Bagaimana Mendiagnos & Menangani Masalah Gigi Retak? – Dr Anis Ezrina

Sumber: iversidedentalblog.com

Sumber: iversidedentalblog.com

Pernahkah kita dengar tentang sindrom gigi retak atau juga dikenali sebagai “cracked tooth syndrome?” Insiden gigi retak semakin meningkat dewasa ini. Purata jangka hayat masyarakat yang bertambah panjang menyebabkan gigi mengalami proses kehausan (wear and tear) yang berterusan. Kehidupan yang penuh tekanan (stress) juga boleh merangsang masyarakat mempunyai tabiat mengetap atau mengisar gigi pada waktu malam. Seterusnya, ramai di kalangan masyarakat yang menerima rawatan kompleks seperti penggunaan tiang/teras (post/core) pada gigi untuk menyokong korona dan rawatan akar gigi (root canal treatment). Semua perkara di atas menjurus kepada berlakunya keretakan pada struktur gigi.

Terdapat lima keadaan yang boleh dikategorikan sebagai gigi retak atau gigi patah. Setiap satunya dibezakan oleh lokasi keretakan dan tahap keterukan keadaan tersebut. Lima kategori tersebut ialah :

  1. Garisan halus pada gigi (craze line),
  2. Korona gigi patah (fractured cusp),
  3. Gigi retak (Crackedtooth),
  4. Gigi terbelah (splittooth)
  5. Akar gigi patah secara menegak (vertical root fracture).

Selalunya, craze line adalah perkara yang biasa ditemui pada gigi dewasa. Garisan halus itu selalunya berada pada permukaan luar gigi, dan kebanyakan kes tidak memerlukan rawatan. Bagi korona gigi patah pula, ia mudah untuk dikenal pasti dan mudah untuk dirawat. Gigi yang terbelah dan gigi yang patah akar secara menegak selalunya perlu dicabut. Namun begitu kategori yang sedang dibincangkan ketika ini iaitu sindrom gigi retak agak susah untuk didiagnos dan memerlukan penelitian yang lebih terperinci oleh doktor pergigian.

Sindrom gigi retak, jika dikesan lebih awal dan dirawat secara betul, dapat meningkatkan jangka hayat gigi tersebut. Kejadian ini bukan sahaja boleh berlaku pada gigi yang mempunyai tampalan, malah ia turut boleh berlaku pada gigi yang sihat.Gigi yang selalu terlibat ialah gigi geraham besar bawah pertama dan kedua , gigi geraham besar atas pertama dan gigi geraham kecil.

 

TANDA DAN GEJALA ‘SINDROM GIGI RETAK’

  1. Jika ia berlaku pada gigi yang telah dirawat akar(root canal treated), gigi tersebut akan terasa kurang selesa semasa mengunyah. Ini terjadi disebabkan oleh penglibatan ligamen periodontium.
  2. Gigi terasa sakit apabila minum air sejuk dan jika dikenakan tekanan.
  3. Sakit semasa mengunyahKebanyakan tanda dan gejala sindrom gigi retak ini sangat subjektif kerana ia juga boleh disebabkan oleh keadaan lain seperti gigi yang berlubang, masalah patologi seperti sinusitis, masalah sendi temporomandibular (sendi rahang), dan sebagainya. Justeru itu untuk mendiagnosa sindrom gigi retak ini memerlukan masa dan penelitian yang lebih terperinci daripada pemeriksa.

 

BAGAIMANA UNTUK MENDIAGNOS

Sejarah pergigian

  • Aduan oleh pesakit: tidak selesa, sakit semasa mengunyah terutamanya jika mengunyah benda keras seperti kekacang
  • Sensitif kepada minuman/makanan sejuk
  • Ada tabiat seperti mengetap gigi, suka mengunyah ais atau benda-benda keras seperti tulang ayam
  • Pernah mendapat rawatan pengubahsuai oklusi (occlusal adjustment) dan tanda gejala berkurang selepas rawatan tetapi hanya sementara

Pemeriksaan klinikal

Pemeriksaan luaran pesakit: otot muka pesakit lebih menonjol. Ini boleh memberi satu andaian kepada pegawai bahawa overstressing(terlebih tekanan)kepada gigi semasa menguyah berlaku. Pesakit juga mungkin mempunyai tabiat mengetap gigi sewaktu tidur.

Pemeriksaan dalam mulut: Selalunya melibatkan gigi yang mempunyai tampalan yang besar. Gigi geraham besar bawah dan geraham kecil atas seharusnya diperiksa dengan lebih teliti. Periksa jika ada terdapatnya penyahwarnaan (staining) pada gigi. Ini kerana gigi yang retak selalunya ternyahwarna (staining) gelap. Posisi keretakan kerapkalinya terdapat secara menegak atau secara mesiodistal (dari permukaan depan ke belakang) pada permukaan gigi.

Penggunaan cahaya

Cahaya fiberoptik digunakan untuk melihat kedudukan keretakan pada gigi. Apabila cahaya diarahkan kepada gigi yang bermasalah ,  keretakan itu akan menghalang cahaya yang dipancarkan lalu memantul cahaya tersebut, menyebabkan kawasan bertentangan kelihatan gelap. Namun begitu jika tiada keretakan, cahaya yang dilihat pada permukaan gigi kelihatan sekata.

Penggunaan bahan pewarna

Penggunaan bahan pewarna seperti methylene blue dapat membantu mengesan keretakan pada permukaan gigi.

Ujian gigitan (Bite test)

Ujian ini menggunakan satu kayu yang seakan-akan berus gigi dipanggil sebagai “tooth sloth”. Pesakit akan diminta untuk menggigit permukaan kayu tersebut. Ketika menggigit, pesakit akan terasa sakit.

Kuar uji periodontal (Periodontal probing)

Penggunaan alat seperti kuar uji periodontal (periodontal probe) boleh membantu membezakan antara gigi retak dan gigi yang terbelah (split tooth). Kedua-dua keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kecacatan periodontium yang dipanggil ‘localised periodontal defect’. Kecacatan ini lebih jelas dalam gigi terbelah berbanding gigi retak. Prognosis (ramalan tentang peluang untuk penyembuhan) adalah buruk dan gigi perlulah dicabut.

Penggunaan radiograf

Penggunaan radiograf untuk mengesan gigi retak bersifat kontroversi. Ini kerana kadang-kadang keretakan pada gigi tidak kelihatan dalam radiograf. Justeru itu, selalunya radiograf diambil untuk memastikan sekiranya wujudnya pekara lain yang menyebabkan ketidakselesaan pesakit seperti karies gigi, tampalan yang rosak dan masalah periodontium setempat. Jika terdapatnya masalah periodontium setempat pada akar gigi yang bermasalah, kita boleh klasifikasikan ia sebagai ‘root fracture’ (kepatahan akar gigi).

Penggunaan jalur (band) ortodontik

Jika kita merasakan gigi itu mengalami keretakan , cara yang paling sesuai untuk mengesahkannya ialah dengan meletakkan ‘band’ ortodontik pada gigi tersebut. Diagnosis akan boleh dibuat dengan mudah kerana apabila pesakit menggigit , kesakitan yang dialami semakin berkurangan.

 

BAGAIMANA IA BOLEH DIRAWAT?

Sebelum apa-apa rancangan rawatan dimulakan, pesakit perlu diberitahu bahawa hasil rawatan selalunya tidak dapat diramal dengan tepat. Ini kerana ia bergantung pada kategori keretakan, lokasi keretakan dan adakah ia berhubungan dengan saraf. Objektif utama rawatan adalah untuk menghilangkan rasa ketidakselesaan pesakit dan pada masa yang sama dapat mengembalikan fungsi asal gigi tersebut.

Rawatan selalunya dimulakan dengan memakaikan band ortodontik pada gigi yang terlibat. Lawatan susulan akan diberi selepas 2 atau 3 minggu untuk melihat sama ada sebarang tanda dan gejala keretakan gigi masih dialami oleh pesakit. Jika tiada, band pada gigi akan dibuka dan diganti dengan korona penuh pada gigi tersebut. Namun begitu, jika pesakit masih sakit atau tidak selesa selepas pemakaian band tersebut, rawatan akar akan dilakukan untuk mematikan gigi tersebut, diikuti dengan pemakaian korona penuh. Jika keretakan semakin teruk dan menyebabkan gigi terbelah, selalunya penyelesaian ter akhir adalah cabutan.

 

JIKA GIGI TERPAKSA DICABUT, APAKAH RAWATAN SUSULANNYA?

  1. Gigi palsu
  2. Jambatan
  3. Implan
  4. Kombinasi antara 1,2, dan 3

 

JIKA RAWATAN DIBUAT, ADAKAH KERETAKAN PADA GIGI ITU AKAN SEMBUH?

Keretakan pada gigi tidak sama seperti keretakan atau kepatahan tulang yang mana tulang yang patah akan sembuh kembali. Bagi gigi, keretakan pada gigi tidak akan sembuh bahkan kemungkinan akan menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan gigi terbelah.

BAGAIMANA UNTUK MENGELAKKAN GIGI RETAK?

Ada beberapa pekara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan gigi menjadi retak.

  1. Elakkan mengunyah ketulan ais, tulang atau benda-benda keras
  2. Elakkan tabiat yang suka mengetap atau mengunyah gigi
  3. Jika ada tabiat mengisar/mengetap gigi semasa tidur, dapatkan nasihat daripada doktor pergigian untuk mengatasinya. Splint (alat pendakap) boleh diberikan kepada pesakit untuk mengurangkan tabiat tersebut.

Secara kesimpulannya, pengurusan gigi retak kekal menjadi satu cabaran kepada keupayaan seseorang doktor pergigian untuk mendiagnos dengan tepat dan menanganinya dengan betul agar gigi dapat kembali berfungsi dengan baik.

Dr. Anis Ezrina adalah seorang pakar pergigian restoratif yang sangat mementingkan pendidikan pesakit terhadap masalah pergigian. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan:

  • Diagnosis and Management of cracked teeth. KC Alex Wai. Hong Kong dental Journal 2004;1:78-84
  • Homewood CI. Cracked syndrome- incidence, clinical findings and treatment. Australia Dental Journal 1998; 43:217-222

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box