Andropause di Kalangan Jejaka Warga Emas: Adakah Benar? – Dr Mohd Shaiful Ehsan Bin Shalihin

Istilah perubatan menopause atau putus haid seringkali didengari dan diketahui umum. Namun adakah keadaan yang hampir sama juga boleh berlaku di kalangan jejaka berumur emas? Apa itu andropause? Adakah dikaitkan dengan fisiologi penuaan?

 

Seperti juga menopause, andropause juga dikaitkan dengan perasaan kesejahteraan hidup yang berkurangan dan fungsi badan yang merosot. Ini berlaku akibat kekurangan paras hormon lelaki iaitu testosteron ketika mencecah usia emas. Kekurangan hormon ini juga dikaitkan dengan gejala-gejala kekurangan nafsu atau kepuasan melakukan hubungan seks yang rendah. Gejala-gejala ini telah mula dikenalpasti oleh pakar perubatan sejak awal tahun 1940an.

 

Antara gejala-gejala yang boleh dialami oleh warga emas yang mengalami masalah andropause termasuklah perasaan mudah risau, kurang nafsu seks, mudah berasa marah, cepat berasa letih, kemurungan, kurang ingatan, cepat rasa kepanasan, masalah sukar tidur atau tidur terganggu.  Kesemua gejala ini melibatkan sistem emosi,perasaan, kognitif, ingatan, seks, kestabilan dan kesejahteraan hidup. Kesemua gejala ini juga ada pada wanita yang mengalami menopause. Namun, perbezaan ketara yang dialami oleh kaum adam ini adalah gejalanya sangatlah perlahan untuk berlaku dan tidak sekata pada umur-umur tertentu. Walhal untuk menopause, gejalanya sangat ketara secara mendadak dan berlaku dalam julat lingkungan umur yang sama.

 

Gejala kemurungan dan ingatan yang berkurangan ini juga boleh dikaitkan dengan keadaan penyakit nyanyuk atau dementia. Satu kajian awal (Preliminary Findings FRGS21-211-0820) yang dijalankan di Klinik-klinik Kesihatan di Kuantan, Pahang oleh Penyelidik dan Pakar Perubatan Keluarga UIAM, Dr Mohd Shaiful Ehsan Bin Shalihin, mendapati kemerosotan kognitif awal juga berlaku di kalangan warga adam yang berumur 60 tahun ke atas. Selain daripada faktor kekurangan kesejahteraan hidup (sepertimana yang dikaitkan dengan andropause), kajian FRGS21-211-0820 ini juga mendapati mereka yang kurang mendapat sokongan sosial dan mengalami masalah emosi dikaitkan dengan kemerosotan kognitif awal.

 

Tidak dapat dikenalpasti pada paras mana kekurangan hormon testosterone ini boleh menyebabkan gejala andropause. Ini kerana, setiap individu menunjukkan gejala yang berbeza dan pada paras kekurangan testosteron yang berbeza juga. Namun, andropause jelas berlaku pada pesakit yang megalami kegagalan organ seks lelaki iaitu testis, samada akibat kecederaan mahupun kanser.

 

Adakah semua pesakit memerlukan rawatan tambahan testosteron? Pertama pesakit perlulah mengalami gejala-gejala yang telah dinyatakan. Ini termasuklah gejala utama iaitu kekurangan nafsu seks dan gejala-gejala yang lain.  Punca-punca yang lain juga perlulah dikenalpasti seperti masalah endokrin yang lain seperti penyakit tiroid, hormon prolactin yang tinggi mahupun masalah penyelenggaraan paras hormon dari otak dan pituitary, mahupun penyakit dementia. Bacaan paras hormon testosteron sangatlah penting untuk disukat secara tepat untuk memastikan kaitan kekurangan hormon testosteron dengan gejala-gejala tersebut.  Rawatan testosteron hanya diberikan bagi individu yang benar-benar mengalami gejala akibat kekurangan hormon testosteron, memiliki paras hormon yang terbukti rendah dan selepas pesakit memahami baik buruk rawatan.

 

Kesimpulannya, andropause tidak sama dengan menopause. Gejalanya tidak mendadak namun ianya bukan gejala penuaan semata-mata. Pesakit hendaklah berjumpa dengan pihak doktor untuk menilai punca gejala. Bagi pesakit yang memenuhi kriteria rawatan, hormon testosteron mampu meningkatkan potensi seks semula, menaikkan rasa gembira serta sejahtera juga meningkatkan kekuatan tulang dan fizikal badan.

 

Ditulis oleh:

Dr Mohd Shaiful Ehsan Bin Shalihin

Pakar Perubatan Keluarga

International Islamic University Malaysia

 

Artikel ini ditulis sempena minggu kesihatan seksual lelaki, September 2023.

Rujukan:

Shaiful Ehsan Shalihin et al. Preliminary Findings – Mild Cognitive Impairment Among Elderly Patients In Primary Care And Its Factors (FRGS21-211-0820, FRGS/1/2021/SKK05/UIAM/03/1) (2022).

Singh P. Andropause: Current concepts. Indian J Endocrinol Metab. 2013;17(Suppl 3):S621-S629. doi:10.4103/2230-8210.123552

Synder P.J. Approach to older men with low testosterone. UpToDate.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box