Baru-baru ini kita menerima laporan penularan penyakit cacar momnyet ataupun Mpox khususnya di rantau Afrika. Peningkatan kes dan kematian serta penyebaran penyakit ini ke rantau lain termasuklah di Asia menjadi punca kepada pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia agar penyakit ini dijadikan ‘Public health emergency of international concern (PHEIC)’. Oleh itu, penting untuk kita mengenali penyakit ini agar pemeriksaan dan ujian awal dapat dilakukan sekiranya perlu.
Apa itu Mpox?
Mpox merupakan sejenis virus daripada kumpulan orthopoxvirus, mirip kepada penyakit Smallpox yang pernah dibasmikan sepenuhnya suatu ketika dahulu melalui usaha vaksinisasi. Penyakit ini sebenarnya jarang berlaku dan kebiasaaanya hanya melibatkan individu yg menjalankan aktiviiti berisiko tinggi seperti hubungan seksual sejenis di kalangan lelaki. Ia terdiri daripada 2 jenis strain iaitu clade 1 dan clade 2 di mana clade 1 menyebabkan penyakit yang lebih serius dan boleh mengundang maut khususnya strain clade 1b yang sedang merebak kini. Perebakan strain 1b telah menyebabkan individu-individu kurang berisiko seperti kanak-kanak turut mendapat jangkitan dan menjadi punca kepada pengisytiharan PHEIC buat kali kedua dalam masa 2 tahun kebelakangan ini.
Apakah gejala Mpox?
Secara umumnya, Mpox bermula dengan gejala ringan seperti demam, sakit kepala, bengkak kelenjar dan lenguh badan. Ruam lazimnya akan timbul seawal hari pertama hingga hari kelima penyakit. Ruam bermula dengan fasa ruam merah leper, yang kemudiannya timbul dan menjadi cacar. Ini diikuti dengan fasa akhir di mana ruam tadi menjadi kering dan menjadi kuping. Ruam Mpox kebiasaannya sakit apabila disentuh.
Ada yang bertanya, tidakkah ruam ini mirip dengan penyakit cacar Chickenpox? Ya benar, kadang-kadang susah untuk dibezakan ruam Mpox dengan Chickenpox. Sebagai panduan ringkas, ruam Chickenpox tertumpu di bahagian badan dan jarang melibatkan tapak tangan dan tapak kaki, manakala ruam Mpox walaupun boleh berlaku di mana-mana anggota badan tetapi lebih tertumpu kepada bahagian muka, tapak tangan, kaki dan kemaluan. Fasa ruam Mpox lazimnya bermula secara serentak manakala ruam Chickenpox boleh timbul pada fasa-fasa yang berlainan. Ruam Mpox juga boleh berlarutan selama 2-4 minggu manakala ruam Chickenpox lebih kurang seminggu lamanya. Apapun disarankan sekiranya ada kemusykilan, pemeriksaan perubatan harus dilakukan.
Bagaimana Mpox boleh menjangkit?
Mpox tidaklah terlalu mudah berjangkit sepertimana virus lain seperti COVID-19 atau Measles. Jangkitan boleh berlaku sekiranya ada kontek rapat secara langsung dengan kulit pesakit yang mempunyai ruam Mpox ataupun secara tidak langsung melalui sentuhan pakaian, towel atau cadar yang tercemar. Ianya juga boleh merebak melalui titisan pernafasan terutamanya apabila individu terbabit duduk di satu bilik dengan pesakit Mpox dalam tempoh masa yang lama. Perlu diingat, gejala Mpox boleh muncul selepas 3 minggu kontek rapat dengan individu yang positif dan risiko keberjangkitan boleh berlaku sehari sebelum ruam timbul sehinggalah kesemua ruam kering sepenuhnya. Maka, pengesanan awal kontek rapat perlu supaya pengawasan rapi dapat dijalankan.
Adakah Mpox merbahaya?
Kebanyakan pesakit Mpox hanya memerlukan rawatan sokongan sahaja. Gejala akan hilang sendiri tanpa ubat yang khusus dan tanpa komplikasi yang berpanjangan. Tetapi segelintir individu seperti warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai daya tahan imun yang rendah, boleh mendapat jangkitan serius sehingga menyebabkan radang paru-paru, sepsis atau masalah penglihatan serta boleh membawa maut. Bagi mereka yang mempunyai gejala berat dan berpotensi mendapat komplikasi teruk daripada mpox, rawatan antivital seperti Tecovirimat dan Cidofovir serta rawatan antibodi boleh diberikan.
Oleh itu, walaupun keadaan sekarang agak terkawal, ambilah langkah berjaga-jaga. Pastikan tangan sentiasa bersih terutamanya apabila berada di tempat awam atau khalayak ramai. Sekiranya terdapat sebarang gejala ruam bersifat lepuh atau cacar yang merisaukan ataupun terdapat kontek dengan individu yang mempunyai gejala ini, bersegeralah dapatkan pemeriksaan agar rawatan dan ujian awal dapat dilakukan seterusnya membendung penularan virus ini.
Dr Asrar Abu Bakar merupakan pakar pediatrik (penyakit berjangkit) di Kulliyyah of Medicine, International Islamic University Malasyia.