Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit dan Pencegahan (CDC) sangat mengesyorkan supaya kanak-kanak berusia melebihi 5 tahun ke atas mendapatkan vaksin covid-19 untuk mencegah jangkitan.
Kenapakah mereka perlu mengambilnya?
Adakah ianya perlu?
Statistik dari negara maju telah menunjukkan bahawa, sekurang-kurangnya, 28 juta kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun telah dilaporkan berada di negara maju United States, dan hampir 2 juta kes darinya telah dilaporkan dikalangan mereka telah mendapat jangkitan covid-19 setelah berlakunya pandemik covid-19 secara tiba-tiba ini.
Jangkitan berbahaya ini telah menyebabkan ada dikalangan kanak-kanak telah mendapat komplikasi yang sangat teruk dan di masukkan ke hospital dalam masa yang terlalu lama dan ada juga di kalangan mereka yang telah meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan yang sangat teruk dari jangkitan covid-19 ini.
Golongan ini sangat berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan berbanding golongan dewasa kerana mereka lebih mudah mendapat kesan yang teruk, senang untuk mendapat risiko komplikasi kesihatan jangka masa pendek dan juga komplikasi jangka panjang dan kebarangkalian jangkitan kepada orang lain termasuk ketika mereka berada di rumah atau semasa di sekolah harian mereka.
Apakah kesan covid-19 kepada kanak-kanak?
Tahukah anda bahawa, jangkitan covid-19 adalah dalam lingkungan 10 teratas kematian di kalangan kanak-kanak yang berumur antara umur 5 hingga 11 tahun untuk tahun 2021?
Kanak-kanak yang mendapat jangkitan ini boleh mendapat komplikasi yang serius iaitu sindrom ‘MIS-C’- Multisystem Inflammatory Syndrome iaitu keadaan dimana organ dalaman dan bahagian tubuh membentuk keradangan termasuk di bahagian organ jantung, buah pinggang, peparu, otak, kulit, mata atau sistem pencernaan usus. Untuk pengetahuan kita semua, sejak berlakunya pandemik secara tiba-tiba ini, lebih dari 2300 kes telah dilaporkan mendapat masalah sindrom ini yang berlaku dikalangan kanak-kanak yang berusia antara 5 hingga 11 tahun setelah mereka mendapat jangkitan covid-19.
Kanak-kanak juga berisiko untuk mendapat sindrom ‘Long-covid’ selepas mendapat jangkitan. Data yang dilaporkan adalah terhad buat masa kini dan dalam proses pemerhatian, akan tetapi risikonya adalah lebih rendah berbanding dengan golongan dewasa.
Kanak-kanak juga mendapat kesan emosi dan fizikal yang teruk setelah mendapat jangkitan ini. Ianya juga akan melibatkan masalah keharmonian keluarga dan kesan social yang berpanjangan termasuk mengganggu masa pembelajaran yang seterusnya menggangu perkembangan kanak-kanak.
Tahukah anda bahawa kanak-kanak yang mempunyai sejarah penyakit adalah sangat-sangat berisiko untuk mendapat jangkitan covid-19 dan komplikasi yang teruk berbanding kanak-kanak yang tidak mempunyai sejarah penyakit?
Adakah benar vaksin covid-19 dapat mencegah dan melindungi diri dari jangkitan covid-19 kepada kanak-kanak, keluarga dan orang ramai?
Ya, benar.
Dengan mendapatkan vaksin terbaik ini, ianya dapat mencegah dan melindungi diri untuk mendapat jangkitan serius ini.
Kenapa?
- Dengan mengambil vaksin ini, ianya secara tidak langsung akan melindungi seluruh ahli keluarga termasuk adik beradik yang tidak berpeluang untuk mendapatkan vaksin ini terutama bagi mereka yang berumur kurang dari 5 tahun dan kanak-kanak yang mempunyai sejarah alahan kepada vaksin.
- Imunisasi ini telah terbukti melalui kajian klinikal dan statistik boleh mengurangkan risiko jangkitan yang teruk sekiranya dijangkiti dengan kadar penyembuhan adalah sangat cepat dan kurang komplikasi.
- Ianya dapat memastikan kanak-kanak ini dapat terlibat dengan jayanya dalam aktiviti sukan, rekreasi dan aktiviti-aktiviti berkumpulan disekolah dengan selamat setelah divaksinkan.
Adakah vaksin ini benar-benar selamat untuk golongan kanak-kanak ini?
Sebelum menggalakkan supaya vaksin ini diberikan kepada golongan kanak-kanak, para saintis terulung di seluruh dunia telah menjalankan kajian percubaan klinikal (clinical trial) yang melibatkan ribuan kanak-kanak dan telah dapat membuktikan bahawa ianya adalah sangat selamat untuk diberikan kepada golongan kanak-kanak ini. Badan ‘Food and Drug Administration (FDA)’ yang berpusat di negara U.S.A telah mengesyorkan dan mencadangkan supaya vaksin jenis Pfizer-BioNTech diberikan kepada kanak-kanak yang berusia antara umur 5 tahun sehingga 15 tahun dan persetujuan penuh untuk mereka yang berusia melebihi 16 tahun dan ke atas.
Kelebihan vaksin adalah melebihi kemudaratan!
Vaksin ini telah dipantau keselamatan penggunaan dengan penuh cakna oleh badan-badan kesihatan dunia yang diiktiraf seperti CDC, FDA, WHO dan telah diberi kuasa mutlak dan di sahkan penggunaannya untuk golongan kanak-kanak ini yang berumur antara 5 hingga 11 tahun.
Hasil-hasil kajian terkini telah membuktikan bahawa:
- Kanak-kanak berusia 5 tahun dan ke atas boleh mengambil vaksin ini bersama-sama dengan vaksin influenza membuktikan ianya adalah sangat selamat
- Kesan sampingan selepas pengambilan vaksin adalah jarang.
- Komplikasi ‘myocarditis’ (radang otot jantung) dan ‘pericarditis’(radang permukaan luar jantung) selepas vaksinasi covid-19 pfizer adalah sangat-sangat jarang .
- Secara umunya, remaja berumur 12 tahun dan ke atas adalah lebih berisiko mendapat risiko radang jantung ini berbanding kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.
- Melalui kajian klinikal ini juga telah menunjukkan bahawa tiada kes dilaporkan mendapat kesan radang jantung untuk kanak-kanak berumur antara 5 hingga 11 tahun yang menerima vaksin Pfizer ini.
- Kesan sampingan alahan teruk seperti ‘anaphylaxis’ boleh berlaku untuk ke semua jenis vaksin bukan sahaja pada vaksin covid-19 malahan kepada vaksin-vasksin lain selain covid-19 akan tetapi kesan sampingan yang dilaporkan adalah sangat jarang.
- Kajian ini juga telah membuktikan bahawa vaksin ini tidak menyebabkan masalah kemandulan (fertility) untuk mereka di masa hadapan.
Apakah dos vaksin dan bagaimana cara pengambilannya kepada golongan kanak-kanak dan remaja?
- Ianya bergantung kepada umur kanak-kanak atau remaja pada masa tersebut dan bukan bergantung kepada berat seperti dos-dos ubat yang lain.
- Kanak-kanak berusia melebihi 12 tahun dan ke atas, dos vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 adalah sama seperti orang dewasa.
- Bagi kanak-kanak berumur antara 5 hingga 11 tahun, bahan-bahan utama dalam vaksin Pfizer ini adalah sama dengan golongan remaja dan dewasa. Akan tetapi, dosnya adalah tidak sama dan ianya dihasilkan dengan formula khas kanak-kanak dengan penyediaan dalam vial yang berbeza warna supaya dapat membezakan antara kanak-kanak berumur antara 5 hingga 11 tahun dan kanak-kanak berumur melebihi 11 tahun. Bagi mereka yang berumur antara 5 hingga 11 tahun, mereka memerlukan dos kedua selepas 3 hingga 8 minggu setelah mendapat dos yang pertama.
- Sekiaranya kanak-kanak ini berusia antara 11 hingga 12 tahun, dos kedua perlu diberikan menggunakan vaksin Pfizer ntuk kanak-kanak berumur melebihi 12 tahun dan ke atas iaitu dos orang dewasa. Sekiranya mereka telah mendapat kedua-dua dos tersebut ketika berusia 5 hingga 11 tahun, mereka dikira sudah menyempurnakan vaksin(fully vaccinated) dan tidak perlu mengambil vaksin lagi ketika berusia melebihi 12 tahun.
- Bagi mereka yang berumur 12 hingga 17 tahun, selang masa untuk ‘booster shot’ adalah 5 bulan setelah mendapat dos kedua.
- Mengikut kajian terkini, ’booster vaccine’ tidak disyorkan bagi mereka yang berumur 12 tahun ke bawah.
Apakah persediaan untik mendapatkan vaksin?
Ibu bapa perlu memberikan sokongan kepada anak-anak dan memberitahu bahawa pengalaman itu adalah sama seperti mendapatkan vaksin wajib ketika kecil.
Antara tips yang boleh diikuti:
- Bercakap dengan anak-anak mengenai vaksin ini dan apa keperluannya.
- Tidak digalakkan untuk menerikan ubat tahan sakit sebelum vaksinasi dilakukan bagi mengelakkan sakit kesan cucukan vaksin.
- Ibubapa perlu memberitahu kepada pemberi vaksin tentang sejarah alahan anak-anak.
- Untuk mengelakkan berlakunya kecederaan akibat pengsan atau lemah, anak-anak perlu duduk dengan sempurna atau berbaring dengan postur yang betul semasa vaksinasi dan berehat selama 15 minit setelah diberikan vaksin.
- Pihak perubatan akan memastikan kanak-kanak ini dalam pemerhatian selama 15 hingga 30 minit untuk memantau kemungkinan kecil gejala alahan yang teruk yang memerlukan rawatan segera dari pihak perubatan.
Apakah contoh kesan sampingan yang biasa?
Sama seperti kesan sampingan orang dewasa yang hanya bersifat sementara dan tidak teruk!
Antara kemungkinan kesan sampingan setempat yang biasa iaitu ditempat tusukan jarum adalah seperti sakit dibahagian bahu tempat vaksinasi, kemerahan dan pembengkakan yang hanya bersifat sementara. Kesan-kesan sampingan biasa sistemik (seluruh badan) adalah seperti letih, sakit kepala, sakit otot, berasa sejuk dan menggeletar, demam dan juga loya. Ianya adalah hanya bersifat sementara dan tidak kesemua merasai kesan sampingannya.
“SAYANGI DAN LINDUNGI ANAK KESAYANGAN KITA DARI VIRUS COVID-19!”
RUJUKAN:
- Clinical Gudeline on Covid-19 Vaccination for Children (5-11 years). 1st Edition, Ministry of Health Malaysia, 2022
- Covid-19 Vaccine Advice, World Health Organization (WHO), 2022.
- COVID-19 Vaccines for Children and Teens: Centers for disease and Control (CDC), 2021
ASST. PROF. DR. MOHAMMAD BIN HJ. CHE’ MAN
PENSYARAH PERUBATAN KLINIKAL/ PAKAR PERUBATAN KELUARGA
OCCUPATIONAL HEALTH DOCTOR
(MD. UKM, MMED, (FAMILY MEDICINE) USM), OHD(NISOH)
SPECIAL INTEREST: MEN HEALTH, PRIMARY CARE DERMATOLOGY, OHD
DEPARTMENT OF FAMILY MEDICINE,
KULLIYYAH OF MEDICINE, IIUM KUANTAN PAHANG.
ASST. PROF. DR. SHAHIDAH CHE ALHADI
PENSYARAH PERUBATAN KLINIKAL/ PAKAR BEDAH
(MBBS.IIUM, MMED, (SURGERY) USM)
SPECIAL INTEREST: BREAST AND ENDOCRINE SURGERY
DEPARTMENT OF SURGERY,
KULLIYYAH OF MEDICINE,
IIUM KUANTAN PAHANG.