Daniel kelihatan berjalan terhincut-hincut sejak pulang daripada sekolah.
“Kenapa ni Daniel?” Puan Hasnah yang sedang menunggu anaknya di kereta pelik melihat keadaan Daniel. “Eh, panasnya dahi Daniel, demam ni!” kata Puan Hasnah lagi apabila dia meletakkan tangannya di dahi Daniel.
“Betis Daniel ni sakit la Mama.” Daniel menyinsing seluar sekolahnya. Kelihatan benjolan sebesar bola golf pada betis kanan Daniel. Benjolan itu berwarna kemerahan.
“Bagi Mama tengok…” Puan Hasnah menundukkan kepalanya bagi melihat benjolan tersebut dengan lebih dekat. Daniel menarik kakinya.
“Mama jangan sentuh tau, sakit…”
APAKAH ITU ABSCESS?
Abscess adalah salah satu kondisi yang amat kerap dirujuk kepada kami di Jabatan Ortopedik. Ia adalah benjolan yang berisi nanah yang boleh terbentuk di mana-mana sahaja pada badan manusia termasuk tangan, kaki, kepala, badan malah pada struktur dalam badan manusia termasuk di dalam otot dan pada organ dalaman manusia termasuk hati (liver) manusia.
Ia biasanya disebabkan oleh jangkitan bacteria Staphylococcus areus atau Streptococcus species. Namun, terdapat juga jangkitan yang disebabkan oleh spesis organisma Enterobacter, Klebsiella dan Pseudomonas.
Kulit yang dijangkiti akan menjadi kemerah-merahan, terasa panas dan membengkak. Pesakit biasanya mengalami demam panas dan kesakitan pada anggota yang terlibat, sekaligus menyebabkan kesakitan ketika melakukan pergerakan ataupun sentuhan.
Antara punca berlakunya abscess adalah disebabkan gigitan serangga, luka yang tidak dicuci (dressing) ataupun sekiranya pesakit mempunyai jangkitan kuman yang lain pada masa yang sama. Ada masanya, tiada punca dijumpai.
Abscess juga lebih kerap berlaku kepada pesakit yang mempunyai daya ketahanan yang lemah (immunocompromised) seperti pesakit kencing manis (Diabetes Mellitus), Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) dan pesakit yang memerlukan rawatan steroid berpanjangan.
PEMERIKSAAN DAN DIAGNOSIS
Benjolan nanah di permukaan kulit agak mudah didiagnos secara klinikal iaitu melalui pemeriksaan fizikal. Semasa pemeriksaan, benjolan ini berwarna kemerahan dan panas apabila disentuh. Karakter ‘fluctuant’ apabila dipegang menjurus kepada diagnosis ini.
Namun, nanah yang terbentuk pada lokasi yang agak dalam memerlukan bantuan siasatan yang lebih khusus. Nanah di dalam otot contohnya, memerlukan pemeriksaan ultrabunyi (ultrasound) manakala nanah di dalam organ dalaman seperti hati (liver) memerlukan konfirmasi melalui CT scan.
RAWATAN
Secara prinsipnya, ‘setiap nanah perlu dikeluarkan’. Dengan erti kata lain, pesakit perlu melalui pembedahan ‘Incision and Drainage.’ Bius akan diberi dan tirisan akan dibuat pada permukaan kulit bagi mengeluarkan nanah tersebut.
Jenis bius yang diberikan bergantung kepada saiz dan lokasi benjolan nanah tersebut. Sekiranya benjolan itu kecil dan berada dipermukaan, hanya bius setempat diperlukan. Walaubagaimanapun, sekiranya benjolan nanah itu besar atau berada di dalam otot, maka bius penuh akan diberikan.
Rawatan juga termasuk antibiotik untuk membunuh kuman/bakteria. Tempoh minimum antibiotik adalah tiga hari dan antibiotik ini biasanya akan ditukar kepada yang sensitif terhadap kuman nanah tersebut setelah kami mendapat keputusan daripada makmal. Secara umumnya, antibiotik akan diberikan selama seminggu.
Anda perlu segera ke hospital sekiranya mengalami tanda-tanda di atas. Kami perlu memastikan diagnosis yang tepat dapat dilakukan. Antara kemungkinan lain yang mungkin berlaku selain daripada benjolan nanah ini adalah:
- Cellulitis: Jangkitan yang berlaku adalah pada bahagian permukaan kulit sahaja
- Necrotising fasciitis: Jangkitan yang melibatkan tisu yang lebih dalam seperti fascia. Ia adalah kondisi yang amat berbahaya dan boleh membawa kematian sekiranya rawatan lambat diberikan.
Rawatan bagi Cellulitis dan Necrotising fasciitis adalah berbeza jika dibandingkan dengan benjolan nanah (abscess). Anda boleh baca mengenai kondisi tersebut di laman sesawang kami ini.
Anda perlu berehat selama beberapa hari di hospital bagi memastikan jangkitan kuman ini dapat dirawat sepenuhnya. Bengkak dan kemerahan pada anggota badan anda akan lebih cepat surut sekiranya anda mengangkatnya pada paras yang lebih tinggi daripada paras jantung dan mengurangkan berjalan ketika rawatan diberikan.
Luka tirisan tersebut perlulah dicuci setiap hari sehingga bersih. Setelah ia benar-benar bersih, luka tersebut perlu dijahit kembali sekiranya ia besar. Namun, jika saiznya kecil, cucian luka boleh dilakukan di klinik berdekatan sehingga ia tertutup dengan sendirinya.
Sekiranya nanah terletak di dalam organ dalaman anda, anda mungkin memerlukan tempoh rawatan antibiotik yang lebih lama di hospital bagi memastikan kuman dapat dihapuskan sepenuhnya.
RUJUKAN
- Postgraduate Orthopaedics. Paul A. Banaszkiewicz. Cambridge University Press 2009; page 346
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]