Anak Tantrum: Menyerah Kalah atau Bertegas? – Nurul Iman Rozali

Tantrum adalah suatu fasa yang mana anak anda mengalami kemarahan yang luar biasa dengan karakteristik kekecewaan yang membawa kepada perbuatan lain seperti menangis, menjerit dan pergerakan badan yang berlebihan termasuklah melemparkan barang, menjatuhkan diri ke lantai dan menggigit tangan.

Tantrum berlaku bila si anak cuba mendapatkan apa yang dia nak dan diperlukan. Sesetengah anak yang mempunyai masalah pembelajaran atau perhatian akan cepat berasa marah dan kecewa. Seorang anak akan tantrum jika dia tidak dapat giliran pertama untuk menyepak bola ke dalam gol. Dalam keadaan yang lain, si anak berasa marah atau tidak puas hati bila anda memberi perhatian pada kakaknya. Perbuatan marah, menangis dan menjerit bukanlah satu perbuatan yang sesuai untuk dia meluahkan perasaannya tapi dia membuatnya bersebab.

Anak anda akan berhenti seketika semasa tantrum hanya untuk pastikan yang anda memandang ke arahnya atau dalam erti kata lain memberi perhatian padanya semasa tantrum. Tantrum hanya akan berhenti jika si anak dapat apa yang dia mahukan atau dia sedar yang dia tidak akan dapat apa yang dia mahukan bila buat tingkah laku sedemikian.

            Tantrum juga kebiasaannya berlaku dalam situasi sosial atau di tempat awam. Hal ini disebabkan kebiasaan ibu bapa akan tunduk atau mengikut kata anak-anak apabila berada di hadapan orang lain. Perkara ini biasanya berlaku disebabkan oleh tidak mahu berasa malu atau dikatakan tidak tahu menjaga anak.

            Cara menangani atau berdepan dengan anak tantrum memberi respon yang berbeza pada anak-anak selepas kejadian tantrum. Katakanlah; Pn Mimi membawa anaknya Yusof pergi ke sebuah pasaraya berdekatan dengan rumahnya. Semasa membeli belah di pasaraya itu, Pn Mimi dan Yusof melalui bahagian permainan kanak-kanak. Yusof berminat akan sebuah kereta permainan yang berharga rm50. Pn Mimi menyatakan TIDAK pada permintaan Yusof. Yusof tetap berkeras untuk minta dibelikan kereta mainan itu. Pn Mimi juga kekal dengan kenyataannya. Hal ini berlarutan hinggalah Yusof mengambil keputusan untuk menjerit dengan kuat dan menjatuhkan dirinya ke lantai. Pn Mimi berasa terkejut dan malu. Pada masa itu, apa yang difikirkan adalah menenangkan anaknya dengan menghentikan perbuatan itu dengan serta- merta. Pn Mimi bertindak dengan memberikan kereta mainan yang berharga rm50 pada Yusof, dengan serta-merta Yusof menghentikan perbuatan tersebut.

            Di sini, Yusof belajar untuk mendapatkan sesuatu yang dia inginkan Yusof perlu untuk tantrum dan buatnya secara berulang-kali sehingga dapat daripada ibunya. Konsep yang diterapkan dalam kejadian menyebabkan kejadian tantrum berlaku secara berulang-ulang sampai ke satu tahap ia tidak mampu dikawal. Si anak akan cuba buat dengan cara yang lebih agresif dan tingkah laku yang manipulatif untuk dapatkan apa yang dia inginkan.

            Walau bagaimanapun, situasi tantrum ini mampu dikawal jika Pn Mimi memberi respon yang berbeza daripada situasi di atas. Katakanlah Yusof secara berterusan menjerit dan menjatuhkan dirinya ke lantai. Pn Mimi cuba untuk bersikap tenang dan mulakan untuk refleks perasaan anaknya pada ketika itu.

“ Yusof nampak kecewa dan marah.”

            Yusof berhenti menjerit dan pandang ke arah Pn Mimi. Tapi, keadaan itu berlaku seketika dan Yusof meneruskan tantrumnya. Pn Mimi meluahkan rasa kecewa atas tindakan Yusof.

“ Ibu berasa kecewa atas tindakan Yusof hari ini.”

“ Baiklah, disebabkan Yusof tidak berhenti menjerit dan menjatuhkan diri ke lantai ibu ambil keputusan untuk kita pulang ke rumah.”

            Yusof masih lagi tidak berhenti menjerit. Pn Mimi terus mendukung Yusof dan membawanya keluar daripada pasaraya. Pn Mimi dan Yusof pulang ke rumah.

Berdasarkan respon Pn Mimi yang kedua, ketika Pn Mimi refleks perbuatan Yusof dia tahu yang ibunya faham dan nampak dia dalam keadaan kecewa dan marah. Yusof juga belajar yang dia tidak akan dapat apa yang dia mahukan jika dia berterusan berkelakuan begini. Selain itu, Yusof belajar yang bila dia dalam keadaan marah atau tak suka dia perlu untuk memberitahu atau meluahkan perasaan dengan cara yang betul bukan dengan tantrum.

            Kesimpulannya, tidak dapat dinafikan yang menguruskan anak yang tantrum adalah satu perkara yang mencabar bagi ibubapa. Tapi, dengan pendekatan yang tepat dan sesuai situasi tantrum dapat dikurangkan dan dihalang daripada berlaku. Tambahan lagi, ibu bapa juga mempunyai kawalan yang penuh pada tingkah laku anak-anak.

Nurul Iman Rozali seorang jurupulih carakerja yang berkhidmat di UMMC (Occupational Therapist UMMC).

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box