Apa yang perlu saya tahu mengenai tumor otak?
Tumor atau ketumbuhan otak sentiasa ditakuti, oleh kerana tanggapan umum mengenainya ialah ia sentiasa berakhir dengan kematian. Ketumbuhan otak yang biasa berlaku ialah metastatik (sebaran sel kanser) dari tempat-tempat lain dalam badan sementara hanya sebahagian kecil sahaja yang berasal dari otak sendiri. Oleh sebab ketumbuhan ini terselindung di sebalik tengkorak, pesakit hanya berjumpa doktor pada tahap-tahap yang lewat, apabila tanda-tanda klinikal sudah ketara.
Tanda-tanda ini timbul akibat struktur-struktur otak dihimpit oleh ketumbuhan atau peningkatan tekanan di dalam tengkorak yang disebabkan pembesaran ketumbuhan ini.
Tanda-tanda berikut adalah untuk kebanyakan masalah atau penyakit otak tetapi harus meningkatkan syak terhadap ketumbuhan otak, sekiranya:
- Aduan sakit kepala berpanjanganketika hamil
- Aduan sakit kepala berpanjangan pada dewasa lebih daripada 40 tahun
- Aduan sakit kepala berpanjangan pada kanak-kanak kurang daripada 6 tahun
- Sakit kepala yang tidak berkesan kepada rawatan biasa (Jangan dianggap sebagai sakit kepala biasa sahaja ataupun migrain, sila berwaspada)
- Sawan
- Muntah berpanjangan
- Lumpuh/kebas/lemah tangan atau kaki
- Perubahan tingkah-laku (resah/keliru)
- Prestasi menurun (sekolah/kerja)
- Penglihatan terjejas (kabur/penglihatan berganda/buta)
- Masalah pertuturan atau pendengaran yang baru
- Perubahan gaya berjalan / ketidakstabilan
Gejala-gejala di atas tidak semestinya khusus untuk ketumbuhan otak dan tidak mengesahkan anda menghidap ketumbuhan otak. Banyak lagi keadaan lain yang juga menunjukkan gejala yang sama seperti jangkitan otak atau kecacatan pada otak. Kebarangkalian menghidap ketumbuhan otak hanya akan disiasat apabila punca-punca yang lain telah diketepikan. Maka, jika anda rasa ada sesuatu yang tidak kena atau syak seseorang mempunyai tanda-tanda ketumbuhan otak, sila bertemu dengan doktor untuk menjelaskan keraguan anda. Mereka mampu membuat siasatan lanjut dan dapat mengesahkan jika anda menghidap penyakit atau tidak.
Dr. Vinodh Vayara Perumall merupakan seorang pegawai perubatan Neurosurgeri. Cintanya kepada bidang bedah otak telah membawa beliau dari Perak hingga ke Sabah. Artikel ini diterjemahkan oleh Azizul Ismie Mohd Puad daripada https://www.mmgazette.com/do-i-have-brain-tumour-dr-vinodh-vayara-perumall/
Rujukan:
- Handbook of Neurosurgery; Greenberg; 7th Edition(2010; 585-90); ThiemeTop of FormBottom of Form
- Dutch GP Association study on Causes of headaches ( Adapted from Wikipedia ): Gezondheid.Nv. (13 April 2005). “Alles over hoofdpijn”. Gezondheid.be. Retrieved 17 February 2012.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]