Leptospirosis adalah penyakit yang melibatkan manusia dan juga haiwan disebabkan oleh bakteria bahaya, leptospira sp. Untuk manusia, jangkitan bakteria ini menyebabkan pelbagai jenis gejala yang boleh tersalah dengan diagnosis penyakit-penyakit yang lain. Ada juga yang dijangkiti tidak mempunyai sebarang gejala penyakit. Penyakit jangkitan ini boleh menyebabkan kegagalan kepada buah pinggang, jangkitan kuman selaput otak, kerosakan hati, masalah pernafasan malahan yang lebih teruk adalah kematian.
Bagimana jangkitan itu berlaku?
Bakteria ini boleh merebak melalui air kencing binatang yang telah terjangkit. Ianya adalah melalui medium air, tanah dan boleh hidup sehingga berminggu-minggu atau berbulan-bulan lamanya. Kebanyakan binatang domestik atau liar boleh menjadi vektor kepada bakteria ini contohnya seperti binatang lembu, babi, kuda, anjing, tikus rumah dan binatang liar yang lain. Apabila binatang-binatang ini dijangkiti, mereka tidak mempunyai gejala penyakit. Ianya akan terus menerus menghasilkan bakteria kepada persekitaran sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya.
Manusia boleh dijangkiti adalah melalui:
- Sekiranya terdedah dengan air kencing atau cecair badan dari binatang yang telah terjangkit.
- Apabila terdedah dengan air, tanah atau makan yang telah dikontaminasi dengan air kencing biantang yang telah terjangkit.
Bakteria ini boleh memasuki badan melalui permukaan kulit, mata, hidung atau mulut terutama sekiranya kulit mengalami masalah luka. Meminum minuman yang telah terkontaminasi bakteria juga boleh menyebabkan jangkitan bakteria leptospirosis ini. Perebakan ketara penyakit ini biasanya disebabkan oleh pendedahan kepada air yang telah terkontaminasi dengan bakteria ini contohnya ketika musim banjir. Perebakan dari seorang pesakit kepada yang lain adalah sangat jarang.
Apakah tanda-tanda dan gejala jangkitan leptospirosis?
Untuk manusia, antara gejala-gejala jangkitan adalah seperti demam panas, sakit kepala, kesejukan melampau (chills), sakit otot, muntah, kekuningan (jaundis), mata merah, sakit perut, cirit dan juga pembentukan ruam. Boleh dikatakan gejala-gejala ini juga adalah hampir sama dengan penyakit jangkitan kuman yang lain. Jangkitan ini adalah di antara beberapa hari sehingga boleh membawa kepada tiga minggu atau lebih.
Gejala penyakit ini boleh dibahagikan kepada 2 fasa iaitu:
Fasa 1: Demam, kesejukan (chills), sakit kepala, sakit otot, muntah atau cirit. Pesakit kemungkinan boleh baik sekejap sahaja kemudian boleh teruk semula.
Fasa 2: Lebih teruk, pesakit boleh mengalami kegagalan buah pinggang, kegagalan hati atau jangkitan kuman selaput otak.
Apakah faktor-faktor risiko?
Bakteria ini biasanya membiak dikawasan yang bersuhu panas dan tropika. Ianya berisiko di kalangan pekerja yang bekerja secara ‘outdoor’ contohnya seperti pekerjaan petani, pekerja lombong, veterinar, pekerja ladang, pekerja bawah tanah dan sebagainya. Ianya juga berkait dengan mereka yang suka melakukan aktiviti renang, kayak dan juga rakit di kawasan air yang terkontaminasi dengan bakteria ini.
Apakah rawatan secara umum?
Penyakit ini secara umumnya dirawat dengan pemberiaan antibiotik contohnya seperti pemberian antibiotik seperti doxycycline atau penisilin. Ianya perlu diberikan segera sekiranya telah di diagnos mendapat penyakit ini. Antibiotik secara intravena sangat diperlukan sekiranya pesakit mempunyai gejala yang teruk.
Risiko untuk mendapat jangkitan ini sebolehnya dapat dikurangkan sekiranya kita tidak berenang atau mandi di kawasan perebakan yang tercemar dengan bakteria ini. Pakaian pelindung atau sarung kaki pelindung seharusnya di pakai semasa melakukan aktiviti supaya dapat melindungi diri dari terdedah kepada air atau tanah yang terkontaminasi. Bakteria ini juga boleh menjangkiti manusia, dan juga binatang termasuk binatang peliharaan di rumah. Pastikan binatang peliharaan kita bebas leptospirosis dengan pengamalan kebersihan yang terbaik.
RUJUKAN:
- Human leptospirosis: guidance for diagnosis, surveillance and control, World Health Organization, 2003
- Leptospirosis, Centers for disease Control and Prevention, CDC
ASST. PROF. DR. MOHAMMAD BIN HJ. CHE’ MAN
PENSYARAH PERUBATAN KLINIKAL/ PAKAR PERUBATAN KELUARGA
OCCUPATIONAL HEALTH DOCTOR
(MD. UKM, MMED, (FAMILY MEDICINE) USM), OHD(NISOH)
SPECIAL INTEREST: MEN HEALTH, PRIMARY CARE DERMATOLOGY, OHD
DEPARTMENT OF FAMILY MEDICINE,
KULLIYYAH OF MEDICINE, IIUM KUANTAN PAHANG.
ASST. PROF. DR. SHAHIDAH CHE ALHADI
PENSYARAH PERUBATAN KLINIKAL/ PAKAR BEDAH
(MBBS.IIUM, MMED, (SURGERY) USM)
SPECIAL INTEREST: BREAST AND ENDOCRINE SURGERY
DEPARTMENT OF SURGERY,
KULLIYYAH OF MEDICINE, IIUM KUANTAN PAHANG.