Air merupakan salah satu daripada keperluan asas dalam kehidupan manusia. Mengikut kajian, manusia hanya mampu hidup maksimum 4 hari tanpa bekalan air, manakala melalui 3 asas peraturan untuk kehidupan, kebiasaanya seseorang boleh hidup selama 3 minit tanpa oksigen, 3 hari tanpa air, dan 3 minggu tanpa makanan. Air bukan sahaja dapat menghilang kehausan namun terdapat pelbagai kelebihan air yang tidak diketahui umum.
Tahukah anda bahawa airlah yang mengangkut bahan- bahan penting untuk kelangsungan hidup kita seperti oksigen dan nutrien ke seluruh badan. Oksigen dan nutrien ialah bahan bakar penting dalam proses respirasi iaitu, pernafasan untuk menghasilkan tenaga dalam badan kita. Tanpa air, kita tidak mempunyai tenaga untuk melakukan kerja- kerja seharian. Selain itu, air juga yang mengawal tekanan darah dan suhu badan kita. Kekurangan air atau dehidrasi boleh menyebabkan kelesuan haba atau ‘heat exhaustion’. Seterusnya, keseimbangan elektrolit seperti natrium, kalium dan magnesium juga dikawal oleh air. Garam-garam mineral ini perlu berada dalam julat yang normal supaya badan kita oleh berfungsi dengan baik. Di samping itu, air juga dapat melindungi organ dan tisu badan melalui penyerapan hentakan dan mengurangkan geseran pada sendi-sendi. Dari segi sistem penghadaman pula, air berfungsi sebagai pelawas untuk membantu proses penghadaman yang baik.
Namun, sering kali kita dengari isu-isu pencemaran air yang berlegar dalam media massa. Sebagai contoh, pencemaran air di Sungai Kim kim, Hulu Sungai Kelantan dan Sungai Selangor. Pencemaran sungai-sungai ini bukan satu kesan bencana alam namun ia merupakan akibat perbuatan manusia sendiri. Sebagai contoh di Sungai Kim kim dan Sungai Selangor, ia berpunca daripada pembuangan sisa bahan kimia secara haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Penduduk berdekatan Sungai Kim kim terutamanya kanak-kanak daripada sekolah berdekatan mengalami simptom seperti sesak nafas dan muntah kerana terdedah kepada gas metana, hidrogen klorida, akrilonitril, akrolein, benzena, toluena, xylene dan limonene yang dilupuskan tanpa permit. Pembukaan kawasan hutan dan pembuangan sisa pertanian yang berlaku di Kelantan juga menjejaskan kualiti air dan tidak mampu untuk menampung kehidupan air seperti ikan, udang dan siput etak. Yang tinggal adalah hidupan air yang tercemar, apabila manusia mengambil dalam kuantiti yang tertentu dalam jangka masa yang lama, boleh membawa kemudaratan kepada manusia contohnya benzena di dalam hidupan air yang boleh membawa kepada leukaemia dan limfoma.
Di dalam Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat 2 unit yang bertanggungjawab untuk memastikan semua penduduk di Malaysia memiliki sumber air bersih iaitu Kualiti Mutu Air Minum (KMAM) dan Unit Bekalan dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS). Dua unit yang jarang didengari namun memegang peranan yang penting dalam menyalurkan air yang bersih dan keperluan sanitasi kepada masyarakat di Malaysia. Unit KMAM berperanan untuk memastikan air minum yang dibekalkan bersih dan selamat untuk digunakan oleh pengguna. Persampelan air secara berkala akan dijalankan untuk mengelakkan penyebaran penyakit bawaan air seperti kolera, Tifoid, Hepatitis A dan lain-lain. Manakala, pihak BAKAS pula berperanan untuk mengurangkan penyakit bawaan air dan makanan melalui penyediaan kemudahan asas bekalan air dan sanitasi kepada penduduk luar bandar contohnya melalui pembinaan sistem bekalan air luar bandar atau ‘gravity feed system’ (GFS) dan keperluan sanitasi seperti tandas, sampah, dan air limbah. Bekalan air ini penting kepada penduduk kawasan berbukit seperti orang asli dan kawasan yang jauh daripada sistem bekalan air berpusat manakala pengurusan sisa pepejal yang sistematik di kawasan luar bandar juga berfungsi untuk mengelakkan penyebaran penyakit berjangkit. Justeru, KMAM dan BAKAS adalah dua unit yang penting dalam sektor Kesihatan Awam untuk memainkan peranan dalam memantau dan memastikan penyaluran air bersih kepada orang awam, dan mengelakkan penyebaran penyakit berjangkit.
Di samping itu, Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 telah diwartakan pada 6 Jun 2024 dan telah mula berkuatkuasa bermula 7 Julai 2024. Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 adalah pindaan kali ke-7 dan memberi keutamaan kepada pindaan hukuman, denda dan penalti dimana melibatkan julat kadar denda antara RM5,000 hingga RM10 juta, selain penjara mandatori tidak melebihi lima tahun. Kesalahan yang melibatkan penjara mandatori adalah pencemaran air, gagal mengemukakan laporan ‘Environmental Impact Assessment’ (EIA), ingkar perintah larangan dan pelupusan haram buangan terjadual. Selain itu, kadar kompaun juga ditingkatkan daripada maksimum RM2,000 kepada tidak melebihi 50% daripada nilai denda maksimum kesalahan berkaitan. Tuntasnya, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yakin bahawa pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ini akan memantapkan penguatkuasaan, pencegahan pencemaran dan jenayah alam sekitar daripada terus berulang, selain mendidik pihak industri dan masyarakat untuk melestarikan alam sekitar.
Di dalam Al-Quran ada dinyatakan maksudnya: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.” Surah al-A’raf (56)
Ia jelas di sini bahawa merosakkan alam sekitar adalah larangan dalam agama Islam dan rahmat Allah SWT adalah dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya. Maka, marilah sama-sama kita berusaha untuk menjaga alam sekitar dan mengelakkan semua jenis pencemaran bukan sahaja pencemaran air. Marilah kita berfikir sejenak, apa yang kita telah lakukan sebagai anak bangsa Malaysia untuk memastikan air kita selamat?
Artikel ini ditulis oleh Nur Affisa Emalin binti Mohd Roshanaffi (Pelajar Perubatan Tahun 5, IIUM) dan Dr Noor Artika Binti Hassan (Pensyarah Kulliyyah Perubatan, IIUM).