Secara global, data terkini yang diterbitkan pada 2008 menunjukkan 41% kehamilan adalah tidak dirancang. Kadar kehamilan tidak dirancang untuk Asia adalah 38%.
Sebab-sebab untuk kehamilan tidak dirancang adalah
- Keperluan tinggi untuk khidmat perancangan keluarga yang tidak dipenuhi di banyak tempat di dunia.
- Kemiskinan dan kadar pendidikan yang rendah
- Pengabaian, penggunaan salah, atau kegagalan pencegah kehamilan
- Sosioekonomik, peraturan dan keagamaan juga memainkan peranan penting dalam berlakunya kehamilan tidak dirancang.
Turut didapati secara global bahawa tiga sebab utama pengabaian kontrasepsi adalah bantahan terhadap pencegah kehamilan, sangkaan terhadap kesan sampingan, hanya melakukan seks sekali-sekala atau tidak melakukan seks. Namun begitu, didapati bahawa lebih 50% wanita yang meletakkan sebab pengabaian sebagai seks sekali-sekala atau tidak melakukan seks sebenarnya telah melakukan seks 3 bulan sebelumnya.
Kehamilan tidak sengaja mempunyai hanya 3 kesudahan
- Pengguguran (Abortion)
- Keguguran (Miscarriage)
- Kelahiran hidup
Ketiga-tiga kesudahan boleh dikaitkan kepada kecederaan maternal dan kematian. Pada tahun 2008, secara global 48% kehamilan tanpa dirancang berkesudahan sebagai pengguguran, 38% sebagai kelahiran tanpa dirancang, dan 13% sebagai keguguran. Kadar pengguguran global adalah 35 dalam setiap 1000 wanita dalam lingkungan umur reproduktif pada tahun 1995 dan mendatar pada kadar 29 dalam setiap 1000 wanita pada tahun 2003 dan seterusnya.
Konteks Malaysia
Dengan mengambil kira jumlah tadi ke dalam konteks Malaysia pada kadar 30 juta penduduk pada Mac 2014 serta lebih kurang 8 juta wanita dalam linkungan umur reproduktif, anggaran jumlah pengguguran tahunan di Malaysia adalah 224000. Ini bersamaan kepada 600 pengguguran setiap hari dan 25 pengguguran setiap jam.
Kadar mortaliti ibu di Malaysia pada tahun 1995 adalah 41 dalam setiap 100,000 kelahiran hidup dan data terkini menunjukkan 28 dalam 100,000 dari tahun 2006 ke 2008. Jumlah ini adalah pengurangan sebanyak 31%, masih jauh dari Matlamat Pembangunan Milenium yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada kadar penurunan sebanyak 75% pada tahun 2015.
Pengguna pencegah kehamilan di kalangan ibu-ibu yang telah meninggal dunia ketika kehamilan berpurata sebanya 20% tanpa sebarang pembaikan pada 15-20 tahun yang lepas seperti dilaporkan oleh penyiasatan sulit terhadap kematian maternal di Malaysia.
Kementerian Kesihatan Malaysia telah menekankan berulang kali bahawa kefahaman yang lebih baik dan pelaksanaan perancangan keluarga boleh menurunkan Mortaliti Maternal lebih banyak. Lebih kurang 40% kehamilan tidak dirancang dan boleh dicegah dengan kontrasepsi, ramai wanita Malaysia tidak perlu meninggal dunia oleh kehamilan yang tidak diingini.
Kadar penggunaan kontrasepsi Malaysia (jumlah wanita Malaysia yang menggunakan pencegah kehamilan) dari tahun 1988 sehingga kini tidak menunjukkan sebarang peningkatan dan kekal dalam lingkungan 50-55%. Perkara ini serupa kepada kadar penggunaan kontrasepsi di Filipino misalnya, negara di mana sebahagian besar penduduknya adalah Katolik dan membantah keras kepada penggunaan kebanyakan kontrasepsi. Sebagai perbandingan, kadar penggunaan kontrasepsi di negara-negara jiran seperti Thailand, Vietnam, Singapura dan Indonesia adalah 72%, 78%, 62% dan 61% pada tahun 2008.
Keperluan kontrasepsi yang tidak dipenuhi dikalangan wanita Malaysia yang telah berkahwin telah meningkat selama bertahun, menunjukkan lebih ramai wanita tidak menggunakan pencegah kehamilan walaupun tidak berniat untuk hamil. Laporan mendapati keperluan yang tidak dipenuhi pada tahun 1988 adalah 16% dan pada tahun 2004, 24%. Keperluan kontrasepsi yang tidak dipenuhi dikalangan wanita belum berkahwin dijangka lebih tinggi.
Data dari kehamilan remaja turut mencemaskan, peningkatan sebanyak 300% direkodkan dari tahun 2010 ke tahun 2012 dari lebih kurang 6000 pada tahun 2010 ke 18000 pada tahun 2012. Statistik pembuangan bayi juga ketara dengan 407 kes direkodkan pada tahun 2005 hingga 2010 oleh Polis Diraja Malaysia, dan Selangor disenaraikan paling atas.
Kami sedar bahawa nombor-nombor yang telah direkodkan merupakan hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah sebenar dan banyak lagi kes-kes yang tidak direkodkan atau dikesan.
Status Peruntukan dan Perkhidmatan kontrasepsi di Malaysia
Perkhidmatan kontrasepsi disediakan oleh Kementerian Kesihatan, Perancangan Keluarga, dan Lembaga Pembangunan serta Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia. Perkhidmatan ini juga disediakan di hospital swasta, farmasi, dan klinik-klinik swasta.
Kebanyakan kaedah kontrasepsi sedia ada di keempat-empat penyedia perkhidmatan tersebut walaupun peruntukan berkisar antara percuma kepada bersubsidi dan bayaran penuh. Dalam praktis, terdapat kesukaran dari pelbagai aspek peruntukan kontrasepsi yang memberi cabaran kepada wanita Malaysia untuk mendapatkannya.
- Kontrasepsi jangka panjang berbalik, khususnya implan hormon hanya didapati di hospital-hospital Kementerian Kesihatan untuk pesakit-pesakit berisiko tinggi yang tertentu. Kaedah ini masih belum disediakan bagi wanita-wanita di pusat penjagaan primer kerajaan keperti Klinik Kesihatan.
- Bukan semua jenis kontrasepsi disediakan di semua pusat perkhidmatan pada setiap masa kerana gangguan bekalan kontrasepsi, ketersediaan pekerja kesihatan terlatih dalam pemasangan alat tersebut, dan perbezaan kos antara jenis-jenis yang berlainan. Pilihan dan ketersediaan berterusan jenis-jenis kontrasepsi berbeza adalah komponen penting untuk memastikan wanita boleh terus menggunakan kontrasepsi untuk mencegah kehamilan.
- Pengetahuan dan latihan kontrasepsi bagi pekerja kesihatan tidak seragam. Oleh sebab itu berlakunya perbezaan antara nasihat dan pengurusan kes-kes kontrasepsi di pusat khidmat kesihatan berbeza. Kadang-kala kaedah yang disyorkan mungkin tidak sesuai ataupun kurang tepat bagi kes tersebut. Perkara ini menyebabkan salah guna kaedah kontrasepsi yang membawa kepada kadar keberkesanan yang lebih rendah diikuti peningkatan kadar kehamilan tidak terancang.
- “Fear Factor” atau faktor ketakutan sangat berleluasa dikalangan wanita Malaysia dari segi mitos dan tanggapan salah mengenai kesan sampingan kaedah-kaedah kontrasepsi.
- Sosioekonomi dan kekangan agama juga antara faktor-faktor utama yang menyukarkan wanita untuk mendapatkan kontrasepsi. Biasanya wanita-wanita di pedalaman tidak mampu membeli kontrasepsi keberkesanan tinggi seperti kontrasepsi jangka masa panjang berbalik kerana kos yang tinggi serta ketiadaan pekerja kesihatan terlatih di klinik berdekatan. Kumpulan-kumpulan agama juga mungkin mengenakan pendapat dan kepercayaan mereka terhadap kontrasepsi yang bukan dalam kepentingan baik wanita-wanita yang terlibat.
- Undang-undang Malaysia juga tidak jelas dalam peruntukan kontrasepsi kepada remaja, dengan itu akses terhad kepada mereka lalu mendedahkan mereka kepada kadar tinggi kehamilan remaja.
Cabaran Kesihatan Reproduktif Wanita Malaysia
Di kalangan wanita:
- Kita perlu betulkan mitos dan tanggapan salah serta bantahan terhadap kontrasepsi.
- Perlunya meningkatkan status sosioekomi wanita kerana terbukti kadar kehamilan tidak terancang lebih tinggi pada golongan pendapatan rendah dan sederhana.
- Meningkatkan tahap pendidikan semua anak perempuan dan wanita kerana pendidikan adalah kunci kepada pemahaman dan perlaksanaan perancangan keluarga yang lebih baik.
Di kalangan profesional kesihatan:
- KIta perlu latih secara berterusan semua profesional kesihatan dan melengkapkan mereka dengan maklumat paling tepat dan terkini mengenai kontraseptif dan kemahiran pengurusan.
- Meningkatkan dan memastikan semua jenis kontrasepsi sedia ada, khusunya kontrasepsi jangka panjang berbalik dan bagi memastikan bekalan berterusan tanpa gangguan.
Di kalangan agensi kerajaan dan bukan kerajaan:
- Kita perlukan keazaman politik untuk mengiktiraf kontrasepsi ialah kunci kepada pembangunan negara dan penduduk yang lebih sihat dan produktif.
- Penyelarasan yang lebih baik diperlukan antara semua agensi dan pihak berkepentingan dalam menggunakan sumber sebaik mungkin kepada agenda penting ini.
Sebuah Kisah
Pada hari Merdeka, 31 Ogos 2012, seorang bayi perempuan masih hidup apabila dicampak keluar tingkap dari tingkat atas pangsapuri Desa Mentari di Kuala Lumpur. Post mortem menunjukkan kecederaan teruk di bahagian kepala sebagai punca kematian. Ibunya 20 tahun, belum berkahwin, dan telah melahirkan anak ketika bersendirian pada hari Ahad tersebut di pangsapuri tingkat 3. Wanita tersebut ditangkap dan direman polis sejurus selepas kejadian itu. Salah satu penduduk pangsapuri yang sama mengatakan kedengaran suatu bunyi dan telah keluar untuk memeriksa lalu terjumpa bayi perempuan tersebut. Tali pusat masih bersambung dan bayi tersebut dijumpai berlumuran darah.
Kisah ini tipikal bagi banyak kisah serupa yang diterbitkan terlalu kerap oleh media Malaysia dan mendasari tragedi-tragedi yang terus terjadi kepada wanita dan anak-anak perempuan di Malaysia. Tiada wanita atau gadis Malaysia seharusnya melalui tragedi itu dan tiada bayi yang lahir di negara ini perlu meninggal dunia pada hari kelahirannya. Tragedi ini boleh dielakkan sepenuhnya dan hanya apabila masyarakat memutuskan nyawa mereka cukup bernilai untuk diselamatkan, dan hanya apabila masyarakat mengambil keputusan bahawa wanita dan anak-anak perempuan berhak mendapatkan penjagaan kesihatan reproduktif dan memilih bila mereka ingin hamil daripada membiarkan kepada nasib.
KIta mempunyai pengetahuan dan kelengkapan untuk menghindari tragedi-tragedi sebegitu hanya apabila kuasa diberi kepada wanita dan anak-anak perempuan dan membolehkan mereka mendapatkan kaedah-kaedah kontrasepsi tanpa halangan.
Malaysia menandatangani konvensyen penghapusan diskriminasi terhadap wanita pada bulan Julai 1995 bersama 188 negara-negara lain, mengakui hak wanita dan anak-anak perempuan terhadap kesihatan reproduktif dan kebebasan memilih keperluan reproduktif mereka. Ini merupakan janji oleh setiap negara yang menandatangani deklarasi tersebut untuk melakukan segala yang mungkin demi mengekalkan hak wanita dalam pilihan reproduktif dan memilih bila untuk hamil dan bila untuk tidak.
“Hakikat bahawa kita bertemu di persidangan dunia keempat mengesahkan komitmen dan kesediaan untuk berubah… Platform tindakan ialah salah satu cara untuk menjalankan komitmen untuk membawa kepada perubahan asas…. Kerajaan Malaysia komited kepada hak-hak dan tanggungjawab sama, peluang yang sama, dan penyertaan sama rata lelaki dan wanita” (Dato’ Seri Dr. Siti Hasmah Haji Mohd Ali, Ketua Delegasi Malaysia ke Persidangan Dunia Wanita Keempat di Beijing, 1995).
Mengapa tidak kita lebih berusaha?
Dr. John Teo, bagi pihak Persatuan Perancangan Keluarga Sabah.
Rencana ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat The Malaysian Medical Gazette. Diterjemahkan daripada versi asal di https://www.mmgazette.com/oh-dear-im-pregnant-dr-john-teo/ oleh Nur Nadhirah.
Rujukan:
- Sedgh G et al., Induced abortion: incidence and trends worldwide from 1995 to 2008, The Lancet, 2012, 379(9816):625-632.
- Sedgh G and Hussain R, Reasons for contraceptive nonuse among women having unmet need for contraception in developing countries, Studies in Family Planning, 2014, 45(2): 151-169.
- Unintended Pregnancy in the United States: Incidence and Disparities, 2006 (PDF)
- Lawrence B. Finer and Mia R. Zolna, Contraception, August 2011
- Confidential Enquiry into Maternal Deaths in Malaysia (1995-2008)
- Long Acting Reversible Contraception NICE Guidelines Oct. 2005, Modified 2013
- World Health Organisation Medical Eligibility Criteria for Contraceptive Use 2009
Convention on Elimination of All forms of Discrimination Against Women Country Report Malaysia 35th session 2006.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]