Anak Yang Demam – Dr Alya Hamzah

Sumber: www.ivillage.com

Sumber: www.ivillage.com

Pengenalan

Anak yang demam tentunya menimbulkan keresahan kepada ibubapa atau penjaga. Alangkah baiknya sekiranya anak-anak kita langsung  tidak mengalami demam.

Demam adalah satu fenomena yang kerap berlaku dan merupakan antara punca utama kemasukan kanak – kanak ke dalam wad di seluruh dunia.

Namun begitu, demam selalunya boleh sembuh dengan sendiri tanpa memerlukan rawatan di hospital.

Apakah itu demam?

Soalan sebegini amat mudah namun tidak mempunyai jawapan yang ringkas. Suhu badan manusia berubah mengikut masa dan aktiviti.

Lazimnya suhu badan akan menurun pada sebelah pagi dan akan meningkat  sedikit pada sebelah malam dan sekiranya anak anak kita menjalani aktiviti fizikal seperti berlari , bersukan dan sebagainya.

Terdapat pelbagai cara untuk menyukat suhu badan. Suhu badan  boleh disukat melalui mulut atau di bawah ketiak apabila berada di rumah. Termometer digital yang boleh menyukat suhu melalui telinga  boleh didapati secara komersil di pasaraya-pasaraya atau di farmasi-farmasi seluruh negara. Salah satu alat yang boleh menyukat suhu badan dengan hanya ditampal di atas dahi juga boleh didapati secara komersil tetapi kaedah ini memberi bacaan yang kurang tepat. Secara umum, seseorang itu dikatakan demam apabila suhu badannya melebihi 37.5 darjah Celsius atau 99.5 darjah Fahrenheit. Penggunaan unit Celsius untuk menyukat suhu adalah lebih meluas di negara kita dan digunakan  oleh hampir kesemua pengamal perubatan.

Mengapa demam terjadi?

Pada otak manusia terdapat satu struktur yang dipanggil ‘hypothalamus‘ yang mempunyai pelbagai fungsi penting dalam menyelenggara aktiviti-aktiviti badan yang normal.

Antara fungsi hypothalamus adalah bertindak sebagai ‘thermostat‘ dalaman yang menetapkan suhu badan yang normal iaitu antara 36.5°C ke 37.5°C.

Keadaan seperti jangkitan kuman atau penyakit-penyakit tertentu boleh merangsang hypothalamus untuk meningkatkan suhu badan manusia. Keadaan ini dipercayai berlaku sebagai langkah ‘pertahanan’ badan yang normal untuk melawan jangkitan atau penyakit. Fenomena ini merupakan suatu kebaikan demam kepada tubuh badan kita.

Apakah penyebab demam?

Demam selalunya berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman atau penyakit. Antara punca demam bagi kanak – kanak adalah seperti:

  1. Batuk dan selesema akibat jangkitan virus
  2. Jangkitan pada tekak atau telinga
  3. Jangkitan paru paru
  4. Jangkitan saluran kencing
  5. Radang otak
  6. Demam denggi
  7. Demam campak
  8. Penyakit tidak berjangkit seperti Systemic Lupus Erythematosus, Juvenile Idiopathic Arthritis

Kadang kala suhu badan anak-anak boleh juga meningkat walaupun tanpa sebarang penyakit seperti selepas mendapat immunisasi ataupun jika dikenakan terlalu banyak pakaian dan balutan selimut bagi bayi yang kecil. Suhu badan juga boleh meningkat apabila bayi mula ” tumbuh gigi ” tetapi selalunya tidak melebihi 37.8°C.

Bilakah patut berjumpa doktor dan tanda- tanda amaran yang perlu dikenalpasti?

Walaupun demam selalunya boleh ditangani tanpa ubat-ubatan, ibubapa dan penjaga dinasihatkan membawa anak-anak berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan sekiranya:

  1. Demam mencapai 38°C atau lebih bagi bayi berumur kurang daripada 3 bulan
  2. Demam mencapai 39°C atau lebih bagi bayi berumur 3 bulan sehingga 6 bulan
  3. Demam dan mempunyai tanda- tanda penyakit yang lain bagi bayi dan kanak – kanak berusia 6 bulan ke atas

Demam yang disebabkan penyakit berbahaya jarang berlaku tetapi tanda- tandanya hendaklah diketahui agar keadaan anak dapat dipantau dan sekiranya terdapat tanda-tanda itu, anak tersebut dapat menerima rawatan awal tanpa berlengah. Antara tanda tanda yang mungkin menandakan jangkitan atau keadaan yang lebih serius termasuklah -:

  1. Perubahan dalam kelakuan seperti menangis tanpa henti atau dengan suara yang nyaring dan sukar untuk ‘dipujuk’, tidak memberi tindak balas yang biasanya diberikan apabila berinteraksi
  2. Kurang aktif atau terlalu banyak tidur daripada kebiasaannya
  3. Sawan
  4. Kurang minum dan kurang kencing daripada kebiasaanya (minum adalah lebih penting daripada selera makan)
  5. Muntah atau cirit birit yang berterusan
  6. Demam yang sangat tinggi tetapi tangan dan kaki kesejukkan atau kebiru – biruan
  7. Perubahan warna kulit atau kelihatan ‘berpetak-petak’ (mottling)
  8. Terdapat ruam yang berwarna merah pekat / keungguan pada kulit badan
  9. Bernafas dengan laju atau kesukaran untuk bernafas
  10. Bengkak pada sendi-sendi
  11. Demam yang berpanjangan
  12. Demam dan tinggal di kawasan wabak denggi

Walaubagaimanapun, anak anak patut dibawa berjumpa doktor sekiranya ibubapa atau penjaga merasa risau tentang sebarang aspek keadaan anak. Sebagai insan yang paling rapat dan kerap berinteraksi dengan anak-anak tersayang, pemerhatian ibubapa dan penjaga terhadap anak adalah informasi yang penting dan tidak wajar dipandang ringan oleh pengamal perubatan.

Rawatan untuk demam dan apa yang boleh dilakukan oleh ibubapa atau penjaga

Pastikan anak anda mendapat jumlah air dalam badan yang mencukupi sama ada dalam bentuk susu bagi bayi atau air kosong, jus buah-buahan dan sebagainya bagi kanak – kanak yang lebih besar. Kenakan pakaian yang tidak tebal agar anak anda berasa selesa. Bagi demam yang disebabkan oleh jangkitan yang tidak serius, rawatan berbentuk ubat seperti Paracetamol atau Ibuprofen boleh diberikan di rumah.

Namun demikian, nasihat doktor tentang penggunaan ubat-ubat ini adalah disarankan kerana kedua-duanya perlu diberikan pada dos yang sesuai dengan berat badan anak anda dan tidak sepatutnya diberikan sekaligus atau melebihi kekerapan dos yang ditetapkan. Pemberian ubat Aspirin untuk mengawal demam dalam kanak kanak di rumah tidak digalakkan sama sekali.

Rumusan

Demam bagi kanak- kanak selalunya disebabkan oleh jangkitan tidak serius dan boleh dirawat di rumah dengan nasihat doktor. Demam juga boleh disebabkan jangkitan atau keadaan yang berbahaya tetapi keadaan ini tidak kerap berlaku. Tanda- tanda keadaan yang lebih serius perlu diketahui dan dikenalpasti agar ianya boleh dipantau di rumah dan mendapatkan rawatan dengan cepat sekiranya perlu.

Ibubapa dan penjaga digalakkan menyimpan ‘thermometer‘ atau alat penyukat suhu badan yang boleh didapati dengan mudah pada harga yang berpatutan secara komersil dan mendapat nasihat pengamal perubatan tentang cara penggunaannya. Tidak semua jangkitan yang menyebabkan demam perlu dirawat dengan antibiotik.

Demam yang suhunya tidak terlalu tinggi (low grade fever) boleh dirawat tanpa ubat-ubatan tetapi sekiranya perlu, hendaklah mendapatkan nasihat pengamal perubatan agar ubat dengan dos yang betul dapat diberikan.

Dr. Alya Hamzah merupakan pakar paediatrik yang kini bertugas di Selangor. Beliau amat mementingkan pendidikan pesakit dan keluarga pesakit dalam memastikan rawatan yang diberikan adalah optimum. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

 

Rujukan:

  • Paediatric Secrets – 5th Edition 2011 , Richard Polin & Mark Ditmar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box