“Bayi Puan Hampir Lemas!” – Dr Muhammad Izzat

vacuum-extractionDialog tersebut sering kali kedengaran di dewan bersalin apabila doktor mengenal pasti beberapa sebab yang memerlukan kelahiran disegerakan untuk menyelamatkan nyawa bayi mahupun ibu itu sendiri. Di sini ingin saya kongsikan bersama anda mengenai kelahiran yang dibantu, assisted vaginal delivery.

Kelahiran yang dibantu adalah di mana doktor perbidanan menggunakan alat bantuan khas seperti forseps atau vacuum untuk membantu kelahiran bayi pada penghujung saat bersalin.

 

Apakah itu forseps atau ventouse/vakum?

Forseps lazim digambarkan seakan-akan “sudu garpu salad buatan keluli tahan karat” atau “penyepit gula yang besar”. Ianya terdiri dari dua bahagian yang bersilang, dan hujungnya melengkung untuk memegang kepala bayi.

Ventouse/vacuum mempunyai mangkuk yang bersambung kepada pam vakum yang kecil dan pemegang yang boleh ditarik. Mangkuk ini dilekapkan ke bahagian belakang kepala bayi. Ada beberapa jenis mangkuk ventouse:

  • Mangkuk silikon yang lembut kurang kemungkinan menyebabkan sebarang kecederaan kepada kepala bayi, tetapi lebih kemungkinan tercabut ketika ditarik
  • Mangkuk logam tidak akan terlucut tetapi boleh menyebabkan kecederaan kepada kepala bayi.

Jenis mangkuk vacuum yang dipilih biasanya dipengaruhi oleh posisi bayi, dan hasil penilaian doktor perbidanan sebelum memulakan prosedur.

 

Mengapa bayi saya perlu dilahirkan dengan segera ?

Ada beberapa sebab bayi perlu dilahirkan segera. Antara sebab yang utama adalah :

  • Bayi tidak keluar daripada laluan kelahiran lambat daripada biasa (prolonged second stage)
  • Masalah dengan degupan jantung bayi atau keadan bayi yang hampir lemas (fetal compromised)
  • Keadaan ibu yang tidak boleh dibenarkan untuk meneran secara berlebihan ketika saat melahirkan, kerana dikhuatiri akan menjejaskan nyawa ibu seperti ibu mempunyai masalah sakit jantung, tekanan darah tinggi yang melampau ataupun masalah salur darah yang tidak normal pada otak yang dikhuatiri pecah ketika meneran. Juga jika didapati ibu terlalu penat untuk meneran.(maternal indication)
  • Kelahiran bayi songsang melalui vagina mungkin juga memerlukan bantuan forceps (delivery aftercoming head). Badan bayi akan dilahirkan dahulu, dan jika berlaku kesukaran melahirkan kepala bayi, forseps akan digunakan untuk membantu kelahiran.

Walau bagaimanapun, kelahiran yang dibantu ini , adalah untuk menyerupai kelahiran normal/semulajadi dengan risiko yang sangat minima kepada ibu dan bayi dan untuk itu, doktor perbidanan akan menggunakan alatan forceps atau vacuum untuk membantu bayi dilahirkan.

Bagaimana boleh saya mengelakkan kelahiran dibantu?

Faktor-faktor berikut ini dapat membantu mengurangkan keperluan kelahiran dibantu. Ini termasuklah:

  • Mempunyai sokongan semasa bersalin daripada rakan kelahiran, atau suami
  • Menggunakan kedudukan tegak (upright) selama ataupun berbaring mengiring ketika bersalin
  • Mengelakkan epidural anaesthesia
  • Jika ini anak pertama anda dan telah mendapat epidural, hendaklah menunggu sekurang-kurangnya 1-2 jam selepas bukaan pintu rahim penuh sebelum mula meneran. Anda akan dibantu oleh jururawat perbidanan pada fasa ini, sebelum digalakkan untuk meneran.
  • Permulaan Pitocin (hormon oksitosin sintetik yang membantu proses kelahiran) juga dapat mengurangkan kadar kelahiran yang dibantu.

Cara-cara untuk mengurangkan kadar kelahiran yang dibantu ini selalunya akan dibincangkan bersama anda ketika lawatan antenatal di klinik supaya anda bersiap sedia menghadapi proses kelahiran kelak.

Apakah yang akan berlaku sebelum kelahiran dibantu secara forseps?

  1. Lazimnya, doktor anda akan menerangkan kepada anda mengapa dia berpendapat bahawa kelahiran forseps itu perlu dijalankan. Dia akan memeriksa jalan kelahiran anda untuk memastikan bahawa bayi anda berada dalam kedudukan yang baik untuk kelahiran dibantu dan juga untuk menentukan jenis instrumen yang selamat dan paling sesuai.
  2. Anda akan diletakkan dalam posisi Lithotomy dan bahagian hujung katil itu akan ditanggalkan untuk memudahkan doktor perbidanan melalukan prosedur.
  3. Tiub getah kencing akan dimasukkan pada salur kencing untuk mengosongkan pundi kencing dan kaki anda akan ditutup dengan kain yang bersih dan bebas kuman (sterile)
  4. Pelega kesakitan akan diberikan secara suntikan pada bahagian perineum (local anaesthetics)
  5. Pakar kanak-kanak akan diberitahu untuk bersedia di dewan bersalin untuk memeriksa bayi yang dilahirkan sejurus selepas kelahiran dibantu.

Apakah yang berlaku semasa kelahiran ventouse/vacuum?

Setelah mengenalpasti posisi kepala bayi, doktor perbidanan akan memasang mangkuk vacuum dengan kemas. Apabila sedutan pada kepala bayi sudah bermula, doktor akan memintak anda untuk meneran apabila sakit kontraksi bermula dengan itu doktor akan turut menarik mangkuk itu apabila ibu mula meneran. Sedikit potongan pada perineum (episiotomy) untuk meluaskan jalan kelahiran bagi membantu prosedur ini turut dilakukan apabila kepala bayi hampir dilahirkan (crowning)

Ada kalanya mangkuk itu terlucut/tercabut daripada kepala bayi, terutama sekali jika tiada koordinasi antara proses peneranan dan daya penarikan mangkuk vacuum. Jika berlakunya perkara ini, doktor perbidanan akan memeriksa semula jalan kelahiran untuk menentukan sama ada mangkuk vacuum boleh diletakkan semula ke kepala bayi, ataupun memerlukan bantuan forceps pula ataupun kelahiran hanya boleh melalui pembedahan Caesaerean.

Apakah yang berlaku semasa kelahiran forseps?

Setelah forseps dipasang, dan apabila berlakunya sakit kotraksi, doktor akan menarik sambil anda menolak untuk membantu bayi anda bergerak turun melalui jalan kelahiran dan seterusnya dilahirkan.

Vacuum atau forseps – yang mana satu?

Kedua-duanya selamat dan efektif. Kadar kejayaan melalui kelahiran yang dibantu oleh forseps adalah lebih tinggi berbanding ventouse, tetapi anda lebih cenderung mengalami kesakitan atau masalah selepas bersalin. Walaubagaimanapun, doktor perbidanan yang berpengalaman dengan kelahiran yang dibantu secara forseps dapat mengelakkan risiko dan masalah yang berkaitan selepas bersalin. Kelahiran dibantu dengan vacuum mengurangkan risiko koyakan teruk pada perineum jika dibandingkan dengan forceps. Pemilihan ini akan dibuat oleh doktor perbidanan, memikirkan yang paling sesuai dan selamat untuk Ibu dan bayi. Untuk memastikan dua nyawa ini sentiasa dalam keadaan selamat, bukan suatu perkara yang mudah.

Walau bagaimanapun, kelahiran yang dibantu secara vacuum adalah tidak sesuai untuk bayi yang berumur 34 minggu dan ke bawah, memandangkan kepala bayi pramatang ini lembut dan akan meningkatkan risiko pendarahan otak pada bayi dan demam kuning (jaundice) nanti.

Memahami kelahiran bayi anda

Jika kelahiran anak anda dibantu, fahami mengapa bantuan kelahiran diperlukan. berbincang dengan doktor anda langkah-langkah yang bole diambil untuk mengelakkan ianya berulang. Di United Kingdom, 8 dari 10 (80 %) wanita yang memerlukan bantuan kelahiran sebegini tidak memerlukannya untuk kelahiran seterusnya., atau dalam erti lain, mereka boleh melahirkan secara normal tanpa bantuan vacuum atau forseps

Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak ialah Registrar Obstetrik & Ginekologi yang berkhidmat di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Rujukan :

  • Operative Vaginal Delivery, Green-Top guideline No. 26, January 2011, Royal College of Obstetricians & Gynaecologists United Kingdom, London
  • Assisted vaginal birth, Information for you, published in May 2012 ( Next review in 2016 ) by Royal College of Obstetricians & Gynaecologists United Kingdom, London.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box