Seorang perempuan yang agak berusia berjalan perlahan-lahan menuju ke sebuah klinik pergigian di satu daerah terpencil. Setelah didaftarkan, beliau ditunjukkan ke arah bilik rawatan. “Doktor,” adunya, “Gigi makcik sudah goyang. Makcik nak cabut semua boleh tak sebab tak selesa nak mengunyah.”
Kenapa gigi makcik itu bergoyang? “Biasalah, dah tua. Gigi dah longgar, jadi kena cabut dan pakai gigi palsu.” Jika anda ditempatnya, adakah anda mahu gigi anda bergoyang lalu terpaksa dicabut dan memakai gigi palsu yang tidak menjamin keselesaan? Sebenarnya, punca gigi makcik tersebut longgar adalah kerana penyakit gusi kronik (berpanjangan) yang dialaminya. Sayang sekali giginya terpaksa dikorbankan akibat penyakit gusi yang boleh dielakkan.
Apa itu penyakit gusi?
Penyakit gusi adalah keradangan pada tisu dan struktur periodontium, iaitu struktur yang menyokong gigi kita. Secara umum, terdapat dua jenis penyakit gusi:
- Gingivitis: keradangan HANYA pada gusi.
- Periodontitis: keradangan pada gusi dan juga struktur periodontium yang lain.
Untuk penerangan yang lebih jelas, mari kita lihat apakah yang dimaksudkan dengan struktur periodontium.
Struktur periodontium terbahagi kepada empat iaitu:
- Gingiva: gusi yang menyeliputi akar gigi dan tulang rahang.
- Cementum: satu lapisan berwarna kekuningan yang membaluti akar gigi.
- Ligamen periodontal (periodontal ligament): tisu kenyal yang menghubungkan akar gigi dengan tulang. Juga bertindak sebagai penyerap impak (impact absorber) supaya gigi anda tidak berlaga dengan tulang semasa anda makan.
- Tulang alveolar (alveolar bone): Tulang di sekeliling gigi anda.
Penyakit gusi peringkat awal (gingivitis) terjadi akibat pengumpulan plak di kawasan gigi dan gusi. Plak terdiri daripada berjuta-juta bakteria yang menyebabkan radang pada gusi. Pada peringkat awal, anda mungkin akan mengalami gejala-gejala berikut:
- Gusi nampak merah menyala.
- Gusi terasa bengkak.
- Gusi senang berdarah.
- Rasa tidak sedap seperti masin, pahit atau payau di dalam mulut.
- Mulut berbau.
Jika anda mengalami sebarang gejala gingivitis, anda tidak perlu risau kerana anda masih punya waktu untuk berpatah balik. Apa yang anda perlukan hanyalah keazaman dan komitmen untuk lebih menjaga kebersihan gigi dengan cara yang lebih betul dan efektif. Sekiranya terdapat penimbunan kalkulus (karang gigi), anda hanya perlu mendapatkan rawatan scaling di klinik pergigian, diikuti dengan kaedah memberus dan memflos gigi yang betul. Doktor gigi anda boleh bertindak sebagai mentor untuk membantu anda mendapatkan kembali gusi yang sihat.
Apa akan jadi sekiranya anda membiarkan penyakit gusi berlarutan?
Gingivitis yang tidak dirawat selalunya akan perlahan-lahan berubah kepada periodontitis. Periodontitis boleh melibatkan ligamen periodontal dan juga tulang alveolar, iaitu struktur yang menyokong gigi anda. Dalam periodontitis peringkat kronik, ligamen periodontal dan tulang alveolar boleh musnah dengan banyak, lalu gigi akan kehilangan struktur yang menyokongnya. Dan apa akan jadi jika tiang penyokong rumah runtuh? Rumah pun akan turut sama runtuh.
Gejala-gelaja periodontitis:
- Mulut berbau.
- Penyusutan gusi berlaku, jadi gigi tampak lebih panjang.
- Gigi terasa sensitif terhadap minuman sejuk.
- Gigi terasa longgar.
- Gigi bergerak, lalu susunan gigi agak senget berbanding sebelumnya.
- Gusi bengkak dan bernanah.
- Sakit berdenyut-denyut pada gusi.
Terdapat juga beberapa faktor sistemik yang dikaitkan dengan penyakit periodontitis yang kronik. Namun begitu, harus diingati bahawa faktor sistemik selalunya hanya akan membuatkan penyakit gusi yang sedia ada bertambah buruk, bukannya punca penyakit gusi bermula. Sebab utama penyakit gusi mula-mula terjadi masih disebabkan oleh penimbunan plak serta bakteria akibat tabiat penjagaan kebersihan mulut yang tidak teratur.
Antara faktor sistemik yang dimaksudkan adalah:
- Merokok
- Kencing manis.
- Darah tinggi.
- Mengandung
- Diet tinggi kandungan gula.
- Tekanan perasaan.
- Sistem pertahanan badan yang lemah.
Kebanyakan gejala-gejala periodontitis seperti penyusutan gusi dan kelonggaran gigi adalah bersifat kekal dan secara umumnya tidak boleh dikembalikan ke tahap normal sebelum jangkitan bermula. Oleh itu, adalah penting untuk anda mencegah penyakit ini daripada berlaku dari awal lagi. Berus dan flos gigi anda sekurang-kurangnya dua kali sehari, serta kurangkan makanan dan minuman bergula. Sekiranya anda merokok, anda boleh mendapatkan bantuan dan kaunseling untuk mengurangkan atau berhenti merokok sekaligus. Kajian mendapati kadar penyakit gusi menurun setelah pesakit berhenti atau mengurangkan kadar merokok.
Secara umumnya, rawatan untuk penyakit gusi adalah scaling dan curettage. Doktor anda mungkin akan membekalkan anda dengan ubat untuk dikumur atau ditelan, bergantung kepada tahap penyakit gusi anda. Sekiranya anda mengalami sebarang masalah dalam memberus atau memflos gigi, anda boleh mendapatkan nasihat doktor gigi berhampiran. Boleh jadi kaedah yang anda gunakan tidak sesuai dengan gigi anda, dan doktor gigi anda boleh mencadangkan kaedah yang lebih berkesan khusus untuk anda. Seperti kata pepatah yang tidak asing lagi, “Mencegah lebih baik daripada mengubati.”
Dr. Husna Razak (BDS) (KLE VK) seorang pegawai pergigian yang bekerja di Kelantan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
Rujukan:
- Guidelines for Management of Chronic Periodontitis, 2nd Edition (2012) by Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia.
- Risk Factors for Periodontitis http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC1351013/
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]