Batu di Pundi Hempedu – Dr Ruhi Fadzlyana

gallbladder-surgery-for-gall-stones-previewPundi hempedu adalah satu organ yang terletak berdekatan dengan hati. Fungsi organ ini adalah untuk memekatkan jus (pati) hempedu yang dihasilkan oleh hati. Jus hempedu yang dihasilkan oleh hati akan mengalir ke dalam pundi hempedu untuk proses pemekatan dan seterusnya akan dirembeskan ke dalam usus kecil duodenum melalui saluran pundi hempedu.

Bagaimana batu terbentuk di pundi hempedu?

Terdapat tiga jenis batu yang terdapat didalam pundi hempedu iaitu : kolesterol, pigmen dan campuran (kolesterol dan pigmen). Batu ini terbentuk apabila ketidakseimbangan antara pati hempedu dan komponen kolestrol ataupun pigmen. Apabila terdapat lebihan kolesterol dan pigmen maka batu akan terbentuk didalam pundi hempedu.

Apakah simptom batu di pundi hempedu?

Antara gejala batu di pundi hempedu adalah :

  • Sakit – pada bahagian bawah rusuk kanan dan ulu hati. Sakit yang bersifat menarik-narik dan sering datang dan pergi. Kadangkala sakit disertai oleh loya dan muntah ada berkait dengan pengambilan makanan berlemak.
  • Demam – ini menunjukkan kehadiran jangkitan kuman di pundi hempedu (cholecystitis). Jika demam suhu yang tinggi beserta menggigil dan perasaan sejuk serta kuning, ini menunjukkan jangkitan kuman pada saluran pundi hempedu (ascending cholangitis)
  • Kuning – boleh dikenalpasti pada warna kulit dan juga pada bola mata putih. Ini disebabkan oleh batu terhimpit di saluran pundi hempedu (choledocholithiasis)

Apakah rawatan untuk batu di pundi hempedu?

Ujian darah yang dilakukan adalah untuk melihat kehadiran jangkitan kuman di pundi hempedu, kehadiran penyakit kuning untuk batu yang terhimpit dan saringan kolesterol untuk mengetahui jenis batu. Ultrasound akan menjelaskan kehadiran batu di pundi hempedu secara visual dan juga mengenalpasti tanda- tanda jangkitan kuman di pundi hempedu serta batu tersumbat di saluran hempedu.

Jika keradangan saluran hempedu (ascending cholangitis) menyebabkan jangkitan kuman dan kuning, rawatan adalah memberikan antibiotik dan endoscopi untuk mengeluarkan batu yang tersumbat di saluran hempedu.

Jika keradangan pundi hempedu berlaku, rawatan adalah melalui pemberian antibiotik dan pembedahan pembuangan pundi hempedu. Pembedahan akan dilakukan secara kecemasan jika pesakit tidak stabil dan menunjukkan tanda-tanda radang bernanah. Pembedahan elektif pula akan dijalankan jika pesakit stabil, serta demam dan ujian darah yang dilakukan menunjukkan respon positif terhadap rawatan antibiotik yang diberikan. Dengan kecanggihan teknologi masa kini, rawatan pembedahan pundi hempedu boleh dilakukan secara laparoskopi.

Gelaja penyakit yang disebabkan oleh batu di pundi hempedu, seperti keradangan saluran hempedu (ascending cholangitis), saluran hempedu tersumbat (choledocholithiasis) semuanya memerlukan rawatan pembedahan pembuangan pundi hempedu. Ini adalah kerana, batu yang hadir di dalam saluran hempedu adalah berasal daripada pundi hempedu.

Bolehkan saya hidup tanpa pundi hempedu?

Disebabkan oleh fungsi pundi hempedu hanya untuk proses pemekatan jus hempedu, maka ianya tidak mengganggu proses pencernaan makanan. Namun demikian, pesakit dinasihatkan agar mengurangkan kadar kolesterol di dalam makanan selepas tiadanya pundi hempedu.

Dr Ruhi Fadzlyana adalah seorang pakar bedah yang sedang bekerja di sebuah hospital di Kuala Lumpur dan pensyarah di universiti tempatan.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box