Tumbuhnya gigi bongsu sinonim dengan kesakitan. Ada yang sampai demam, ada yang tidak boleh buka mulut malah ada yang tidak boleh makan dan minum seperti biasa, hinggakan sakit dan bengkak mulut akibat gigi bongsu ini dikira normal.
Apa itu gigi bongsu?
Gigi bongsu adalah gigi geraham besar kekal ketiga (terakhir) yang akan tumbuh di bahagian kiri dan kanan rahang paling belakang sekali. Biasanya, setiap orang ada 4 gigi bongsu; dua di atas dan dua di bawah. Secara umumnya, gigi kekal akan mula tumbuh seawal umur 6 tahun manakala gigi bongsu pula selalunya mula tumbuh pada usia 18 tahun atau lebih.
Kenapa sakit apabila gigi bongsu tumbuh, tidak seperti gigi-gigi lain?
Kadang kala, gigi bongsu tidak dapat tumbuh sepenuhnya pada gusi dan akan menimbulkan pelbagai masalah. Dua sebab utama kenapa gigi bongsu tidak dapat tumbuh sepenuhnya adalah:
- Tidak cukup ruang untuk tumbuh. Biasanya terjadi jika anda mempunyai rahang yang kecil.
- Dihalang gigi lain, selalunya gigi geraham besar kedua yang tumbuh di depan gigi bongsu.
Istilah untuk gigi bongsu yang tidak dapat tumbuh sepenuhnya adalah gigi terimpak (impacted tooth). Gigi yang separa terbenam dalam rahang ini boleh menimbulkan kesakitan jika:
1. Pericoronitis. Lapisan gusi yang separa meliputi gigi terimpak ini boleh bertindak sebagai ‘gudang’ pengumpulan plak berbakteria. Lama-kelamaan, pengumpulan plak di sekeliling gigi terimpak boleh menyebabkan radang gusi di kawasan itu. Keadaan ini dikenali sebagai ‘pericoronitis’.
Ciri-ciri pericoronitis: Gusi sakit, pedih, merah, rasa tidak sedap atau hanyir, dan bernanah. Jika berlanjutan boleh bengkak bahagian muka terbabit dan sukar untuk membuka mulut.
2. Gigi terimpak yang dihalang untuk tumbuh oleh gigi depannya lebih senang mendapat karies (pereputan struktur gigi). Oleh kerana ia terhalang oleh gigi geraham besar kedua, karies gigi bongsu mungkin tidak dapat dikesan lebih awal dan dibiarkan berlanjutan. Anda sendiri pun tahu apa akibat gigi berlubang – SAKIT!
3. Penyakit gusi kronik (chronic periodontitis) yang boleh berjangkit ke gigi sebelah. Kesannya? Gigi sebelah gigi bongsu yang elok itu mungkin akan jadi sangat longgar akibat penyakit gusi tahap kronik dan mungkin terpaksa juga dikorbankan.
4. Penyakit patologi lain yang melibatkan gigi bongsu adalah seperti cyst dan tumor. Anda patut berhati-hati jika terdapat bengkak pada rahang yang pada mulanya kecil tapi semakin lama semakin membesar, dan mungkin tidak sakit sama sekali.
Tiada bukti yang menyokong amalan mencabut semua gigi bongsu sebagai langkah pencegahan. Namun begitu, jika anda mengalami mana-mana keadaan di atas, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Rawatan untuk gigi bongsu yang sakit adalah:
Empat keadaan yang telah disebut di atas adalah antara sebab-sebab utama untuk rawatan cabutan gigi bongsu. Pembedahan kecil menggunakan bius setempat (minor surgery under local anaesthesia) mungkin diperlukan untuk mengeluarkan gigi bongsu tersebut. Pembedahan mungkin mengambil masa 20 minit hingga satu jam, bergantung pada tahap kesukaran.
Ketika pembedahan, anda akan merasa sedikit tekanan ke atas rahang anda dalam proses untuk mengeluarkan gigi tersebut kerana ruang di sekeliling gigi tersebut harus dilonggarkan supaya gigi itu keluar.
Komplikasi pembedahan kecil ini:
- Bengkak pada bahagian muka dan sukar membuka mulut dengan luas dalam masa 1-2 minggu selepas pembedahan.
- Rasa kebas di pipi jika gigi bongsu itu terletak berdekatan dengan saraf.
- Jangkitan kuman – elakkan merokok selepas pembedahan dan jaga kebersihan tempat pembedahan dengan baik.
- Pendarahan berlanjutan – anda perlu ke klinik/hospital/kecemasan jika anda mengalami pendarahan yang berlanjutan.
Artikel ini hanya menerangkan secara asas sahaja tentang gigi bongsu. Mungkin keadaan yang anda alami tidak termasuk adalam artikel ni. Oleh itu, adalah penting untuk berjumpa doktor gigi anda jika anda mengalami masalah berkenaan gigi bongsu ada supaya doktor dapat menjalankan pemeriksaan, x-ray dan merancang kaedah rawatan yang sesuai untuk anda.
Dr. Husna Razak (BDS) (KLE VK) seorang pegawai pergigian yang sedang bertugas di Kota Bharu, Kelantan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
Rujukan: