Pilihanraya dan Internet
Sekarang ini musimnya. 9 Mei nanti kita melihat sejarah negara sekali lagi bakal terukir episod baru. Ini bukan makalah politik untuk menganalisis parti-parti dan manifesto yang terlibat. Penulisan ini cuba membawa keluar satu unsur yang sangat penting dalam kempen-kempen pilihanraya mutakhir ini. Kempen Presiden Barack Obama satu ketika dikatakan berjaya dek unsur ini. Begitu juga Malaysia, unsur ini menjadi perkakas sakti untuk penyebaran propaganda dan pembinaan persepsi. Unsur yang dimaksudkan adalah Internet dan media sosial.
Internet umpama anugerah dari langit yang jatuh ke riba manusia dan dalam sekelip mata mereka berubah. Impak maksimal ke atas kehidupan spesies yang sedang melalui revolusi industri ke empat ini. Keterlambakan maklumat, jalinan sosial cara baru, peluang perniagaan yang meluas dan kepantasan perhubungan tidak dinafikan adalah perkara-perkara positif yang timbul. Tetapi adakah kemajuan yang didukung Internet ini menjanjikan yang muluk-muluk sahaja? Apa akan jadi bilamana manusia bergantung total kepadanya?
Internet dan masalah ketagihan
Ketagihan heroin (baca: opioid), ketagihan candu dan ice (baca: amphetamine) dan ketagihan ganja (baca: cannabis) terus menerus menyibukkan para saintis, para penggubal undang-undang dan para pelaksana hukuman. Berjuta ringgit keluar dari saku kerajaan dan poket cukai rakyat semata-mata mahu mengkaji, merawat dan memenjarakan penagih dan pengedar. Ada yang beriman dengan konsep ‘zero-tolerance’ yang pendekatannya berat pada landasan hukuman (maksudnya: hukuman seberat-beratnya akan melangsaikan segala masalah ketagihan) dan ada yang beriktikad bahawa ketagihan adalah penyakit otak yang penyelesaiannya wajib berpaksikan sains perubatan (maksudnya: hukumlah berat mana sekalipun, masalah ketagihan tetap kekal. Sebaliknya ia perlu dirawat untuk mengurangkan kemudaratan). Apa pun polemik, pokoknya masalah ketagihan tetap relevan.
Tidak habis dengan masalah ketagihan dadah yang tidak kunjung surut, kita diterpa pula dengan isu ketagihan perilaku. Ketagihan perilaku bermaksud individu yang terlibat mengalami gejala dan simptom seperti dalam ketagihan dadah tetapi mereka tidak mengambil dadah. Mereka mengalami simptom-simptom ini apabila disekat daripada melakukan sesuatu perbuatan. Ketagihan perilaku atau kata lain, ketagihan bukan dadah (non-substance related addiction) yang sudah rasmi termaktub dalam kitab psikiatri DSM-V adalah ketagihan judi (gambling disorder). Bukti saintifik menunjukkan penagih judi ini mempunyai masalah jalinan neuron otak yang sama seperti penagih-penagih dadah (reward system). Mereka gian pada sesuatu perbuatan, bukan pada bahan atau dadah yang dimasukkan ke dalam badan. Ketagihan perilaku yang lain seperti ketagihan permainan Internet, ketagihan Internet itu sendiri, ketagihan seks, ketagihan pornografi dan ketagihan membeli-belah sering disebut dan diwacanakan (Rujuk APA, DSM-5 2013).
Ketagihan Internet
Walaupun tidak dinobatkan secara rasmi sebagai penyakit dalam buku teks arus perdana, penyelidik dan sarjana seantero dunia telah dan masih giat membangkitkan kesedaran betapa ketagihan Internet itu satu masalah serius yang marhaen harus cakna. Antaranya adalah Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja Malaysia, Dr Norharlina Bahari yang membentangkan kertas kerja beliau (pastinya ini bukan kali pertama) di 5th Sarawak Mental Health Conference baru-baru ini. Beliau membawa naik isu penggunaan Internet dan media sosial di kalangan kanak-kanak. Fenomena Internet dan media sosial bukan satu malapetaka yang perlu ditolak tetapi satu perkara yang wajib difahami nescaya kesan-kesan buruk yang hadir bersama dapat diuruskan dengan baik.
Pada 2014, Kuss & Griffith bersama rakan-rakan telah melakukan analisis sistematik ke atas kajian-kajian epidemiologi yang lalu. Daripada 68 kertas kajian yang berselerak di lebih 10 buah negara, mereka mendapati kadar gejala ketagihan Internet berkisar di antara 0.8% (Itali) ke 26.6% (Korea Selatan) di kalangan populasi kanak-kanak. Kadar peratusan di kalangan dewasa pula adalah 1.2% (United Kingdom) dan 22.8% (Iran). Perbezaan peratusan yang terlalu jauh ini, menurut mereka, disebabkan pengistilahan ketagihan Internet yang masih tidak jelas dan penggunaan instrumen atau skala yang tidak seragam. Contoh-contoh skala yang digunakan Internet Addiction Test, Internet Addiction Diagnostic Questionnaire dan Chen’s Internet Addiction Scale.
Mungkin kajian prevalens (jumlah bilangan penyakit pada sesuatu masa dan kawasan) yang lebih ampuh adalah penyelidikan meta-analisis Cheng dan Li pada tahun yang sama. Mereka melihat 80 kertas kerja daripada 31 negara dan merumuskan bahawa secara global gejala ketagihan Internet ini dianggarkan 6%. Entah bagaimana, negara-negara Asia lebih tinggi kadarnya berbanding negara Eropah.
Bagaimana pula keadaannya di Malaysia? Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Kwok Kei Mak dari Hong Kong telah melakukan kajian langsung untuk mengukur kadar prevalens ketagihan Internet pada enam buah negara Asia. Malaysia menduduki tangga ketiga di belakang Filipina dan Hong Kong dengan kadar 14%. Nampak gayanya peratusan ini jauh lebih tinggi daripada peratusan global 6% seperti yang dinyatakan awal tadi.
Sifat-sifat orang ketagih Internet
Simptom-simptom ketagihan Internet sama seperti ketagihan dadah. Unsur pertama yang ada pada individu yang ketagih adalah salience; atau keutamaan. Internet telah merajai jiwa dan hidupnya. Fikiran dan keinginan mutlaknya hanyalah Internet. Dalam keadaan Internet tiada di sisi, dia akan sentiasa memikirkannya dan merinduinya. Sekurang-kurangnya dia akan berimaginasi dan berfantasi tentang penggunaannya.
Daya positif emosi sehariannya hanya boleh ditemui dengan menggunakan Internet. Keseronokan yang lebih semula jadi dan alami seperti keseronokan bersosial bersama rakan, keseronokan beriadah dan sebagainya tidak lagi mendapat tempat dalam ranah emosinya.
Tanda-tanda lain ketagihan adalah kegagalan menjalankan rutin harian akibat penggunaan Internet secara berlebihan, meluangkan masa di Internet melebihi keperluan, tahap penggunaan Internet yang meningkat dari semasa ke semasa dan mengutamakan keseronokan di alam maya berbanding bersosial di alam nyata. Selain daripada itu, individu tersebut akan sentiasa menangguhkan urusan harian sama ada di tempat kerja (atau sekolah) mahupun di rumah.
Implikasi kesihatan mental dan lain-lain
Internet adalah kurniaan teknologi kepada dunia yang begitu signifikan sehingga mampu merubah cara manusia bermasyarakat. Sambil tidak menafikan kehebatannya memajukan manusia dan membantu urusan harian mereka, Internet membawa bersama implikasi kesihatan mental.
Kertas kerja ilmiah seperti Bailin et al (2014) dan Jorgensen et al (2016) seharusnya menjentik kesedaran kita bahawa penggunaan Internet berlebihan mempengaruhi kesihatan mental anak-anak muda. Kemurungan, ADHD (Attention Deficit Hyperactive Disorder), penyalahgunaan dadah/alkohol dan insomnia seringkali dilihat bersangkut paut dengan ketagihan Internet. Selain daripada itu, gejala buli-siber (cyberbullying), sexting, pornografi atas talian, perjudian secara halus dan eksploitasi seksual adalah isu-isu rencam lain yang timbul dengan penggunaan Internet berlebihan di kalangan anak-anak remaja. Menurut Cheng dan Li (2014) pula, kualiti hidup yang rendah dan merosot berkait rapat dengan kadar ketagihan Internet yang tinggi.
Pada 2009, Dr. Chih Hung-Ko dan kumpulan penyelidiknya dari Taiwan telah menyelesaikan kajian empirikal pertama di dunia yang menyiasat keterkaitan ketagihan Internet dan tingkah-laku agresif di kalangan remaja. Hipotesis mereka terbukti bahawa remaja yang memenuhi kriteria ketagihan Internet cenderung untuk bersikap ganas lebih-lebih lagi jika usia mereka di bawah 15 tahun (Junior High-School). Lapan tahun kemudiannya, Stavropoulos dan pasukan bijak-pandainya menemukan keputusan yang sama pada sampel remaja yang berlainan.
Dan sekarang apa?
Adakah kita harus mengharamkan Internet demi kebaikan generasi mendatang? Adakah kita harus bersikap ‘zero-tolerance’ dalam menongkah arus baru kesihatan mental ini? Jawapannya mungkin terletak pada satu perkataan: keseimbangan.
Kajian menunjukkan sikap ibu-bapa yang tidak terlalu mengongkong, memiliki tahap kesedaran tinggi tentang teknologi di samping bersikap proaktif dan positif akan mempunyai anak-anak yang sihat penggunaan Internetnya (Terras 2016). Ibu-bapa atau penjaga mungkin tercengang-cengang dengan istilah-istilah seperti gamification, microtransaction, loot box, E-sports dan sebagainya.
Tabiat dan sikap ibu-bapa terhadap media itu sendiri memberi kesan besar pada tingkah-laku anak-anak dan sikap mereka terhadap kemudahan teknologi Internet. Mereka tidak sepatutnya mengambil pendekatan pukal mengharamkan terus penggunaan Internet dan teknologi di rumah. Dalam masa yang masa sikap permisif tanpa pemantauan, dan lebih merisaukan sikap jahil pada teknologi Internet, sudah tentu menjuruskan anak-anak kepada kancah penyalahgunaan teknologi tersebut.
Pihak pemerintah yang lebih proaktif akan meneliti ruang undang-undang yang boleh diaplikasikan seperti mengetatkan peraturan permainan atas talian yang melibatkan unsur perjudian dan lebih keras mengekang pornografi. Doktor-doktor, kaunselor-kaunselor sekolah dan sesiapa ahli masyarakat yang sering terlibat dengan kanak-kanak dan remaja juga berperanan untuk peka dan sentiasa cuba bertanya tentang tabiat penggunaan Internet.
Kefahaman dan kemudian bertindak
Ketagihan; addiction, secara tradisinya sering kita faham hanya terkait dengan dadah atau sesuatu bahan yang boleh diambil, dimakan, dimasukkan dalam badan lantas memberi kesan yang enak-enak. Sebenarnya tidak wahai sidang pembaca budiman. Ketagihan juga bisa wujud dengan sesuatu perbuatan atau interaksi; ketagihan perilaku. Interaksi manusia dengan mesin yang berlebihan sehinggakan makna manusia itu sendiri perlahan-lahan luput adalah salah satu contoh ketagihan perilaku. Sesetengah sarjana memilih untuk menggunakan terminologi ketagihan teknologi. Dunia berlari pantas dengan teknologi bertukar rupa lebih cepat daripada langit bertukar cuaca. Entah apa lagi cabaran di hadapan yang menunggu yang akan mencabar kemanusiaan kita.
Setelah kita faham situasi ini, kemudian kita harus akukan yang ianya satu masalah. Namun dalam mengakui Internet itu boleh mendatangkan masalah, kita tidak boleh terperangkap dalam dakyah kolot anti-kemajuan yang saban hari hidup berpaksikan teori konspirasi bahawa kononnya Internet itu adalah dajal yang turun mengheret manusia ke lembah kehinaan. Mari kita ambil pendekatan yang tenang dan rasional sambil mengayuh perlahan-perlahan di samudera sains empirikal agar bukti yang kukuh diperolehi untuk mengekang gejala ketagihan Internet daripada terus menghanyutkan anak-anak muda kita.
Selamat mengundi.
Rujukan
- American Psychiatric Association. (2014). American Psychiatric Association. DSM-5. APA DSM, 5.
- J Kuss, D., D Griffiths, M., Karila, L., & Billieux, J. (2014). Internet addiction: a systematic review of epidemiological research for the last decade. Current pharmaceutical design, 20(25), 4026-4052.
- Cheng, C., & Li, A. Y. L. (2014). Internet addiction prevalence and quality of (real) life: a meta-analysis of 31 nations across seven world regions. Cyberpsychology, Behavior, and Social Networking, 17(12), 755-760.
- Mak, K. K., Lai, C. M., Watanabe, H., Kim, D. I., Bahar, N., Ramos, M., … & Cheng, C. (2014). Epidemiology of internet behaviors and addiction among adolescents in six Asian countries. Cyberpsychology, Behavior, and Social Networking, 17(11), 720-728.
- Bailin, A., Milanaik, R., & Adesman, A. (2014). Health implications of new age technologies for adolescents: a review of the research. Current opinion in pediatrics, 26(5), 605-619.
- Jorgenson, A. G., Hsiao, R. C. J., & Yen, C. F. (2016). Internet addiction and other behavioral addictions. Child and Adolescent Psychiatric Clinics, 25(3), 509-520.
- Ko, C. H., Yen, J. Y., Liu, S. C., Huang, C. F., & Yen, C. F. (2009). The associations between aggressive behaviors and Internet addiction and online activities in adolescents. Journal of Adolescent Health, 44(6), 598-605.
- Stavropoulos, V., Kuss, D. J., Griffiths, M. D., Wilson, P., & Motti-Stefanidi, F. (2017). MMORPG gaming and hostility predict Internet addiction symptoms in adolescents: An empirical multilevel longitudinal study. Addictive behaviors, 64, 294-300.
- Terras, M. M., & Ramsay, J. (2016). Family digital literacy practices and children’s mobile phone use. Frontiers in psychology, 7, 1957.
Dr Zul Azlin Razali adalah Pakar Psikiatri di Universiti Sains Islam Malaysia.
Green Crescent Malaysia adalah persatuan bukan kerajaan yang cakna tentang isu ketagihan. Ia menggembleng tenaga sukarelawan anak muda untuk menjayakan program pencegahan di peringkat sekolah dan universiti. Fokusnya kepada lima bentuk ketagihan: ketagihan dadah, alkohol, rokok, teknologi dan perjudian. https://web.facebook.com/mygreencrescent/
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]