Beberapa hari kebelakangan ini saya sering mendapat konsultasi melalui Whatsapp. Kebiasaannya saya jarang memberikan konsultasi tanpa memeriksa pesakit, tetapi kerana keadaan ini agak sering berlaku, dan kebiasaannya tidak merbahaya, maka saya memberikan nasihat perubatan saya melalui gambar yang dikirimkan. Apatah lagi yang bertanya adalah teman-teman doktor, maka saya agak yakin untuk memberikan nasihat .
Pesakit bangun pagi dan nampak darah di mata putih mereka.
Pasti mendebarkan bukan, apabila terlihat darah merah di dalam mata! Apatah lagi jika ini adalah pertama kali ia berlaku.
Keadaan ini adalah pendarahan di bawah lapisan konjunktiva, atau dalam istilah perubatannya, subconjunctival haemorrhage. Mata putih dan bahagian dalam kelopak mata kita, sememangnya diliputi satu lapisan lutsinar, yang bersambung antara satu sama lain. Lapisan inilah yang dipanggil konjunktiva. Jangkitan atau radang pada lapisan ini dipanggil conjunctivitis, atau sakit mata merah yang mudah berjangkit.
Pendarahan di bawah lapisan ini dipanggil subconjunctival haemorrhage.
Apakah penyebab pendarahan ini?
Lapisan konjunktiva ini sememangnya kaya dengan saluran darah yang kecil dan sederhana besar. Ada kalanya salur darah ini pecah, disebabkan sama ada gosokan yang kuat atau kerana tekanan di dalam salur darah itu yang tinggi, menyebabkan salur darah yang kecil pecah.
Tekanan yang tinggi ini boleh disebabkan apa-apa keadaan yang meningkatkan tekanan dalam salur darah kepala, atau disebut Valsalva manoeuvre (forced expiration against a closed glottis). Contoh yang biasa kita lakukan Valsalva manoeuvre adalah ketika ingin menghilangkan rasa tidak selesa di dalam telinga ketika di dalam penerbangan, kita menghembus hidung dalam keadaan hidung dan mulut tertutup. Keadaan ini juga berlaku apabila seseorang itu batuk, bersin dengan kuat atau meneran contohnya bagi seseorang yang sembelit atau wanita yang meneran ketika hendak melahirkan anak.
Kadangkala pendarahan ini juga boleh berlaku di kalangan pesakit kencing manis dan darah tinggi .
Pengguna kanta lekap juga berisiko mendapat pendarahan ini jika teknik memasang dan menanggalkan kanta lekap kurang baik, dan menyebabkan kuku terkena pada lapisan konjunktiva ini.
Kebiasaannya subconjunctival haemorrhage ini tidak merbahaya, dan akan hilang dengan sendirinya dalam masa 2 minggu. Darah yang merah, akan bertukar menjadi keperangan, dan akhirnya sedikit demi sedikit semakin pudar.
Ada beberapa keadaan yang mana jika subconjunctival haemorrhage ini berlaku, pesakit harus mendapatkan nasihat doktor atau pakar mata iaitu
- Jika pendarahan berlaku selepas kemalangan atau trauma di kawasan mata, contohnya jatuh, kemalangan jalan raya mahupun dipukul. Ada kalanya pendarahan ini menutupi kawasan kecederaan yang lebih teruk seperti luka pada bola mata akibat tertusuk objek tajam (corneal or scleral laceration).
- Jika pendarahan berlaku dan saiznya besar hingga tidak nampak batasan mata putih yang normal (posterior limit). Jika ini berlaku, ada kemungkinan pendarahan itu sampai ke bahagian belakang mata dan ia boleh memberi tekanan kepada saraf mata, hingga membahayakan penglihatan.
- Jika pendarahan berlaku pada pesakit yang menggunakan ubat mencairkan darah seperti warfarin dan aspirin. Ini kerana pendarahan boleh merebak dan boleh berlaku di tempat-tempat lain seperti di dalam bola mata, yang boleh mengakibatkan tekanan dalam mata meningkat (hyphema with secondary increase in intraocular pressure)
- Jika pendarahan berlaku berulang kali dalam masa beberapa bulan, kerana ini mungkin petanda pesakit ada masalah dalam pembekuan darah seperti pesakit leukemia.
Sebaiknya jika ragu-ragu, lebih baik pesakit mendapatkan nasihat dan rawatan dari pakar mata. Kebiasaannya tiada ubat titis atau ubat makan yang diperlukan, hanya pemerhatian selama 2 minggu. Tidak perlu membeli ubat titis dari farmasi atau dari toko jamu kerana tiada kajian menunjukkan meletakkan apa-apa ubat akan mempercepatkan kesembuhan pendarahan di bawah lapisan konjunktiva ini.
Dr Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah
Pensyarah Perubatan dan Pakar Mata UiTM
Medical Mythbuster Malaysia
Rujukan :
- Subconjunctival Haemorrhage, Kierstan Boyd, American Academy of Ophthalmology ( https://www.aao.org/eye-health/diseases/subconjunctival-hemorrhage-cause)
- Subconjunctival hemorrhage: risk factors and potential indicators, Bercin Tarlan and Hayyam Kiratli, Clin Ophthalmol. 2013; 7: 1163–1170.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]