Situasi 1
A : Eh betul ke kamu mahu jadi doktor?
B : Betul. Takkan la saya main-main pula. Kenapa?
A : Bukan apa, jika kamu mahu jadi doktor, kamu perlu rajin membaca, banyak perkara perlu diingat dan dihafal. 24 jam membaca buku sahaja nanti. Dah bersedia nak jadi ulat buku seumur hidup?
Situasi 2
C : Kamu mahu sambung belajar jurusan apa selepas ini?
D : Entahlah. Belum buat keputusan. Masih berfikir-fikir lagi.
C : Tidak terfikirkah untuk sambung belajar dalam bidang perubatan? Saya tengok awak ini gemar membaca. Mungkin boleh mencuba.
Ulat buku ialah simpulan Bahasa melayu yang merujuk kepada seseorang yang tekun membaca buku. Disebabkan seorang bakal doktor harus mengikuti pengajian sekurang-kurangnya 4 tahun setengah di kolej perubatan dan mendalami ilmu perubatan yang luas, maka gelaran ‘ulat buku’ ini pasti sudah tidak asing lagi bagi seorang pelajar perubatan perubatan. Paradigma masyarakat hari ini adalah, untuk menjadi seorang doktor, seseorang itu haruslah menjadikan membaca sebagai hobinya. Tidak dinafikan pernyataan ini ada kebenarannya tetapi sebagai seorang bakal doktor, beberapa aspek lain juga harus diambil kira dalam mempersiapkan diri ke arah menjadi doktor yang berguna kepada masyarakat.
- Keperibadian diri
Siri televisyen popular bertajuk ‘House’ pasti merupakan salah satu siri televisyen kegemaran pelajar-pelajar perubatan. Siri ini berkisar tentang kehidupan seharian seorang pakar diagnosis yang sangat hebat, Dr. House. Tetapi malangnya, sikap dan tingkah laku beliau kadangkala amat menjengkelkan orang sekeliling, bukan sahaja rakan-rakan doktor, malah para pesakit juga.
Cuba kita bayangkan jika Dr. House ini wujud di alam realiti, saya percaya sudah pasti beliau tidak akan bertahan lama dalam kerjayanya sebagai seorang doktor. Pasti ramai yang akan mencemuh dan benci padanya. Tugas seorang doktor bukan hanya untuk merawat penyakit yang dihidapi pesakit sehingga sembuh sahaja, malah yang lebih penting adalah untuk memberi jaminan dan harapan kepada para pesakit terutama mereka yang mungkin sedang bertarung nyawa dengan penyakit-penyakit kritikal. Di sinilah pentingnya sifat simpati dan empati. Simpati ialah perasaan belas atau perasaan kasihan terhadap penderitaan atau kesusahan orang lain manakala empati pula bermaksud daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain.
Justeru, dalam proses menjadi seorang doktor, sikap-sikap kurang baik yang ada pada kita mungkin boleh dikikis sedikit demi sedikit dan sifat-sifat dan nilai murni yang baik harus dipupuk dalam diri.
- Penampilan
Pandangan pertama seseorang terhadap kita selalunya berkait rapat dengan penampilan diri kita. Tidak perlu kacak dan cantik, cukuplah sekadar berpenampilan kemas dan menarik pasti akan memberi satu pandangan yang baik terhadap diri kita. Bandingkan seorang doktor yang kusut masai dan compang camping pemakaiannya dengan seorang doktor yang berpakaian bersih, kemas dan rambut tersisir rapi, yang mana satukah yang akan dipilih oleh pesakit sebagai perawat mereka? Pastilah yang kedua, bukan?
Selain itu, penampilan yang bagus bukan sahaja membuatkan pesakit lebih yakin dengan kredibiliti seseorang doktor, malah turut akan meningkatkan keyakinan diri doktor tersebut. Mungkin ada yang memberi alasan terlalu sibuk dan kesuntukan masa untuk bersiap dengan rapi, maka saya mencadangkan agar kita sebagai pelajar perubatan untuk berlatih berpenampilan kemas walau dalam apa jua keadaan. Latihlah diri untuk bersiap dengan lebih pantas dalam masa yang singkat tetapi hasilnya kemas.
- Kemahiran berkomunikasi
Pentingnya kemahiran berkomunikasi seorang doktor adalah kerana doktor merupakan salah satu kerjaya yang perlu berhadapan dengan pelbagai kelompok masyarakat dan peringkat umur yang berbeza.
Untuk membuat pemeriksaan ke atas seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak berusia 5 tahun ternyata amat berbeza caranya. Pastinya doktor tidak boleh memilih siapa yang akan datang untuk mendapatkan rawatan. Maka kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi dengan sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina, bangsa, dan agama haruslah dikuasai seorang bakal doktor. Kita boleh menggunakan waktu pembelajaran di wad untuk beramah mesra dengan para pesakit dan mengasah kemahiran berkomunikasi.
Selain itu, jika seorang bakal doktor mempunyai kebolehan untuk menjadi pendengar yang baik, itu merupakan satu kelebihan buat dirinya. Apabila seorang doktor sudi menadah telinga dan menjadi pendengar yang baik mungkin akan ada pesakit yang berasa sudah kurang sakitnya sebaik melangkah keluar dari bilik doktor, meskipun belum diberikan sebarang ubatan, terutamanya golongan warga emas yang mungkin memerlukan lebih perhatian. Kesimpulannya, dalam proses membentuk diri kita menjadi seorang doktor yang akan berbakti kepada masyarakat, bukan ilmu teori sahaja yang perlu kita titik beratkan. Pembentukan sahsiah dan penampilan diri dari segi luaran dan dalaman juga tidak kurang pentingnya. Apabila kita mula melatih diri kita dari awal, mungkin kita tidak akan kekok untuk mempraktikkannya pada masa hadapan.
Afiqah adalah seorang pelajar perubatan tahun akhir di Krishna Institute of Medical Sciences, India. Ketahui tentang beliau di laman Young Columnists Program di bawah The Team