Aspirasi Malaysia Bebas Rokok: Mimpi Atau Realiti? #SmokeFreeMY – Cik Wan Zaireen

Source: www.cancercouncil.com.au

Source: www.cancercouncil.com.au

Merokok merupakan satu isu yang sudah kita lama cuba tangani. Pelbagai perbincangan, kempen dan undang-undang yang diimplimentasi untuk mengawal masalah kronik yang menular dalam masyarakat Malaysia. Sedihnya, 46.5% daripada lelaki di Malaysia merupakan seorang perokok(1) dan ini menyebabkan isu ini menjadi satu kelaziman dalam kehidupan seharian kita sehingga kita memandang enteng akan beratnya kesan merokok. Pastinya kita kenal akan jiran, abang, ayah, bapa saudara atau rakan kita yang merokok. Tapi sedarkah kita jugak merupakan seorang perokok secara tidak langsung apabila kita bersama mereka? Beban terhadap kesihatan bukan sahaja dialami oleh perokok, malah perokok pasif dan juga perokok tertiar (melalui racun pada dinding bilik, baju,rambut atau kulit perokok). Bukanlah tujuan saya menulis artikel ini untuk membicarakan kesan- kesan buruk hasil daripada merokok, tetapi untuk berkongsi akan pengalaman saya sebagai pelajar perubatan di New Zealand, sebuah negara yang mempunyai aspirasi untuk bebas rokok menjelang tahun 2025.

Sebagai pelajar tahun akhir di sini, saya mempunyai pengalaman hidup dalam suasana di mana ramai penduduk New Zealand tidak merokok. Masih saya teringat ketika saya melawat Nelson(sebuah bandar kecil di New Zealand) dan tinggal di sebuah backpackers di mana penghuninya merupakan pelawat- pelawat dari Eropah, saya amat terkejut sekali melihat begitu ramai anak muda yang merokok. Ia menjadi satu kejutan budaya kepada saya kerana di tempat tinggal saya di Christchurch, tidak ramai rakyat New Zealand yang merokok. Setelah lama tidak pulang ke Malaysia, saya tidak lagi menjadi biasa menghidu bau asap rokok yang saya pasti ramai rakyat Malaysia menghadapinya saban hari. Menurut kajian, hanya 18% di kalangan rakyat New Zealand merupakan perokok pada tahun 2011/2012, kurang 2% dari kajian yang dilakukan pada tahun 2006/2007(2). Aspirasi bebas merokok menjelang tahun 2025 adalah di mana kerajaan meletakkan target kurang 5% daripada rakyat merokok merupakan sesuatu yang mengagumkan diri saya. Smokefree Aoteroa New Zealand 2025 dijadikan satu jenama untuk diiklankan dengan meluas di kalangan rakyatnya. Selain itu, pelbagai usaha yang sama seperti di Malaysia telah dilakukan contohnya cukai ke atas rokok, mengharamkan penjualan kepada pengguna bawah umur dan lain-lain.

Apa yang dapat saya amati, yang berbeza daripada usaha yang dijalankan di Malaysia, pertamanya ialah sistem sokongan mereka yang sangat kuat. Bagi mereka yang ingin berhenti merokok, bukan sahaja boleh mendapatkan bantuan melalui doktor, malah bantuan 24 jam melalui telefon dan internet jika mereka menghadapi masalah ketika cuba berhenti merokok! Semua pesakit di hospital yang merupakan perokok juga wajib ditawarkan peluang untuk berhenti merokok dan rekod ini disimpan dalam fail mereka sama ada mereka menolak atau menerima. Dalam melatih doktor-doktor muda, kaedah untuk berbincang dan membantu pesakit berhenti merokok juga merupakan satu silibus yang wajib dipelajari pelajar perubatan. Selepas kejadian gempa bumi di Christchurch pada tahun 2011, menariknya, dalam usaha membangunkan semula bandarnya, Majlis Bandaraya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan merangkumkan pelan untuk menjadikan bandar Christchurch bandar pertama di New Zealand yang bebas rokok. Bayangkan, hidup dalam bandar yang tiada orang merokok. Saya sudah dapat berimiginasi betapa sihatnya hidup andainya ia menjadi kenyataan!

Justeru, apa yang boleh dilakukan di Malaysia? Mampukah Malaysia menjadi sebuah negara yang bebas rokok? Pertamanya perlu diakui, peratusan rakyat Malaysia yang merokok adalah jauh lebih tinggi berbanding di New Zealand. Ini dengan sendirinya menjadi satu cabaran untuk diatasi. Namun tidak mustahil jika kita menetapkan masa yang lebih panjang untuk mencapai matlamat yang sama. Kemudian harus kita analisis dengan lebih teliti daripada peratusan ini, siapakah yang memberi sumbangan yang paling banyak. Mengikut kajian, 50% daripada perokok adalah daripada kaum Melayu, mereka yang berumur di antara 21-30, merokok lebih menyerlah dikalangan mereka yang tidak mempunyai pelajaran formal, tinggal di kawasan luar bandar dan mereka yang mempunyai status sosioekonomi yang rendah(1). Mereka inilah yang harus didedahkan dengan pelbagai pencegahan sama ada dari segi undang- undang atau yang lebih penting, ilmu pengetahuan. Seperti kata orang tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan telah menjalankan tugas dengan cemerlang dalam isu cukai, kempen dan pengiklanan. Beberapa isu yang masih boleh diperbaiki adalah seperti pengharaman pengiklanan rokok, promosi dan penajaan oleh syarikat rokok seperti yang disarankan oleh World Health Organization(3). Kempen Katakan Tak Nak haruslah menjadi satu kempen yang berkesan dan berterusan agar impaknya dapat dikaji dengan lebih mendalam. Selain itu, bantuan untuk mereka yang ingin berhenti merokok haruslah lebih komprehensif dan disesuaikan dengan kepentingan individu tersebut. Kita sebagai rakyat juga harus lebih peka dan proaktif dalam menangani isu rokok ini kerana generasi seterusnyalah yang akan menerima akibat yang lebih teruk kerana ketidakprihatinan generasi kita. Janganlah kita menjadi generasi yang akan disebut seperti kata pepatah harapkan pagar, pagar makan padi.

Kesimpulannya, adalah satu kelebihan apabila saya dapat mempelajari sesuatu daripada pemerhatian saya apa yang sedang berlaku di negara maju ini secara langsung dan dapat membandingkannya dengan apa yang berlaku di tanah air tercinta. Apa yang baik yang dipelajari daripada pengalaman di sini, harapnya dapat dimanfaatkan melalui penulisan saya ini. Saya sangat yakin dan bersungguh- sungguh bukan sahaja sebagai seorang bakal doktor, malah sebagai rakyat Malaysia yang mencintai rakyat dan potensi mereka yang terpendam akan satu aspirasi bahawa negara Malaysia akan menjadi sebuah negara yang bebas rokok. Biarpun ia akan mengambil masa yang lama dan usaha yang berterusan, penyakit kronik ini harus dibanteras demi kebaikan bersama. Bak kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Wan Zaireen Mohd Najib merupakan pelajar perubatan tahun akhir di University of Otago. Cik Wan Zaireen amat berminat didalam masalah merokok dan berharap pengalaman yang ditimba di New Zealand dapat dipraktikkan di Malaysia kelak apabila beliau bergelar doktor.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

 

Rujukan

  • Lim HK, Mohd Ghazali S, Kee CC, Lim KK, Chan YY, the HC, Mohd Yusoff AF, Kaur G, Mohd Zain Z,Nik Mohamad MH, Salleh S. Epidemiology of smoking among Malaysian adult males: prevalence and associated factors. January 2013. BMC Public Health 2013, 13:8  doi:10.1186/1471-2458-13-8. Available at: http://www.biomedcentral.com/1471-2458/13/8. Accessed on: 23 April 2014.
  • Ministry of Health. The Health of New Zealand Adults 2011/12: Key findings of the New Zealand Health Survey. 2012. Wellington: Ministry of Health. Available at: http://www.health.govt.nz/publication/health-new-zealand-adults-2011-12. Accessed on: 23 April 2014.
  • World Health Organization. Malaysia releases its first Global Adult Tobacco Survey. June 2012. Available at: http://www.wpro.who.int/mediacentre/releases/2012/20120613/en/. Accessed on 23 April 2014.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box