Lemak di dalam Hati – Dr Chieng Jin Yu

calgarygi.com

 

Penyakit hati berlemak yang tidak berkaitan arak (Non-alcoholic fatty liver disease,NAFLD) ialah pengumpulan lemak dalam hati dalam amaun yang tidak normal. NAFLD dikelaskan sama ada sebagai hati berlemak atau steatohepatitis (non-alcoholic steatohepatitis, NASH). Kedua-duanya melibatkan pengumpulan lemak yang banyak di dalam sel hati, tetapi dalam NASH terdapat keradangan hati dan sel hati telah rosak, mati dan digantikan dengan tisu parut.

NAFLD telah meningkat dengan mendadak tahun demi tahun dan telah menjadi salah satu punca yang paling biasa kepada penyakit hati kronik di Negara Barat dan kemunculannya mula dibimbangi di bahagian dunia yang lain. Kefahaman terhadap epidemiologi dan sejarah NAFLD telah bertambah dan keadaannya tidak lagi ‘sesenyap’ yang disangka. Malah, NASH melarat menyebabkan parut dan akhirnya menjadi sirosis, dengan segala komplikasi sirosis, contohnya pendarahan dalam saluran perut, kegagalan hati dan kanser hati. Anggaran kasar 30–40% individu menghidap NAFLD akan selanjutnya menghidap NASH, dan sirosis hati akan dihidapi oleh 40% mereka yang menderita NASH.

asianscientist.com

Adakah NAFLD suatu peyakit yang biasa dijumpai?

Prevalen NAFLD dalam masyarakat umum di Negara Barat ialah sekitar 20-30%. Prevalen di dalam Negara kita masih tidak diketahui kerana kajian yang terhad. Namun begitu, sebagai seorang pakar hati di hospital tertier kerajaan, saya melihat peningkatan bilangan pesakit dengan sirosis hati dengan punca ‘tidak diketahui’ (saringan virus, autoimun negatif, dan bukan disebabkan alkohol/ubatan). Pesakit sebegini dilabel sebagai ‘kriptogenik’ sejak dahulu lagi! Tetapi jika dilihat dengan lebih teliti kepada pesakit yang mengalami sindrom metabolik, tidak syak lagi, saya percaya sebilangan besar aka nada penyakit hati berlemak. NAFLD sekarang diiktiraf sebagai punca sirosis kriptogenik yang paling biasa didapati.

Melalui semakan dalam artikel terbitan tempatan, sehingga 22.7% daripada individu yang menjalani “saringan kesihatan” didapati mengalami NAFLD semasa pemeriksaan kesihatan penduduk multi-etnik di Malaysia.1  Kajian lain oleh Chan WK et al. merumuskan bahawa prevalen NAFLD dalam keseluruhan belia Malaysia didapati agak rendah, namun, prevalen NAFLD didapati lebih tinggi  dalam kalangan lelaki India dan Melayu, konsisten dengan prevalen kegemukan dalam dua kumpulan ini. 2

Apakah punca NAFLD?

NAFLD ialah sejenis sindrom metabolik. Persekutuan Diabetes Antarabangsa (International Diabetes Federation) menakrifkan sindrom metabolik sebagai kewujudan ‘central obesity’ (obesiti akibat makanan) mengikut ukurlilit pinggang tertentu berdasarkan etnik, berserta dua atau lebih daripada yang berikut: trigliserida yang tinggi, rendah kolesterol ‘high-density lipoprotein’ (HDL)  dalam serum, tekanan darah tinggi dan tinggi glukos dalam plasma semasa berpuasa. Kerintangan insulin dan tekanan oksidatif juga dipercayai menjadi dua faktor utama membawa kepada NASH.

Namun, jangan terkejut dengan NAFLD yang berlaku dalam kalangan manusia yang kurus, dipanggil ‘lean NAFLD’ yang pernah dicatatkan dalam kalangan warga Asia.

Selain komplikasi hati, terdapat bukti-bukti yang dijumpai mengatakan NAFLD ialah penyakit multisistem, menjejaskan organ ekstra-hepatik (selain hati) dan jalan-jalan kawalseliaannya. NAFLD dikaitkan dengan risiko ketara penyakit jantung kardiovaskular (CVD) dan peningkatan morbiditi dan mortaliti yang berkaitan dengan  serangan kardiovaskular.

 

Apa yang saya rasa jika saya ada NAFLD?

Kebanyakan orang menghidap NAFLD hidup dengan lemak dalam hati dan tiada gejala lain. Jika anda ada NASH, antara gejala yang ada ialah keletihan yang teruk, susut berat badan, mata atau kulit kekuningan dan gatal kulit. Tetapi ini boleh mengambil masa bertahun-tahun sebelum ia timbul.

 

Bagaimana mendiagnos NAFLD?

Diagnosis NAFLD biasanya disyaki dalam individu yang lebih berat badan atau obes yang mengalami peningkatan enzim hati semasa ujian darah rutin. Diagnosis ini boleh disahkan melalu ultrabunyi dan pengecualian ambilan alkohol yang ketara dan punca-punca lain seperti Hepatitis B dan C. Hati berlemak dikenalpasti dengan ultrasonografi berdasarkan ciri-ciri berikut: ‘echognicity’ meningkat, ‘posterior attenuation’ (imej posterior menjadi lebih gelap) dan kehilangan rupa bentuk ‘intrahepatic’. Buat masa kini, pemeriksaan histopatologi spesimen biopsi hati ialah satu-satunya cara yang diterima untuk menentukan NAFLD.

Jika ada lemak tanpa keradangan atau kerosakan tisu, kita menggelarnya NAFLD.

Jika ada lemak, keradangan dan kerosakan hati, diagnosisnya ialah NASH.

Jika anda ada tisu parut dalam hati yang dipanggil fibrosis, hati sudahpun menjadi sirosis.

Bagaimana merawat NAFLD?

Malangnya, tiada rawatan khusus untuk NAFLD. Perubahan gaya hidup ialah yang seharusnya anda lakukan:

  1. Mengurangkan berat badan
  2. Senaman yang kerap
  3. Mengawal diet (Diet Mediterranean lebih berkesan daripada diet lemak rendah)
  4. Menurunkan tahap kolesterol dan trigeliserida
  5. Mengawal diabetes
  6. Menghindari alcohol dan ubat tradisional yang tidak diperlukan atau ubat ‘beli di kaunter’ (over-the-counter, OTC)
  7. Sebagai tambahan, ‘bariatric surgery’ pembedahan mengecilkan perut juga dinasihatkan kepada pesakit yang terlampau obes

 

Walaupun perubahan gaya hidup terbukti berkesan, ramai pesakit yang sukar mengikuti nasihat ini.

Meminum kopi nampaknya mengurangkan risiko mendapat hati berlemak dalam beberapa kajian kohort. Antioksidan seperti Vitamin E, selenium dan betain mungkin berfaedah dan kajian sedang dijalankan. Asid ursodeoxycholic ada menunjukkan faedah dalam beberapa pesakit yang mengalami peningkatan enzim hati.

Oleh Dr. Chieng Jin Yu, Pensyarah Perubatan, Pakar runding Gastroenterologi dan Hepatologi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

[Artikel ini kepunyaan Malaysian Medical Gazette. Sebarang terbitan semula (dalam atau luar talian) tanpa izin bertulis daripada Malaysian Medical Gazette adalah dilarang.]

Rujukan:

  1. Goh SC et al. Prevalence and risk factors of non-alcoholic fatty liver disease in a multiracial suburban Asian population in Malaysia. Hepatology International. 2013 Jun;7(2):548-54.

Chan WK et al. Non-alcoholic fatty liver disease in a young multiracial Asian population: A worrying ethnic predilection in Malay and Indian males. Hepatology International, 8(1), 121-127.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box