Menghisap jari adalah tabiat semulajadi seorang bayi yang mungkin bermula dari dalam kandungan lagi. Proses ini adalah normal kerana inilah caranya bayi belajar menyusu. Bayi akan menghisap sebarang objek yang diletakkan di dalam mulut secara automatik. Lama-kelamaan, bayi akan berasa seronok menghisap jari oleh kerana tabiat ini memberikan kepuasan, menyebabkan ia berasa makin ghairah untuk menghisap jari. Menurut Sigmund Freud, menghisap jari adalah salah satu cara kanak-kanak meneroka badannya sendiri dan juga membantu membina personaliti.
Ada kanak-kanak suka hisap ibu jari, manakala yang lain lebih cenderung menghisap jari lain atau puting. Namun begitu, tidak kiralah apa yang dihisap, kesannya tetap sama sekiranya tabiat ini diteruskan setelah kanak-kanak itu melangkaui umur 5-6 tahun. Secara umum, kesan buruk menghisap jari tidak akan kelihatan sekiranya kanak-kanak tersebut cuma mengamalkan tabiat ini ketika gigi mereka masih 100% gigi susu. Lagi lama tabiat menghisap jari diamalkan, lagi tinggi peluang untuk kanak-kanak tersebut mendapat kesan buruk akibat menghisap jari secara berpanjangan.
Kenapa sesetengah kanak-kanak menghisap jari?
- Pada mulanya, sucking reflex (refleks menghisap) digunakan untuk menyusu. Lama-kelamaan, kanak-kanak tersebut mula berasa seronok menghisap, lalu akan menghisap jarinya untuk mendapatkan keseronokan.
- Tabiat menghisap jari mampu menenangkan dan membuatkan kanak-kanak berasa selamat, contohnya ketika terpisah daripada ibu bapa atau berada dalam suasana asing seperti di tadika.
- Sepertimana sesetengah kanak-kanak tidak boleh tidur tanpa bantal busuk mereka, ada kanak-kanak yang tidak boleh tidur jika tidak menghisap jari; tabiat menghisap jari dan memeluk bantal busuk menenangkan dan memudahkan mereka tidur.
Apakah masalah yang boleh timbul daripada tabiat ini?
Kesan buruk akibat menghisap jari bergantung kepada kekerapan, tempoh masa dan kekuatan daya hisapan. Menghisap jari dengan kuat tetapi untuk masa yang singkat mungkin tidak akan memberikan kesan yang begitu ketara berbanding menghisap jari dengan perlahan tetapi untuk masa yang lama, contohnya sepanjang malam ketika kanak-kanak tersebut tidur. Beberapa kajian mencadangkan bahawa sedikit daya hisapan sudah cukup untuk menggerakkan gigi, jika daya itu diaplikasikan untuk masa yang lama. Jadi, sekiranya jari hanya dihisap dengan perlahan tetapi kekal di dalam mulut sepanjang malam, daya yang dihasilkan cukup untuk menggerakkan gigi dan menimbulkan kesan-kesan lain yang tidak diingini.
- Occlusion boleh dihuraikan secara ringkas sebagai hubungan gigi atas dan gigi bawah apabila kedua-keduanya dirapatkan ketika menggigit. Dalam occlusion yang normal, gigi hadapan atas akan menindih gigi hadapan bawah kira-kira 2-4 mm, supaya hanya separuh dari gigi hadapan bawah yang akan kelihatan. Namun, jika tabiat ini diamalkan secara berpanjangan, jari yang dihisap akan menekan gigi ke dalam secara berpanjangan, menyebabkan gigi hadapan atas dan bawah menjadi jarang dan tidak lagi menindih. Pada tahap ini, anak anda mungkin sedikit pelat apabila bertutur, terutamanya ketika menyebut beberapa huruf seperti ‘s’dan ‘f’.
- Bergantung kepada kedudukan jari di dalam mulut, gigi hadapan kanak-kanak tersebut mungkin akan bergerak lebih ke hadapan atau lebih ke belakang.
- Ketika menghisap, pipi kanan dan kiri akan menghimpit rahang. Jika ini dilakukan secara berterusan, rahang boleh mengecut dan menjadi sempit (seperti bentuk huruf V), lalu akan berlaku kekucar-kaciran dalam kedudukan gigi. Ini tentunya akan merosakkan penampilan kanak-kanak tersebut dan mungkin boleh mengurangkan keyakinan diri yang sepatutnya dibina dalam proses pembesaran.
Bagaimana cara untuk menghentikan tabiat ini?
- Memberi galakan membina. Contohnya, puji anak anda apabila dia tidak menghisap jari berbanding memarahinya ketika dia menghisap jari. Anak anda akan lebih gembira dan lebih bermotivasi untuk berhenti.
- Ganjaran seperti mainan, makanan kegemaran atau lawatan ke tempat kesukaannya seperti zoo sebagai hadiah untuk anak anda. Elakkan makanan bergula kerana ia hanya akan memburukkan keadaan.
- Kanak-kanak yang lebih matang, contohnya yang berusia 6-7 tahun ke atas mungkin boleh memahami kesan-kesan buruk menghisap jari jika diterangkan. Oleh itu, mereka boleh dimotivasi dan diberi galakan untuk berhenti dengan sendiri. Jika mereka tidak mampu berhenti terus (cold turkey method), buat sasaran yang realistik mereka capai, contohnya tidak menghisap jari ketika menonton televisyen. Mereka mungkin akan berasa tidak selesa dalam proses berhenti. Oleh itu, anda harus memberi sokongan dan sentiasa berada di sisi mereka sehingga mereka berjaya.
- Alat bantuan boleh digunakan untuk menghalang mereka menghisap jari seperti menyapu larutan yang pahit ke atas jari, membalut jari yang dihisap atau memakaikan sarung tangan semasa tidur.
- Oral appliance (alat oral) adalah alat logam berbentuk dawai kokot yang diletakkan di belakang gigi hadapan atas yang bertindak sebagai penghalang kanak-kanak tersebut meletakkan jari ke dalam mulut untuk dihisap. Perlu diingatkan bahawa alat ini selalunya berguna untuk kanak-kanak yang lebih dewasa atau remaja yang ingin berhenti tetapi tidak berjaya menggunakan cara-cara yang lain.
Tuntasnya, ibu bapa dan doktor gigi harus berkerjasama ke arah mengesan malocclusion (occlusion tidak normal) yang disebabkan oleh tabiat menghisap jari kronik, dan membuat keputusan untuk ‘campur tangan’ pada masa yang sesuai. Walaupun secara teori terdapat banyak cara untuk menghentikan tabiat ini, pada asasnya kita perlu mencari cara yang paling sesuai untuk anak anda ikuti dan seterusnya mencuba mengurangkan kesan buruk tabiat menghisap jari.
Dr. Husna Razak (BDS) (KLE VK) seorang pegawai pergigian yang sedang bertugas di Kelantan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
Rujukan:
- http://www.ada.org/sectionscienceAndResearch/pdfs/patient_77.pdf
- http://www.jisppd.com/article.asp?issn=0970-4388;year=2008;volume=26;issue=7;spage=114;epage=117;aulast=Singh
- http://www.orthodontists.org.nz/common-orthodontic-issues?id=48
Gambar rujukan:
Malocclusion: http://tguard.com/tag/finger-sucking/
Daya dan tekanan ke atas mulut dan rahang akibat menghisap jari: http://www.intelligentdental.com/2010/09/23/how-to-fix-an-open-bite/
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]