Anak Saya Tidak Boleh Mendengar, Apa Yang Perlu Saya Lakukan? – Dr Ahmad Nordin

Amir (bukan nama sebenar) yang berumur 2 tahun ialah seorang yang aktif, sihat dan ceria. Bagaimanapun, ibubapanya risau kerana dia seakan tidak boleh mendengar dengan jelas. Pada mulanya, ibubapanya tidak begitu mengesyaki keadaan ini kerana dia masih menoleh ke arah sumber bunyi dan agak interaktif semasa bermain dan menonton televisyen. Kini, mereka sukar mengajar Amir perkataan dan perlu meninggikan nada suara ketika memanggilnya. Malangnya, dia masih belum boleh menyebut ‘mama’ dan ‘papa’.

Ini ialah salah satu senario yang berlaku di klinik keluarga. Dalam sebahagian kes, ada yang mula dikesan, seperti Amir pada umur 2 tahun. Lebih sedih untuk yang lain, mereka dikesan pada umur yang lebih dewasa. Terdapat nisbah 3 orang dalam 1000 kanak kanak yang mengalami tahap kurang pendengaran yang teruk.

Fakta: Seseorang perlu boleh mendengar dahulu, sebelum boleh bertutur.

Dengan itu, mereka akan datang ke klinik dengan masalah lewat bertutur dan tidak tahu yang mereka sebenarnya mengalami masalah pendengaran.

Bagaimana saya boleh tahu sekiranya seorang budak itu tidak boleh mendengar?

Antara tanda awal pada kanak-kanak tersebut:

  1. Kelihatan seakan tidak boleh mendengar
  2. Tidak berusaha untuk mendengar
  3. Tidak bertindakbalas apabila diujakan pertanyaan biasa sebagai contoh: nama, objek biasa, atau ‘tidak’
  4. Tidak bertutur mengikut umur yang sepatutnya. Kebiasaanya dianggarkan mereka boleh menggubah ayat 1 dengan gabungan perkataan pada 1 tahun, ayat dengan gabungan 2 perkataan pada 2 tahun dan ayat dengan gabungan 3 perkataan pada 3 tahun. Kita juga menjangka mereka akan menguasai lebih jenis ayat dari masa ke semasa.

Ada banyak sebab kurang pendengaran pada kanak- kanak. Antara sebab utama termasuk:

  1. Jangkitan yang dihidapi oleh kanak kanak semasa dalam kandungan dan selepas lahir.
  2. Ubat yang diberi semasa dalam kandungan dan selepas lahir.
  3. Jaundis yang teruk semasa peringkat awal bayi
  4. Kurang pendegaran yang diwarisi secara genetik

Walaubagaimanapun, kadangkala agak sukar untuk mengesan penyebab masalah kurang pendengaran kerana kesan kerosakan tidak dapat dilihat pada ketika itu, ia lebih kepada analisis masa lampau kepada penyebab utama. Pengamal perubatan sepatutnya prihatin terhadap masalah ini dan merujuk kepada jabatan ENT untuk rawatan lanjut. Jika lewat, semakin sukar untuk kanak ini berinteraksi secara sosial denagn pelajar lain di sekolah apabila dewasa nanti.

Imej 2: Pelbagai tahap frequensi & kekuatan nada bunyi boleh diubah menggunakan alat ini. Pegawai yang menjalani ujian akan menulis di dalam graf akan nada bunyi yang paling rendah boleh didengar oleh subjek

Imej 2: Pelbagai tahap frequensi & kekuatan nada bunyi boleh diubah menggunakan alat ini. Pegawai yang menjalani ujian akan menulis di dalam graf akan nada bunyi yang paling rendah boleh didengar oleh subjek

Di ENT, pemeriksaan am akan dilakukan oleh doktor ENT. Kami akan memerhatikan sama ada mereka mempunyai ciri-ciri penyakit keturunan melalui paras muka dan bentuk anggota badan. Kami juga akan memastikan sama ada kelewatan kemajuan dari segi pertuturan sahaja atau secara keseluruhan- di mana kanak tersebut kurang kemampuan berbanding umur sepatutnya, dari segi kebolehan berjalan, penggunaan jari, koordinasi mata dan keberolehan bersosial.

Ujian asas pendengaran menggunakan bunyi dari belakang (ujian alih tumpuan / ‘distraction test’) akan dijalankan bergantung dengan umur pesakit. Biasanya saya melakukan pemeriksaan telinga pada akhir sekali kerana kanak kebiasaannya akan menangis sekiranya alat pemeriksaan telinga (otoskop) diletakkan di salur telinga.

Pegawai Audiologi akan menjalankan tugasan utama iaitu mengesahkan kurang pendengaran.

Imej 1: Kedudukan subjek di sebelah kanan di dalam kawasan tidak telus bunyi (‘soundproof area’) sewaktu ujian Pure Tone Audiometry (PTA

Imej 1: Kedudukan subjek di sebelah kanan di dalam kawasan tidak telus bunyi (‘soundproof area’) sewaktu ujian Pure Tone Audiometry (PTA

Bagaimanakah mereka menjalankan ujian pendengaran?

Pegawai Audiologi akan menetukan ujian pendengaran yang paling sesuai untuk umur kanak tersebut. Ada ujian yang memerlukan mereka mengikut arahan. Terdapat pelbagai ujian yang ada bergantung sama ada mereka boleh bekerjasama.

Kanak kanak yang boleh mengikut arahan, biasanya berumur 6 tahun ke atas boleh menjalani ‘Pure Tone Audiometry(PTA)’. Ini ialah ujian yang sama dijalankan untuk dewasa. Kanak tersebut akan duduk di dalam bilik yang tidak telus bunyi (‘soundproof room’) dengan ‘headphone’ di mana bunyi akan dijanakan (imej 1,2 & 3). Frekuensi & kekuatan nada bunyi (desibel) akan dilakarkan di graf (imej 4). Ujian ini agak tepat sekiranya subjek itu memberi kerjasama dan boleh mengikut arahan dengan betul.

Bagaimana sekiranya anak saya kurang dari umur tersebut atau tidak boleh menjalani ujian tersebut di atas?

Anak anda boleh menjalani ujian seumpama ini, dengan sedikit penyesuaian. ‘Headphone’ yang serupa akan digunakan. Jika tadi subjek menekan butang, dalam ujian ini kanak tersebut akan diberi alat permainan. Mereka diajar melakukan misi tertentu dengan alat mainan apabila mendengar bunyi. Pegawai Audiologi telah dilatih dengan baik di mana ujian ini menjadi satu aktiviti yang ceria dan bukannya tugasan yang membosankan. Ini ialah ‘play audiometry’.

Sekiranya anak anda tidak mahu menggunakan ‘headphone’ atau berumur lebih kecil, pembesar suara akan diletak di sisi mereka. Imej akan terpapar di skrin sekiraya mereka mengalihkan perhatian ke arah bunyi yang betul. Penyesuaian dengan kaedah ini digelar ‘visual reinforcement audiometry’.

Ujian sama yang dijalani oleh orang dewasa boleh djalani oleh kanak-kanak, sekiranya mereka memberi kerjasama penuh. Bunyi akan kedengaran melalui ‘headphone’ dan subjek tersebut akan menekan butang setiap kali bunyi kedengaran

Ujian sama yang dijalani oleh orang dewasa boleh djalani oleh kanak-kanak, sekiranya mereka memberi kerjasama penuh. Bunyi akan kedengaran melalui ‘headphone’ dan subjek tersebut akan menekan butang setiap kali bunyi kedengaran

Bolehkah mereka mengesan sama ada bayi yang baru lahir mengalami kurang pendengaran?

Di negara maju, semua bayi baru lahir akan menjalani ujian ‘otoascoustic emission’ (OAE). Ujian ini boleh dilakukan dengan selesa pada kanak tersebut dan mengambil masa beberapa minit sahaja (imej 5). Di Malaysia, masih terdapat kekurangan pegawai Audiologi. Dengan ini, kebanyakkan hospital menjalani ujian ini sekiranya kanak kanak tersebut mengalami risiko yang tinggi untuk mendapat kurang pendengaran seperti mana yang telah saya huraikan sebelum ini.

Sekiranya ujian ini tidak muktamad berulang kali, ujian yang lebih tepat akan dijalankan. ‘Auditory Brainstem Response’ (ABR) atau variasinya ‘Auditory Steady State Response’ (ASSR) akan dijalankan untuk pengesahan muktamad. Kanak kanak tersebut perlu diberi ubat penenang agar tidur dan ujian ini biasanya mengambil masa dalam lingkungan 15 minit (imej 6 & 7)

Imej 4: Audiogram menunjukkan titik yang dilakarkan semasa ujian dan akan menunjukkan tahap kurang pendengaran

Imej 4: Audiogram menunjukkan titik yang dilakarkan semasa ujian dan akan menunjukkan tahap kurang pendengaran

Untuk menjawab topik, apa yang boleh saya lakukan sekiranya anak saya tidak boleh mendengar?

Kita perlu prihatin bahawa anak kita berkemungkinan mengalami masalah pendengaran kerana tanda & gejalanya tidak ketara. Anda boleh membantu kanak -kanak yang disyaki kurang pendengaran atau lewat pertuturan dengan berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Doktor tersebut akan merujuk kepada pihak ENT untuk pemeriksaan penuh bersama pegawai Audiologi. Pakar Kanak Kanak sepatutnya lebih prihatin terhadap kes berisiko tinggi dan merujuk jika perlu.

Caption Imej 6: Kanak yang telah diberi ubat penenang dan sedang tidur sedang menjalani ujian pendengaran ASSR. Dia perlu tenang sepenuhnya untuk ujian ini

Caption Imej 6: Kanak yang telah diberi ubat penenang dan sedang tidur sedang menjalani ujian pendengaran ASSR. Dia perlu tenang sepenuhnya untuk ujian ini

Diharapkan, pengesanan peringkat awal akan membantu pemulihan pendengaran serta pertuturan lebih awal, dan diharapkan mereka boleh diserap ke dalam masyarakat tanpa dilabel sebagai orang kurang upaya. Saya berharap boleh mengutarakan pemulihan pendengaran di masa akan datang.

(Penghargaan: Saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pesakit, ibubapa dan kakitangan yang memberi kebenaran mengambil gambar mereka bagi tujuan pendidikan kesihatan bagi pihak awam)

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Ahmad Nordin, seorang pakar ENT yang bertugas di sebuah hospital di Sabah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan:

  • Paediatric Protocols For Malaysian Hospitals 3rd Edition, Hussain Imam Hj Muhammad Ismail, Ng Hoong Phak, Terrence Thomas
  1. Guidelines For High Risk Neonatal Hearing Screening, Ministry of Health Malaysia August 2009

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box