“Saya takde masalah rabun..cuma silau.” Biasanya akan berlaku tindakbalas spontan, kita secara automatik akan menggunakan tangan untuk menghalang lampu cahaya yang terang dari memasuki mata kita. Lebih mudah, ramai yang memakai cermin mata gelap untuk mengatasi masalah silau tersebut.
Silau akibat pendedahan terhadap cahaya yang terang adalah normal bagi semua orang. Namun jika anda mengalami silau yang teruk, ia mungkin berpunca daripada masalah mata. Kerap kali kita mendengar keluhan sebegini terutamanya di kalangan pemandu pada waktu malam. Ada juga yang memandu dengan mata yang berkerut dek kerana tidak tahan silau ketika memandu pada waktu matahari yang meninggi seperti tengah hari. Tidak kurang juga yang mengadu tulisan kelihatan seperti berganda atau berbayang-bayang malahan mata kerap menjadi berair.
KENAPA ANDA MENGALAMI MASALAH SILAU?
ASTIGMATISMA YANG TIDAK DIBETULKAN
Ramai yang tidak mengetahui silau adalah salah satu daripada jenis rabun. Rabun silau atau istilah lebih tepat iaitu astigmatisma berlaku apabila kelengkungan yang tidak sekata pada kornea. Ini boleh digambarkan seperti bola ragbi berbanding dengan kornea yang sekata berbentuk sfera seperti bola sepak.
Dua kelengkungan yang berbeza menghasilkan dua titik cahaya fokus terbentuk di dalam mata. Ini mengakibatkan seseorang itu melihat objek seseolah mempunyai bayang-bayang. Berbeza dengan masalah penglihatan berganda atau diplopia, penglihatan berbayang-bayang ini tidak hilang apabila sebelah mata ditutup. Masalah ini mudah diatasi melalui pemakaian cermin mata atau kanta lekap yang mempunyai kanta silinder. Penggunaan cermin mata blue light filter tidak akan mengurangkan rabun silau yang dialami.
PTERYGIUM
Pterygium kelihatan seperti daging yang menyelimuti dari konjunktiva sehingga ke kawasan mata hitam anda. Ia biasanya akan menekan permukaan kornea dari bahagian tepi mata dan menyebabkan seseorang itu mengalami rabun astigmatima yang tinggi. Pterygium berlaku kepada mereka yang kerap terdedah di bawah sinaran matahari seperti petani, nelayan atau pemain golf. Selain daripada rasa mata seperti berpasir, pterygium yang matang akan mengganggu penglihatan. Masalah ini boleh dirawat oleh pakar oftalmologi melalui pembedahan kecil. Setelah dirawat, biasanya akan menyebabkan rabun silau yang dialami berkurangan.
MATA KERING
Masalah mata kering boleh berpunca daripada penghasilan air mata yang kurang (aqueous deficiency), akibat pemeruapan air mata yang tinggi (hyper-evaporation) atau kedua-duanya sekali. Apabila permukaan mata tidak diselimuti air mata yang mencukupi dan berkualiti ini menyebabkan berlakunya kerosakan kecil tisu epitelium kornea yang dipanggil punctate epithelial erosion(PEE). PEE menyebabkan cahaya yang memasuki mata tidak terfokus dan terserak. Ini menyebabkan pesakit menjadi sensitif terhadap cahaya, melihat halos dan berasa silau.
Mata kering mudah dirawat dengan penggunaan ubat titis pelembab mata tanpa preservatif (non-preservative artificial tears). Selain itu, pesakit perlu mengelakkan faktor-faktor yang boleh meningkatkan pemeruapan air mata seperti berada di persekitaran yang berangin atau berhawa dingin, penggunaan skrin gajet yang berlebihan dan merokok. Terdapat juga cermin mata khas yang dipanggil moisture-chamber glasses yang boleh membantu mengurangkan simptom mata kering.
KERATOCONUS
Sejenis keabnormalan kornea yang menipis ketebalannya sehingga permukaan kornea berubah bentuk seperti bentuk kon. Oleh kerana bentuk kornea bukan lagi berbentuk sfera seperti bola maka akan berlaku penurunan tahap penglihatan kerana imej kelihatan terherot dan sensitiviti terhadap cahaya yang tinggi menyumbang kepada silau.
Keratoconus boleh berlaku kerana faktor risiko berikut:
- Sejarah keluarga yang mengalami masalah keratoconus
- Mengalami masalah eczema, alergi atau asthma
- Tabiat pesakit gemar menggosok mata secara agresif
- Masalah sindromik seperti Down Syndrome
Keratoconus boleh dikesan melalui pemeriksaan corneal topography dan ujian slitlamp. Masalah penglihatan pesakit keratoconus boleh dibantu menerusi pemakaian kanta lekap terapeutik oleh Optometris. Bagi kes keratoconus yang teruk, pembedahan transplan kornea akan dilakukan oleh pakar oftalmologi kornea.
KATARAK
Katarak merupakan keadaan di mana kanta kristalin di dalam mata tidak lagi jernih (berkabut). Ini menyebabkan cahaya yang memasuki mata terserak. Serakan cahaya ini menyumbang kepada silau pada penglihatan. Masalah silau pada peringkat awal katarak yang boleh diatasi menerusi pemakaian cermin mata gelap yang mempunyai perlindungan UV atau memakai topi ketika berada di luar rumah. Walau bagaimanapun, sekiranya katarak semakin menebal sehingga menurunkan tahap penglihatan, rawatan pembuangan katarak menerusi pembedahan oleh pakar oftalmologis adalah rawatan yang terbaik. Selepas katarak dikeluarkan, ianya akan digantikan dengan kanta intraokular.
Gambar 9: Cahaya yang berserakan apabila memasuki mata yang mempunyai masalah katarak mengakibatkan silau pada penglihatan
RETINITIS PIGMENTOSA (RP)
Retinitis pigmentosa (RP) merupakan masalah perwarisan genetik yang progresif menyebabkan berlakunya degeneratif retina dan mengganggu fungsi retina terhadap cahaya sehinggakan hilang keupayaan untuk beradaptasi terhadap perubahan pencahayaan persekitaran. Contohnya dari tempat yang terang ke tempat yang gelap seperti memasuki panggung wayang dan begitulah sebaliknya.
Gambar 10: Fundus normal berbanding fundus pesakit retinitis pigmentosa
Pesakit RP amat sensitif terhadap cahaya. Pendedahan terhadap cahaya yang sangat terang boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan sementara (photoaversion). Masa yang lebih lama untuk penglihatan pulih kembali akibat proses adaptasi terang-gelap yang lambat.
Selain itu, mereka turut mengalami masalah rabun malam dan medan penglihatan seperti terowong (tunnel vision).Pesakit RP perlu menggunakan cermin mata gelap dengan perlindungan UV 100% atau kanta penapis cahaya (anti-glare filter) bagi mengurangkan jumlah cahaya yang masuk ke dalam mata ketika berada di bawah matahari. Penyakit mata ini perlu mendapat pemantauan dari pakar oftalmologi.
Kesimpulannya terdapat pelbagai punca seseorang mengalami masalah silau. Jika anda mengalami masalah silau yang teruk, adalah penting untuk mengenalpasti punca mengapa ianya berlaku agar dapat mendapat rawatan betul. Berjumpalah dengan Optometris untuk saringan penglihatan. Anda akan dirujuk kepada Pakar Oftalmologi sekiranyanya silau itu berpunca daripada keabnoramalan mata serius.
Rujukan
- Jacinto Santodomingo-Rubido, Gonzalo Carracedo, Asaki Suzaki, Cesar Villa-Collar, Stephen J. Vincent, James S. Wolffsohn, Keratoconus: An updated review,Contact Lens and Anterior Eye,Volume 45, Issue 3,2022,101559, ISSN 1367-0484, https://doi.org/10.1016/j.clae.2021.101559.
- Messmer EM. The pathophysiology, diagnosis, and treatment of dry eye disease. Dtsch Arztebl Int. 2015 Jan 30;112(5):71-81; quiz 82. doi: 10.3238/arztebl.2015.0071. PMID: 25686388; PMCID: PMC4335585.
- Gawande AA, Donovan WJ, Ginsburg AP, Marmor MF. Photoaversion in retinitis pigmentosa. Br J Ophthalmol. 1989 Feb;73(2):115-20. doi: 10.1136/bjo.73.2.115. PMID: 2930757; PMCID: PMC1041666.