Setelah tidur dengan lenanya, anda perasan terdapat tompokan kecil darah di atas bantal kesayangan anda ketika terbangun dari tidur. Selepas beberapa ketika barulah anda perasan hidung anda yang sebenarnya berdarah.
Anak anda tiada pada pandangan anda untuk jangka masa hanya seminit, tiba-tiba terdengar dia menangis di bilik sebelah. Tangannya menutup hidungnya, yang berlumuran darah.
Bagaimana anda boleh membantu?
- Paling utama- jangan panik.Saya tahu ini agak kurang penting dinyatakan pada ketika anda membaca artikel ini, tetapi apabila tiba masa perdarahan berlaku di hadapan anda, kita sendiri akan serta-merta menjadi panik. Saya pernah menyaksikan kakitangan perubatan sendiri yang panik dalam situasi kecemasan sebegini, terutamanya ketika keluarga tersayang yang mengalaminya. Hendaklah sedaya upaya menghentikan perdarahan itu dengan memicit hidung di bahagian bawah yang lembut untuk menutup lubang hidung. Gunakan jari anda dahulu jika anda tidak dapat mencari sapu tangan atau kertas tisu. Kekalkan tekanan itu paling minimum selama 5 minit. Kebanyakkan kita akan melepaskan jari dari memicit hidung untuk melihat sama ada masih berdarah atau tidak. Ini cuma akan melambatkan pembekuan darah. Bernafas terus menerus dari mulut.
- Tundukkan kepala ke bawah. Ini untuk menghindari darah dari mengalir ke dalam mulut. Pasti ramai di antara kita kerapkali diajar untuk mendongak ke atas. Mendongak adalah cara yang salah.
- Sediakan mangkuk atau bekas kecil untuk menadah darah yang mengalir bagi menghalang darah dari mengotori pakaian dan juga memudahkan menyukat anggaran jumlah darah yang keluar.
- Letak pek ais kecil di kepala dan juga di dalam mulut untuk menambah kesan pengecutan salur darah.
Sekiranya semua langkah ini gagal menghentikan perdarahan hidung atau jumlah darah yang keluar terlalu banyak dan anda risau untuk melakukan apa-apa, sila rujuk ke jabatan kecemasan hospital. Jika perdarahan terkawal, anda boleh berjumpa doktor anda atau pakar telinga, hidung dan tekak (Ear, nose and throat, ENT) untuk pemeriksaan lanjut.
Saya akan memberi contoh langkah-langkah yang sama seperti di atas, tetapi situasi ini ketika berada di hospital. Pertama, sediakan semua alatan yang diperlukan. seperti plastik kuning di dalam bekas kecil untuk mengumpul darah, pek ais di dalam beg plastik dan kiub ais.
Kemudian, arahan diterangkan kepada pesakit tentang apa yang bakal dilakukan. Kebiasaannya, pesakit akan memicit hidung dan mengumpul darah yang mengalir dari hidung. Staf kami akan membantu meletakkan pek ais di kepala pesakit.
Sekiranya perdarahan sangat teruk dan tidak berhenti, kami akan menyumbat hidung dengan alatan tertentu. ‘Ribbon gauze’, bahan jenis span (sponge material) dan belon kecil yang boleh dikembungkan boleh digunakan. Di sini, kami menunjukkan alat dibuat dari bahan jenis span. Ini akan mengembang apabila terkena cecair atau darah dan memberi tekanan yang secukupnya dan membantu dalam pembekuan darah.
Seperti dinyatakan, sila ikut langkah di atas. Sila jumpa staf perubatan jika ia kali pertama berlaku. Walaupun kebanyakkan kali, tiada diagnosis yang serius dijumpai, kami tidak mahu sekiranya ada kes yang berbahaya seperti kanser tidak dikesan di peringkat awal. https://www.mmgazette.com/nasopharyngeal-carcinoma-east-malaysian-perspective-dr-ahmad-nordin/
Diharap anda akan lebih tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya ia berlaku kepada orang kesayangan anda.
Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Ahmad Nordin, seorang pakar ENT yang bertugas di sebuah hospital di Sabah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
Rujukan:
- Essential ENT Practice First Edition
- Rogan J Corbridge
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]