Apakah Kanser Ovari?- Dr Muhammad Izzat Abdul Razak

landscape-1445713136-g-ovarian-cancer-154946498Kanser adalah penyakit yang melibatkan sel badan. Sel yang normal lazimnya berkembang dan membesar mengikut aturan yang telah ditetapkan dan apabila diperlukan. Apabila seseorang itu menghidap kanser, sel-sel ini mengganda dan membesar secara cepat dan tidak terkawal, dalam masa yang sama merosakkan sel-sel normal yang sihat.

Ovari adalah sepasang organ yang menghasilkan benih dan hormon wanita. Kanser ovari datangnya dari ovari dinamakan primary ovarian cancer.

Ada sesetengah kes, sel kanser ini datangnya dari struktur bersebelahan ovari iaitu tiub Fallopio.

anatomy_ovaries1

Sel kanser boleh merebak dari ovari ke rahim, abdomen dan juga peparu, dan sel kanser ini mengganda dan membesar di tempat yang baru. Ini dikenali sebagai metastasis.

Kanser ovari banyak ditemui pada wanita yang berusia 40 tahun ke atas, memuncak pada lingkungan umur 55-60 tahun dan boleh berlaku pada remaja kurang 20 tahun.

Lagi awal peringkat kanser ovari dikesan dan dirawat, kadar penyembuhan adalah lebih baik.

Ada beberapa jenis kanser ovari – yang paling biasa ditemui adalah kanser yang melibatkan sel di permukaan ovari itu sendiri (epithelial cancer).

Kanser ovari lambat dikesan kerana kedudukan ovari itu jauh di dalam pelvis, berbanding pangkal rahim dan rahim. Maka proses saringan kanser sukar dilakukan.

Punca kanser ovari

Kebanyakan kes kanser ovari tidak dapat diketahui sebab-musababnya. Walau bagaimanapun terdapat beberapa faktor yang ada perkaitan dengan kanser ovari

  • Risiko meningkat dengan pertambahannya umur wanita. 8 dari 10 kes kanser ovari berlaku pada wanita lebih 50 tahun umurnya.
  • Berat badan berlebihan / obesiti
  • Penghasilan telur / perlepasan telur (ovulasi) yang dikurangkan dapat mengurangkan risiko kanser ovari. Boleh dicapai melalui pengambilan pil perancang kehamilan, penyusuan susu ibu
  • Risiko untuk mendapat kanser ovari meningkat sedikit jika seseorang wanita itu tidak mempunyai anak atau menopos pada usia lewat
  • Sejarah keluarga yang mempunyai kanser ovari dan kanser payu dara. Disebabkan perwarisan genetik yang rosak ( faulty gene) – BRCA 1 / BRCA 2. 1 dalam 10 kanser ovari disebabkan oleh keadaan genetik ini.

Gejala-gejala/simptom

Biasanya sesorang itu tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal. Kebanyakan orang melaporkan mempunyai gejala-gelala seperti berikut :

  • kembung / bengkak perut

sakit adalah perkara yang jarang berlaku – melainkan ketumbuhan pada ovari sudah terpulas / berlaku pendarahan di dalam ovari

  • merasa cepat kenyang dan kurang selera makan

kebiasaannya kanser ovari ini sudah merebak ketika ianya diketahui.

Bagaimana Mengesan Kanser Ovari ?

Pemeriksaan ultrasound – doktor boleh melihat sama ada ovari normal atau tidak semasa melakukan pemeriksaan ini.

Ujian darah CA 125 – sejenis protein dalam darah, jika parasnya meningkat selalunya berkaitan dengan kanser ovari jenis bahaya.

Anda mungkin dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan CT scan abdomen pelvis dan dada.

Kadang-kadang perlu pemeriksaan biopsi – mengambil sedikit tisu/sel untuk pemeriksaan makmal

Jika perut membusung, penuh dengan air (ascites) anda mungkin dinasihatkan untuk mengeluarkan air ini, cecair ini akan dihantar untuk pemeriksaan sel kanser di makmal patologi.

Ujian saringan genetik untuk mereka yang mempunyai sejarah keluarga kanser ovari untuk lihat sama ada ada mutasi pada gene BRCA 1 / BRCA 2.

 

Sejauh mana bahayanya kanser ovari?

Kanser ovari boleh merebak keseluruh ruang peritoneum, boleh merebak mengikut aliran cecair peritoneum dan salur limfa.

60 – 70 % kanser tahap III merebak hingga pada kelenjar pelvis dan para aortik.

Kanser ovari boleh merebak pada tulang belakang, otak dan peparu.

Rawatan

Merangkumi rawatan pembedahan, kemoterapi dan kadang-kadang perlu radioterapi. Rawatan bergantung kepada peringkat kanser ovari dan keadaan kesihatan pesakit secara am dan kemahuan pesakit.

Kebaikan, risiko dan kesan sampingan dan peratus kejayaan rawatan akan dibincangkan bersama pesakit dan ahli keluarganya.

Pembedahan – bergantung kepada tahap kanser dan kemahuan pesakit. Pembedahan melibatkan pembuangan kedua-dua ovari, tiub Fallopio, rahim, pangkal rahim, lapisan lemak dalam abdomen dan sedikit sampel dari kelenjar limfa mungkin diambil untuk menentukan peringkat kanser dan rawatan selanjutnya.

Kemoterapi – menggunakan ubatan sitotoksik untuk membunuh sel kanser, selalunya diberikan selepas pembedahan.

Ada juga kes diberikan ubatan kemoterapi sebelum pembedahan – untuk mengecilkan saiz tumor dan menyenangkan proses pembedahan.

Ada beberapa regim kemoterapi – bergantung kepada tahap kanser yang mana akan dibincangkan dengan pesakit terlebih dahulu termasuk kesan sampingannya akan turut dibincangkan bersama.

Rujukan :

 

Ovarian cancer – Information for you by Royal College of Obstetricians & Gynaecologists. Published in January 2016 ( next review 2019 )

 

Artikel ini ditulis bersempena World Ovarian Cancer Day yang disambut pada 8 Mei setiap tahun. Artikel ditulis oleh Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, Registrar Obstetrik & Ginekologi yang berkhidmat di sebuah hospital di Selangor.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box