Apabila bercakap tentang gigi haus, ia adalah satu keadaan yang menggambarkan bahawa gigi telah kehilangan strukturnya bukan disebabkan karies atau lubang pada gigi atau perkembangan abnormal gigi. Ia adalah proses fisiologi yang normal berkaitan dengan peningkatan usia. Satu kajian telah menyatakan bahawa setiap orang mengalami kehausan gigi sebanyak 20-38µm dalam setahun. Namun begitu, gigi haus menjadi suatu masalah sekiranya kadar kehausan melebihi 20-38µm setahun sehingga menyebabkan pendedahan saraf gigi.
Bagaimana gigi menjadi haus?
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan gigi menjadi haus. Antaranya ialah:
- Memberus gigi menggunakan berus gigi keras dan terlalu lama
- Mempunyai sikap mengunyah gigi semasa tidur atau dalam keadaan stress
- Pengambilan minuman berkarbonat, minuman tenaga (REDBULL), jus buah, alkohol
- Pengambilan jeruk, buah yang berasid seperti limau, cuka
- Pengambilan ubat tertentu seperti Vitamin C, aspirin secara berlebihan, ventolin
- Pesakit yang mengalami anorexia nervosa dan bulimia nervosa (self-induced vomiting) GORD (gastro-oesophageal reflux disorder)
Apakah ciri-ciri pada pesakit?
- Muka pesakit akan nampak lebih tua dan seakan-akan memakai gigi palsu
- Pembesaran otot muka, terjadi terutama kepada pesakit yang mempunyai sikap mengunyah gigi
- Pembesaran kelenjar parotid terutama pesakit bulimia
- Xerostomia (kurang air liur)
Apakah tanda-tanda gigi haus?
- Gigi menjadi pendek dan bergerigi
- Permukaan gigi berbentuk lopak/facet
- Jika ada tampalan, tampalan itu akan kelihatan terbonjol keluar, tidak disokong oleh struktur gigi
- Gigi nipis
Bagaimana rawatan?
Sebelum menjalankan rawatan, pegawai pergigian perlu mengenal pasti apakah faktor penyebab gigi haus, adakah faktor pemakanan, faktor ‘habit’ yang suka mengunyah gigi, atau faktor perubatan. Jika ia melibatkan faktor perubatan, rujukan kepada pegawai perubatan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum pegawai pergigian menjalankan rawatannya. Selalunya, rawatan perlu jika berlaku:
- Kecacatan estetik – gigi yang pendek, patah, gigi berubah warna
- Kesukaran mengunyah
- Gigi terasa sensitif dan sakit
Pada awalnya, pesakit akan dinasihat untuk mengubah gaya hidup dengan mengurangkan pengambilan minuman atau makanan yang berasid. Rawatan akan dimulakan dengan merawat gigi yang bermasalah seperti gigi berkaries, ada masalah gusi dan gigi yang perlu dicabut.
Kemudian ia diteruskan dengan rawatan pencegahan di mana pemberian fluoride 0.7% di klinik diikuti penggunaan fluoride stannous 0.4% di rumah. Pesakit juga dicadangkan menggunakan “Tooth Mousse ACP (GC)” yang boleh membantu ‘remineralization’ pada permukaan gigi. Terapi splint juga akan diberi kepada pesakit untuk digunakan pada jangka masa tertentu. Selain daripada itu restorasi gigi menggunakan tampalan sewarna, korona atau jambatan juga akan dilakukan. Objektif utama pengurusan pesakit ‘gigi haus’ adalah mengelakkan dari proses gigi haus secara patologi (pathological wear) itu menjadi berlanjutan. Justeru itu, pesakit akan diperiksa secara berkala agar masalah gigi haus ini dapat dikawal. Pada akhir rawatan, pegawai pergigian akan mengambil gambar pesakit dan acuan gigi pesakit sebagai ‘baseline’ untuk kita menyelia proses masalah gigi haus pada pesakit. Jika kita dapati masalah ini kekal dan sama seperti temujanji sebelumnya, maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa proses gigi haus adalah stabil dan berada dalam keadaan normal iaitu 20-38µm/tahun.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
Dr. Anis Ezrina (DDS) (UKM), (MRestDent) (Newcastle, UK) adalah seorang doktor gigi yang bekerja di Kedah.
Rujukan
- Current concepts on the management of tooth wear: Part 1 Assessment, treatment planning and strategies for the prevention and the passive management of tooth wear. BDJ 2012; 212:17-27
mengunyah gigi ke mengetap gigi?
Mengunyah dan mengetap gigi adalah dua keadaan yang berbeza. Namun ia boleh berlaku serentak di dalam keadaan sedar dan tanpa disedari. Mengetap gigi atau dipanggil “clenching teeth` adalah keadaan di mana kedua-dua gigi atas dan bawah bertemu dan berada dalam keadaan statik iaitu tidak bergerak, manakala menguyah gigi pula, kedua-dua gigi yang bertemu akan bergerak diantara satu sama lain. Kadang-kadang bunyi akan kedengaran. Kedua-dua keadaan ini akan menjurus kepada kegigian haus.
Gigi haus? satu topik yang jarang sekali atau tidak pernah dibincangkan. Diharap artikel ini dapat membantu setiap pembaca meningkatkan lagi kesedaran kesihatan gigi. Namun ada sedikit persoalan iaitu:-
1) adakah gigi haus ini juga berkaitan dengan ‘cuci gigi’ , bleaching atau whitening?
2) bagaimanakah cara bagi mengelakkan sikap mengunyah gigi semasa tidur?
Terima Kasih.
Kegigian haus tiada kaitan dengan mencuci gigi atau kita panggil \’scaling\’. Mencuci gigi adalah prosedur dimana karang pada gigi dibersihkan daripada permukaan gigi. Selalunya pesakit akan mengadu kasar pada permukaan gigi. Pengilapan permukaan gigi boleh dilakukan selepas pencucian gigi dengan menggunakan \’prophy paste\’.\”bleaching\’ atau pemutihan gigi adalah salah satu faktor yang boleh menipiskan permukaan gigi. Justeru itu, ia tidak digalakkan untuk digunakan secara berleluasa. Ia perlu mendapat nasihat dari pegawai pergigian yang bertauliah.Mengunyah gigi adalah satu tabiat yang berlaku dalam keadaan sedar dan tanpa sedar (semasa tidur). Gaya hidup yang agak tertekan akan menjurus kepada tabiat tersebut. Untuk mengatasinya pekara utama perlu dilakukan ubah gaya hidup kurangkan stress dalam diri. Jika dirujuk kepada pegawai pergigian, pesakit seperti ini akan diberi \’splint\’ sama ada di pakai pada rahang atas atau rahang bawah. Terdapat dua jenis splint, splint lembut dan splint keras. Splint lembut selalunya dipakai pada permulaan rawatan selama 3 bulan. Jika tidak berkesan, splint keras akan diberikan kepada pesakit.
Salam, Khususnya apabila terjadi nya gigi haus ni. Penyelesaian yang kita boleh lakukan mcm mana ya.?