Ambliopia: Mata pun Malas? – Diana Mohamed

Sumber gambar: ICR

“Anak saya kecil lagi … perlukah dia pakai cermin mata?”

Terdapat segelintir ibu bapa yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak mereka mengalami masalah penglihatan. Mitos seperti rabun akan meningkat kuat, mata menjadi manja dan bergantung kepada cermin mata adalah antara kerisauan yang sering bermain di fikiran ibu bapa ini.

Perkembangan mata bayi/anak masih belum lengkap sebaik sahaja dilahirkan. Perkembangan ini akan berlaku secara berterusan sehinggalah umur anak mencapai usia 10 tahun. Keengganan ibu bapa untuk membenarkan anak memakai cermin mata boleh menyebabkan mereka mendapat ambliopia. Sebarang gangguan penglihatan yang berlaku dalam tempoh kritikal ini akan mengganggu perkembangan penglihatan kanak-kanak yang boleh mengakibatkan ambliopia.

Perkataan ambliopia berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud penglihatan yang kabur. Ambliopia atau mata malas (lazy eyes) mengakibatkan penurunan tahap penglihatan pada satu (unilateral) atau kedua-dua mata (binocular) kanak-kanak walaupun setelah pembetulan optikal seperti cermin mata atau setelah rawatan terhadap struktur patologi mata yang abnormal telah dilakukan.

Di Malaysia, prevalens (kejadian) ambliopia adalah sebanyak 7.53% dan 66% daripadanya adalah ambliopia binokular (Chew et al, 2018). Tahap kesedaran yang rendah di kalangan orang awam boleh mengakibatkan ambliopia lambat dikesan dan dirawat. Kelewatan rujukan dan rawatan ambliopia boleh menyebabkan penurunan tahap penglihatan yang berlaku, kekal sehingga ke dewasa dan boleh mengurangkan kualiti hidup seseorang.

 

BAGAIMANA AMBLIOPIA BOLEH BERLAKU?

 

KEKURANGAN STIMULASI CAHAYA AKIBAT ABNORMALITI STRUKTUR MATA (LIGHT DEPRIVATION)

Sebarang penghalang cahaya daripada memasuki mata akan menyebabkan ambliopia boleh berlaku. Contoh keadaan struktur yang abnormal adalah seperti ptosis, katarak, capillary hemangiomadan parut pada kornea. Ptosis merupakan keadaan kelopak mata yang jatuh separa atau sepenuhnya menyebabkan bukaan mata kanak-kanak tidak dapat dibuka seperti biasa. Katarak pula adalah keadaan di mana kanta kristalin menjadi putih dan legap. Ia menghalang kemasukan cahaya dan sekiranya tidak dikesan dan dirawat dari awal, boleh menyebabkan risiko amblyopia yang teruk kepada kanak-kanak. Sekiranya kelopak mata menutupi sebahagian atau  keseluruhan anak mata, cahaya tidak dapat masuk ke dalam mata lalu menyebabkan perkembangan mata kanak-kanak menjadi terbantut. Rujukan kepada pakar oftalmologis adalah amatlah penting untuk rawatan yang selanjutnya.

 

KEKABURAN BENTUK YANG DILIHAT (SHAPE DEPRIVATION)

Ambliopia akibat kekaburan bentuk yang dilihat boleh berlaku andai kata masalah rabun tidak dibetulkan dengan segera. Terdapat tiga jenis rabun iaitu rabun jauh (myopia), rabun dekat (hyperopia), rabun silau (astigmatism) dan rabun mata yang tinggi pada sebelah mata (anisometropia). Rabun menyebabkan cahaya yang masuk tidak tertumpu kepada foveadengan tepat. Imej yang kabur mengakibatkan mata tidak mendapat ransangan yang baik untuk perkembangan mata. Ambliopia lebih sukar untuk diatasi sekiranya berlaku kepada sebelah mata (unilateral)dalam kes anisometropia. Supressionberlaku di mana otak akan mengabaikan imej yang kabur. Ini menyebabkan kanak-kanak yang mempunyai rabun anisometropia tidak mengadu kabur. Lebih lewat rabun dikesan lebih sukar untuk ambliopia diatasi.

Ibu bapa seharusnya peka dengan tanda-tanda awal masalah rabun seperti mata berair, gemar mengecilkan mata, menelengkan mata apabila menonton televisyen, gemar menggosok mata atau suka melihat sesuatu pada jarak yang dekat. Selain itu, sekiranya anak-anak mengalami masalah di sekolah seperti tidak menumpukan perhatian semasa guru mengajar, gagal menyalin tulisan guru di papan hitam, suka meniru kawan sebelah dan prestasi akademik yang lemah, mereka perlu dibawa untuk saringan penglihatan.

 

INTERAKSI BINOKULAR ABNORMAL

Juling atau Strabismusmerupakan keadaan di mana kedudukan mata menjadi tidak selari. Terdapat beberapa jenis juling iaitu juling keluar (exotropia), juling ke dalam (esotropia), juling ke atas (hypertropia), juling ke bawah (hypotropia). Juling boleh wujud secara kadang-kala (intermittent) atau tetap (constant). Kewujudan juling menandakan seseorang itu mempunyai masalah penglihatan binokular yang boleh menyebabkan berlakunya ambliopia. Suppressionimej oleh otak juga berlakuuntuk mengelakkan pandangan menjadi berganda (diplopia).

 

BAGAIMANA AMBLIOPIA DIRAWAT?

Pemulihan tahap penglihatan kanak-kanak dapat dilakukan dengan segera sekiranya punca berlakunya ambliopia dapat dikenalpasti sebelum umur 10 tahun. Pemulihan tahap penglihatan menjadi lambat dan sukar sekiranya ambliopia dirawat selepas tempoh tersebut. Ambliopia dapat diatasi melalui:

 

PEMBETULAN RABUN SECARA OPTIKAL

Kanak-kanak akan disahkan mengalami ambliopia selepas enam minggu pemakaian cermin mata ataupun kanta sentuh yang berterusan. Kanak-kanak perlu memakai sepenuh masa cermin mata/kanta sentuh bagi memberi peluang kepada peningkatan tahap penglihatan. Mengikut kajian Pediatric Eye Investigator Studies ATS7 (PEDIGS, 2007), 75% pesakit ambliopia bilateral yang berumur dibawah 10 tahun mencapai penglihatan yang baik (6/7.5) dalam masa setahun dengan hanya memakai cermin mata sepenuh masa. Ibu bapa perlu menggalakkan agar kanak-kanak sentiasa memakai cermin mata dan bukannya hanya waktu persekolahan sahaja.

 

TERAPI KATUP SEPENUHNYA (TOTAL OCCLUSION/ PATCHING THERAPY)

Sekiranya penglihatan tidak pulih sepenuhnya selepas pemakaian cermin mata selama 6 minggu, terapi katup akan dimulakan dengan menutup mata baik(normal) sambil melakukan kerja dekat. Terapi katup terbahagi kepada dua iaitu:

 

Sumber gambar: Eye Doctors, Auckland

Terapi katup sepenuhnya (Total Occlusion Therapy)

Penutup mata yang boleh digunakan adalah dalam bentuk pelekat (eye patch), pirate eyeyang boleh diikat, penutup yang boleh disarungkan ke cermin mata (glasses eye patch) atau pun kanta sentuh yang hitam legap. Fungsi penutup mata adalah untuk menghalang sebarang stimulasi cahaya kepada mata yang baik, agar kanak-kanak tersebut terpaksa menggunakan sepenuhnya mata ambliopia. Pastikan anak anda tidak alergi kepada gam yang ada pada pelekat tersebut. Pilih pelekat jenis hipoalergenik kepada mereka yang mengalami alergi.

 

Terapi katup separa (Partial Occlusion Therapy)

Terapi katup separa dilaksanakan ke atas kanak-kanak yang mengalami masalah nystagmus di mana mata kanak-kanak ini akan bergegar teruk sekiranya salah satu mata ditutup sepenuhnya (dancing eyes). Oleh itu, pesakit disarankan untuk menggunakan penutup jenis berkabut (frosted occluder) atau menggunakan cermin kanta berkabut (frosted lens). Penutup atau kanta berkabut ini hanya digunakan semasa menjalankan terapi ambliopia.

Terapi katup perlu dilakukan selama dua jam sehari (PEDIGS, 2003) sambil kanak-kanak melakukan aktiviti jarak dekat seperti mewarna, melukis dan membaca (PEDIGS, 2006). Penggunaan permainan komputer boleh dibenarkan asalkan tidak melebihi dua jam sehari dan dipantau oleh ibu bapa. Terdapat juga aplikasi komputer yang perlu menggunakan googles berwarna untuk tujuan rawatan ambliopia. Walaubagaimanapun, ibu bapa dinasihatkan untuk mendapatkan konsultasi dan dipantau oleh optometris sebelum memulakan terapi ini bagi mengelakkan berlakunya reversal amblyopiadi mana mata yang baik pula menjadi kabur akibat terapi katup yang salah.

Ibu bapa perlu duduk bersama anak anda semasa menjalankan terapi katup ambliopia sekurang-kurangnya pada 10 minit pertama. Dalam tempoh ini, anak akan beradaptasi dengan mata ambliopia untuk melihat. Ibu bapa perlu memastikan anak mematuhi nasihat yang diberikan oleh optometris.

 

PENALISASI PENGLIHATAN MENGGUNAKAN ATROPINE 1%

Penalisasi menggunakan ubat titis atropine 1% akan diberikan jika kadar kepatuhan kepada terapi katup sangat rendah.  Ubat titis ini berfungsi untuk melemahkan akomodasi pada mata yang baik dan mengaburkan pandangan dekat pada mata berkenaan agar memberi laluan kepada mata ambliopia untuk digunakan. Ubat ini perlu dititis seminggu sekali (PEDIGS, 2003) dan pemantauan oleh pakar oftalmologi perlu dilakukan bersama. Kesan sampingan lain ubat titis ini selain mengkaburkan mata yang dititis adalah seperti peningkatan sensitiviti terhadap cahaya akibat anak mata yang membesar, kekeringan di mulut, tekak dan hidung, kemerahan di kawasan muka dan peningkatan kadar denyutan jantung. Oleh itu, patuhi jadual temujanji anda bersama optometris dan oftalmologis.

 

NASIHAT KEPADA IBU BAPA

  • Bawa anak untuk pemeriksaan penglihatan dengan segera sekiranya mereka mengadu mengalami masalah penglihatan atau mempunyai tanda-tanda masalah mata.
  • Keengganan ibu bapa untuk membenarkan anak untuk memakai cermin mata akan mengakibatkan ambliopia tidak dapat diatasi dan penurunan penglihatan menjadi kekal sehingga anak menjadi dewasa. Oleh itu, patuhi nasihat optometris sekiranya anak anda memerlukan cermin mata.
  • Patuhi tempoh terapi yang telah dipreskripsikan oleh optometris untuk menjamin kejayaan terapi. Galakan dan sokongan ibu bapa terhadap anak-anak amat diperlukan sepanjang terapi dijalankan. Lakukan terapi ambliopia setiap hari sehingga diarahkan untuk berhenti oleh optometris.
  • Cermin mata perlu dipakai selepas penutup mata dikenakan sebelum memulakan terapi katup. Pastikan penutup mata dikenakan dengan betul untuk menghalang anak anda daripada menanggalkan penutup mata berpelekat atau mengintai semasa sesi terapi ambliopia.
  • Pelbagaikan aktiviti dekat yang menarik dan berbeza setiap hari untuk mengelakkan anak anda daripada mengalami kebosanan semasa terapi ambliopia. Contoh aktiviti adalah seperti bermain puzzle atau sudoku, mengasingkan kekacang atau guli berwarna, membulatkan huruf di keratan akhbar.

Akhir sekali, perlu diingatkan sekali lagi, pengesanan awal dan intervensi perlu dilakukan dengan segera bagi memastikan pemulihatan penglihatan dapat dilaksanakan sebelum tamat tempoh kritikal iaitu sebelum usia 10 tahun. Ambliopia hanya dapat diatasi dengan baik sekiranya ibu bapa turut bekerjasama untuk menjayakan rawatan ambliopia. Ini amat penting agar anda tidak menyesal di kemudian hari apabila anak anda tidak dapat melihat dengan baik kerana culas dan tidak mengambil berat tentang rawatan ambliopia di rumah.

RUJUKAN

  1. Angela M. Chen, OD, MS and Susan A. Cotter, The Amblyopia Treatment Studies: Implications for Clinical Practice, Adv Ophthalmol Optom. 2016 Aug; 1(1): 287–305.
  2. Fiona Chew Lee Min, Lakana Kumar Thavaratnam, , Intan Nor Chahaya Bt Shukor, , Sunder Ramasamy , Jamalia Rahmat, , Daniel D Reidpath, Pascale Allotey, Joseph Alagaratnam, Visual impairment and amblyopia in Malaysian pre-school children – The SEGPAEDS study, Med J Malaysia 73(1) February 2018
  3. The Pediatric Eye Disease Investigator Group, ATS 2- A Randomized Trial of Patching Regimens for Treatment of Moderate Amblyopia in Children (Arch Ophthal, May 2003, 603-11
  4. The Pediatric Eye Disease Investigator Group, ATS 3- Randomized Trial of Treatment of Amblyopia in Children Aged 7 to 17 Years (Arch Ophthalmol, Apr 2005, 437-47)
  5. The Pediatric Eye Disease Investigator Group, ATS 4-A Randomized Trial of Atropine Regimens for Treatment of Moderate Amblyopia in Children (Ophthalmololgy 2004;111: 2076-85)
  6. Pediatric Eye Disease Investigator Group. A randomized trial to evaluate 2 hours of daily patching for strabismic and anisometropic amblyopia in children. Ophthalmology 2006;113:904–12.
  7. Pediatric Eye Disease Investigator Group. Treatment of bilateral refractive amblyopia in children three to less than 10 years of age. Am J Ophthalmol 2007;144:487-96.
  8. https://www.everydayhealth.com/drugs/atropine-ophthalmic
  9. Krista R. Kelly, Reed M. Jost, Lori Dao, Cynthia L. Beauchamp, Joel N. Leffler, Eileen E. Birch. Binocular iPad Game vs Patching for Treatment of Amblyopia in Children. JAMA Ophthalmology, 2016; DOI: 10.1001/jamaophthalmol.2016.4224

 

Diana Mohamed seorang optometris yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box