“Alamak! Ada Sesuatu Di Dalam Telinga Saya!” – Dr Ahmad Nordin

Tiba-tiba, dengan tidak disangka, anak anda mengadu sakit telinga. Tiada cecair keluar dari telinga, tiada demam, tiada kurang pendengaran. Agak menghairankan, jadi anda membawa anak anda ke klinik. Satu kejutan bagi anda apabila doktor menyatakan bahawa ada barang mainan kecil berada di dalam telinga anak anda. Bagaimanakah ia boleh terjadi? Bila pula dia meletakkan mainan tersebut? Minda anda bercelaru dengan pelbagai soalan yang bercampur-aduk pada saat yang membimbangkan tersebut.

Benda asing di dalam telinga adalah bukan insiden yang luar biasa. Ia agak biasa berlaku pada kanak-kanak. Ada pelbagai jenis barang yang boleh dijumpai. Ia dikelaskan sebagai organik & bukan organik, boleh & tidak boleh bergerak, logam & bukan logam, menyerap & tidak menyerap air, bentuk sekata & tidak sekata, lembut & keras dan jenis benda asing masing-masing. Cara mengeluarkan & alatan yang digunakan bergantung kapada jenis objek yang dijumpai.

Jika barang tersebut ialah jenis yang tidak berubah atau bertindakbalas bila berada di dalam telinga- terutamanya jenis plastik, kemungkinan besar tiada gejala yang timbul pada pesakit, kecuali rasa tidak selesa atau sakit. Jika objek tersebut besar, kemungkinan ada kurang pendengaran. Benda asing jenis lain mungkin ada gejala sekiranya ada tindakbalas dengan persekitaran. Benda hidup, seperti serangga, akan mempunyai gejala serta-merta. Golongan dewasa biasanya ada kehilangan hujung putik kapas tertinggal di dalam telinga, ada juga yang tidak perasan kehilangan putik kapas tersebut. Seperti yang pernah saya nyatakan di dalam artikel saya sebelum ini, kita tidak perlu mencuci telinga dan agak merbahaya jika anda mencucinya.

Imej 1

Imej 1

Apa yang anda perlu buat jika ada benda asing di dalam telinga?

Jika anda mengesyaki ada, sila jumpa doktor awal. Jika anda mengalami kesakitan, anda harus ke klinik atau hospital secepat mungkin. Jika anda tidak pasti, tetapi anak anda agak selesa semalaman, anda boleh berjumpa doktor pada hari berikutnya.

Jika ada serangga di dalam telinga dan ia sedang bergerak- ia amat menggerikan dan amat sakit. Jika ia serangga kecil dan tidak banyak rasa nyeri, anda boleh berpindah ke sebuah bilik, tutup semua lampu & pastikan bilik itu gelap. Nyalakan lampu suluh dari tepi, dari telefon bimbit anda pun boleh digunakan. Serangga biasa akan berberak ke arah cahaya. Jika serangga itu amat besar (imej 1) & sakitnya teramat sangat- guna minyak bayi (baby oil), minyak zaitun atau minyak lain yang tidak sensitiff kepada kulit dan penuhkan minuak dalam salur telinga. Ini akan melemaskan serangga tersebut dan sakitnya akan bekurangan bila serangga tersebut berhenti menggelepar di dalam telinga.

Apa yang boleh doktor lakukan jika ada benda asing di dalam telinga?

Ia nampak amat mudah dan doktor akan merasa gatal tangan untuk mengeluarkan objek dari salur telinga- seakan-akan boleh dilakukan dalam 5 saat. Tetapi percayalah kata saya, ia tidak semudah yang anda lihat. Saya pernah mencuba beberapa kali semasa menjadi pegawai perubatan di hospital daerah, saya gagal dalam hampir kesemua cubaan mengeluarkan benda asing di dalam telinga. Apabila dalam latihan di bidang ENT barulah saya tahu kesilapan yang pernah saya lakukan.

Ini ialah kerana:

  1. Kebanyakan klinik dan jabatan kecemasan tidak mempunyai alatan khas ENT untuk mengeluarkan benda asing. Ini akan menyebabkan lebih banyak perdarahan & bengkak yang akan akhirnya menyukarkan lagi pengeluaran benda asing.
  2. Untuk kanak-kanak, ada yang berkelakuan baik, bekerjasama buat kali pertama percubaan dan objek tersebut amat mudah dikeluarkan. Tetapi apabila cubaan pertama gagal dan pesakit dalam kesakitan, dia tidak akan mempercayai doktor yang lain. Dan sebarang percubaan amat sukar, termasuk cuba menyentuh kanak-kanak tersebut.

Sebaiknya, sesiapa yang mempunyai benda asing di telinga lebih baik dirujuk ke jabatan ENT untuk pengeluaran yang lebih selamat. Inj membolehkan peluang yang lebih tinggi mengeluarkan benda asing tersebut dan mengurangkan trauma secara fizikal dan mental terhadap kanak-kanak.

Imej 2

Imej 2

Kami ada beberapa alatan (imej 2) untuk mengeluarkan benda asing tersebut, bergantung kepada objek tersebut.

Forsep ‘crocodile’: untuk objek dengan sisi yang senang dikepit, seperti kertas dan serangga.

‘Jobson-Horn’: alatan ‘probe’ yang bengkok untuk menolak objek seperti bola keluar, contohnya manik

‘Syringing’: menggunakan pancutan air dari picagari untuk mengeluarkan objek seperti plastik

Sedutan: untuk objek nipis yang ada lapisan basah yang senang disedut keluar.

Dalam kebanyakkan kes benda asing dapat dikeluarkan dengan selamat, peratusan kecil dengan sedikit kecederaan pada kulit salur telinga atau sangat jarang sekali ada kebocoran gegendang telinga. Ada yang perlu masuk ke wad untuk bius am jika gagal bekerjasama atau terlalu sakit untuk dikeluarkan di klinik.

Oleh itu, jika anak anda ada benda asing di dalam telinga, sila mengambil langkah-langkah seperti yang saya katakan sebelum ini. Diharapkan ia akan dikeluarkan dengan selamat. Nota akhir, mengikut pengalaman saya- cerita dari kanak-kanak yang mempunyai benda asing di dalam telinga atau hidung tidak boleh dipercayai 100%. Akan ada pembohongan yang akan berlaku. Walau bagaimanapun, harapan kami ialah anda akan memendam segala jenis kemarahan dan hukuman pada anak anda sehinggalah selesai pengeluaran benda asing dengan selamatnya.

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Ahmad Nordin, seorang pakar ENT yang bertugas di sebuah hospital di Sabah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan:

  • Ahmad Nasrat Al-juboori, Aural Foreign Bodies: Descriptive Study of 224 Patients in Al-Fallujah General Hospital, Iraq, International Journal of Otolaryngology Volume 2013 (2013) Article ID 401289
  • ENT foreign bodies: profile of the cases seen at a tertiary hospital emergency care unit
  • João Mangussi-Gomes1 , José Santos Cruz de Andrade1 , Rafaella Caruso Matos2 , Eduardo Macoto Kosugi3 , Norma de Oliveira Penido4
  • Brazilian Journal of Otorhinolaryngology Vol.79 no.6 São Paulo Nov./Dec. 2013
  • First Aid, CPR, and AED Essentials Sixth Edition
  • American Academy of Orthopaedic Surgeons (AAOS),, American College of Emergency Physicians (ACEP),, Alton L. Thygerson

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box