Mengenali dan mencegah denggi – Satu kemahiran yang wajib untuk ibu bapa zaman ini!
Kita selalu dengar bahawa untuk membasmi denggi, kita perlu memperkasakan masyarakat. Secara peribadi, saya lebih senang mengatakan yang mencegah denggi harus bermula dari rumah sendiri. Jika setiap keluarga faham akan konsep-konsep mudah ini dan bertanggungjawab mempertahankan keluarga masing-masing daripada serangan nyamuk Aedes, secara automatik kita boleh menghubungkan satu keluarga dengan keluarga lain dan membentuk rantaian perisai perlindungan dalam komuniti kita. Berikut ialah beberapa konsep asas yang boleh diamalkan oleh ibu bapa berhubung mempertahankan anak-anak dan keluarga daripada denggi dan ancaman maut yang dibawa olehnya.
Lengkapkan diri dan anak-anak dengan ilmu demam denggi
‘Tak tahu’ bukan ‘tak mengapa’. Memahami beberapa poin penting tentang denggi membantu ibu bapa serta ahli keluarga membuat keputusan untuk pesakit denggi. Ya, kes denggi sangat berleluasa pada masa kini, hinggakan ibu bapa perlu menjadi ‘Doktor’ kepada ahli keluarga dan anak-anak supaya dapat bertindak dengan tepat.Walaupun tiada rawatan khusus untuk denggi, namun pengesanan awal serta mendapatkan khidmat nasihat doktor dengan segera dapat mengurangkan kadar kematian akibat denggi.
Apa yang saya perlu tahu tentang denggi? Masa bahaya selalunya apabila demam kebah selepas 3-4 hari.
Dalam kes denggi yang tipikal, seseorang akan mengalami demam kuat (>38˚ C) dalam tiga hari pertama. Masalah timbul pada hari keempat, demam akan surut dan ibu bapa mengandaikan semua telah pulih dan anak mereka kembali seperti sediakala. Jika bukan denggi, demam yang kebah merupakan berita baik tetapi jika ianya denggi, inilah masa di mana ibu bapa mungkin terlepas pandang. Mereka tidak sedar bahawa bagi demam denggi, apabila demam kebah, inilah masa yang kritikal dan air tiris keluar daripada sel. Ia boleh termanifestasi dengan banyak cara dan jika tidak dikawal, boleh menyebabkan kegagalan organ dan kematian. Maka, wahai ibu bapa, apabila demam anak anda surut, itu tidak bermakna dia bebas denggi. Selepas demam surutlah anda perlu lebih berhati-hati dan berjaga-jaga dengan tanda-tanda lain.
Berjaga-jaga dengan tanda-tanda amaran
Ia selalunya timbul apabila demam kebah atau berlaku semasa demam. Ini biasanya mencabar kerana kanak-kanak mungkin tidak memberitahu atau tidak mampu menceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Hatta pada orang dewasa pun fasa ini biasanya terlepas, apatah lagi pada kanak-kanak. Manifestasi gejala-gejala ini adalah kabur, contohnya rasa tidak senang, tidak selesa, gelisah, lesu, hilang selera, tidak aktif atau tidak seperti kebiasaan. Mereka juga boleh mengadu sakit perut, susah bernafas, pening kepala, muntah-muntah, cirit-birit dan pendarahan. Anda mungkin rasa yang gejala-gejala ini terlalu umum. Memang pun kerana apabila air tiris keluar daripada sel, ia boleh berlaku di mana-mana sahaja di dalam tubuh. Saya pernah kenal seorang pesakit yang datang selepas 3 hari demam dan kurang selera makan. Cuba teka? Jawapannya denggi. Yang ingin saya katakana di sini ialah jangan ambil mudah tentang gejala-gejala ini. Jika ada keraguan, sila bawa anak berjumpa doktor. Kita tidak tahu sama ada ia demam denggi atau tidak dan kesamaran itu boleh dijelaskan serta-merta dengan satu ujian darah yang mudah.
Perlukah selalu cucuk-mencucuk mengambil darah itu? Kasihan anak saya…
Apabila berdepan dengan denggi, jawapannya ya.
Biasanya apa yang berlaku ialah, apabila anda membawa anak anda ke klinik dan doktor mengesyaki denggi (berdasarkan riwayat dan pemeriksaan kesihatan) ambilan darah yang pertama dilakukan untuk mengesahkan denggi. Zaman ini, kebanyakan klinik kesihatan awam primer dilengkap dengan kit diagnosis denggi.
Sekarang, bahagian seterusnyalah yang menjadi penentu. Jika daripada pertimbangan doktor mengatakan anak anda serius (mengambil kira tanda-tanda amaran, sekali dengan keputusan darah dan anak tidak dapat minum air sendiri) maka doktor akan memasukkan anak anda ke wad. Walau bagaimanapun, jika tidak perlu ke wad, maka doktor akan menasihatkan ibu bapa membawa anak pulang ke rumah, pastikan mereka minum air dengan cukup dan bawa anak kembali ke kllinik dengan segera jika ada tanda-tanda amaran ataupun datang semula pada hari yang sama atau keesokannya jika tiada tanda amaran, bergantung kepada pertimbangan doktor.
Bagi kebanyakan ibu bapa, lawatan-lawatan lanjut yang selalunya menjadi isu. Ada ibu bapa yang terlalu bimbang akan kerja mengambil darah yang menyebabkan mereka membuat rawatan sendiri di rumah. Barangkali ibu bapa ini tidak sedar yang lawatan lanjut sebenarnya penting untuk para doktor menaksir keadaan anak tersebut dan keputusan pemeriksaan darah sangat penting untuk doktor memantau pemulihannya. Dalam banyak kes denggi, kesihatan kanak-kanak merosot dengan cepat dan kita tidak mahu ini berlaku. Apalah sangat sakit dicucuk berbanding nyawa yang lebih berharga.
Jika jiran anda kena, besar kemungkinan anda juga boleh kena denggi!
Berwaspadalah dengan kes denggi yang baru berlaku di kawasan kejiranan anda. Jika ada jiran yang terkena denggi, besar kemungkinan tempat pembiakan dan nyamuk ada berdekatan. Besar juga peluang anda mendapat denggi. Jika anda sedar perkara ini, anda harus lebih berhati-hati apabila ada ahli keluarga atau anak-anak yang demam. Inilah apa yang saya maksudkan dengan melawan denggi memerlukan semua anggota masyarakat berganding tenaga. Kita selalu fikir, rumah saya tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes, maka saya selamat. Tidak, bukan begitu keadaannya. Nyamuk-nyamuk jiran anda boleh sahaja menjenguk ke rumah anda dan menggigit anak anda. Dan harus diingati, operasi wasap/kabus ‘fogging’ hanya membunuh nyamuk tetapi tidak memusnahkan telurnya. Oleh itu, sangat penting kita menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.
Asuh konsep asas kesihatan dan kebersihan pada anak-anak dan amalkan pada diri sendiri.
- Ajari anak anda untuk memberitahu orang dewasa atau cikgu dengan segera apabila mereka tidak sihat.
- ‘Tidak sihat’ pada kanak-kanak tak sama dengan ‘tidak sihat’ pada orang dewasa. Ia boleh jadi rasa panas (demam), batuk/selsema, loya, tak selera makan, tak nak bermain, tak boleh tidur. Ini perkara yang ibu bapa boleh jelaskan kepada anak-anak. Kadang kala, kita terlepas pandang hal demam dan mencari gejala-gejala yang samar. Apabila kita mengajar anak-anak cara menyatakan rasa, kita dapat mengagak kes denggi dengan lebih berkesan.
- Ajari anak-anak perkara yang mudah-mudah semasa mereka tidak sihat seperti minum banyak air (ya, yang paling ideal ialah air kosong tetapi dalam hal denggi dan kanak-kanak, minum air apa pun tak mengapa), makan buah, makan ubat yang dipreskripsi oleh doktor dan basuh tangan dengan tertib.
- Beritahulah anak-anak kita tentang nyamuk Aedes dan demam denggi bawaannya. Melihatkan jumlah kes denggi di Malaysia yang terus meningkat, mungkin semua kanak-kanak wajib kenal nyamuk Aedes seawal umur tadika lagi.
- Akhirnya, kepimpinan melalui teladan. Pertama, janganlah kita membuang sampah keluar tingkap kereta, mula mengitar semula sampah dan bersihkan mana-mana tempat yang berpotensi menjadi tempat nyamuk bertelur di rumah kita sendiri. Anak-anak kita memerhati tindakan kita, terutamanya anak kecil. Tabiat baik diasuh dari awal menerusi perbuatan kita.
Kita tidak boleh main teka-teka sahaja dalam perkara denggi, siapa puncanya dan bagaimana mencegahnya. Bukti-buktinya sudah terang lagi bersuluh. Dengan membersihkan tempat pembiakan, sekaligus memusnahkan telur-telur dan justeru mengurangkan nyamuk Aedes, lalu mengurangkan peluangnya menggigit manusia. Secara logiknyaini juga boleh mengurangkan bilangan kes denggi. Nampak tidak titik permulaan rantaian ini? Ya, ia bermula dengan tabiat kebersihan yang baik – tiada yang misteri padanya. Wahai ibu bapa di luar sana, sekarang anda sudah tahu, sudah semestinya anda boleh menyampaikan ilmu ini kepada ahli keluarga anda dan ia bermula dengan diri kita sendiri.
Dr. Dalila Roslan (MB Bch BAO (NUI) Sarjana Kesihatan Masyarakat (UKM) ialah calon DrPh di sebuah universiti tempatan. Artikel ini diterjemahkan oleh Azizul Ismie Mohd Puad daripada https://www.mmgazette.com/could-my-child-have-dengue-dr-dalila-roslan/
Rujukan:
- Draft CPG Management of Dengue Infection in Adults (3rd Edition) 2015
- Management of dengue fever in children, CPG, December 2004 MOH/P/PAK/95.04
- WHO dengue and severe dengue fact sheet http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs117/en/
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]