. (2003) ‘Paederus dermatitis in northern Iran: a report of 156 cases’, International Journal of Dermatology, 42(8), pp. 608–612. doi: 10.1046/j.1365-4362.2003.01771.x

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box