Kerapkali ketika melakukan ultrasound untuk pemeriksaan rutin antenatal, apabila saya memberitahu yang bayi mereka berkedudukan songsang atau ‘breech’, ibu-ibu ini mulalah panik, ada yang tidak senang duduk, malah ada yang menangis. Si ayah pula mula gusar dan mempunyai banyak persoalan.
Akan tetapi, tuan-tuan dan puan-puan sebenarnya tidak perlu berasa gusar dan risau apabila kehamilan disahkan songsang pada peringkat awal kandungan. Bayi akan berpusing kepada kedudukan yang normal, iaitu bahagian kepalanya di bawah, apabila tiba waktunya. Mengapa? Hanya 3 hingga 4% sahaja bayi akan berkedudukan songsang pada umur kandungan matang cukup 37 minggu kehamilan (37 completed weeks). Dalam erti kata lain, dalam 100 kehamilan hanya 3 hingga 4 bayi sahaja yang mempunyai masalah untuk berpusing sendiri, memastikan kepalanya di bawah.
Justeru itu, anda tidak perlu bersusah hati atau gundah gulana sampai tidak lena tidur malam kerana kehamilan songsang diperingkat awal kehamilan memang lazimnya berlaku. Peratusan ini akan menurun sehinggalah cukup tempoh matang kehamilan.
Biar saya ceritakan serba sedikit, apakah yang dimaksudkan sebagai bayi atau kehamilan songsang, bila mana punggung bayi berada di bahagian pelvis ibu (bawah abdomen) manakala, kepalanya pula berada di bahagian atas.
Jenis-jenis kehamilan songsang ini dibahagikan mengikut keadaan posisi kaki bayi ;
Extended breech: Kedua-dua kaki lurus dengan buku lali kaki berada di sebelah kepala bayi. Jika doktor membuat pemeriksaan jalan kelahiran dari bawah (vaginal examination) mereka akan dapat merasakan punggung bayi. Keadaan ini paling biasa berlaku (70%). Kadangkala ibu dibenarkan bersalin secara biasa bagi kedudukan ini (vaginal breech delivery).
Flexed breech: Kedua-dua kaki terlipat di sendi lutut dan bila diperiksa dari bawah kita dapat merasakan kedua-dua buku lali kaki dan punggung bayi. Kekerapan jenis ini cuma dalam 15% sahaja.
Footling breech: Apabila satu kaki terlipat di sendi lutut dan satu kaki lagi lurus atau kedua-dua kaki lurus ke bawah. Melalui pemeriksaan dari bawah (vaginal examination) terdapatnya pergelangan kaki di pintu rahim/serviks. Jenis ini juga cuma 15% sahaja. Selalunya kedudukan bayi seperti ini memerlukan kaedah kelahiran secara pembedahan Caesarean kerana dikhuatiri tali pusat akan turun kebawah bersama air ketuban. Ini dipanggil ‘cord prolapse’ dan keadaan ini sangat merbahaya boleh mengancam nyawa bayi.
Apakah penyebab kehamilan songsang?
- Bayi pramatang atau tidak cukup bulan. Faktor ini yang biasanya ditemui. Bayi anda akan berpusing kepada kedudukan normal apabila sampai waktunya.
- Sejarah kandungan terdahulu yang songsang.
- Ketidaknormalan pada rahim seperti masalah fibroid ataupun terdapat pembahagian dinding rahim yang menghalang bayi daripada berpusing.
- Uri bawah ataupun Placenta Praevia Major yang menutupi pintu rahim, lalu menghalang kepala bayi daripada masuk ke ruang pelvis (engagement) dan menyebabkan bayi berpusing pada kedudukan songsang.
- Ketidaknormalan bada bayi, masalah pada pembentukan kepala bayi – anencephaly,
- Kehamilan kembar atau lebih daripada dua.
- Keadaan air ketuban yang terlalu banyak (polyhydramnnios) – bayi mempunyai banyak ruang untuk bergerak dan berpusing. Air ketuban yang terlalu sikit juga menyumbang kepada keadaan bayi songsang.
- Sudah mempunyai kehamilan yang banyak (multipara) – otot dinding rahim sudah elastik,memberikan banyak ruang pada bayi untuk bergerak dan berpusing.
Bagaimana Keadaan Songsang Ini Boleh Kembali Normal?
Mengikut istilah zaman dahulu, ‘pusingan bayi dari songsang menjadi kepala dibawah’ atau ‘membetulkan kepala bayi’ selalunya dilakukan oleh bidan-bidan kampung. Namun, pada masa kini, prosedur External Cephalic Version (ECV) ini bukan lagi dilakukan oleh ‘mak bidan’ tetapi oleh doktor perbidanan terlatih dibawah pengawasan ultrasound, cardiotocogram (CTG) dan kemudahan dewan bedah untuk melakukan pembedahan Caesarean sekiranya berlaku kecemasan.
ECV dilakukan pada usia kandungan 36 minggu pada kehamilan pertama dan 37 minggu untuk kandungan kedua dan berikutnya. Jika ECV dilakukan lebih awal daripada tempoh itu, bayi mungkin kembali menjadi songsang dan jika melewati 37 minggu pula, ia lebih berisiko untuk dilakukan kerana air ketuban mulai berkurangan. Usia kehamilan 36 hingga 37 minggu juga dipilih untuk ECV kerana jika berlakunya komplikasi akibat daripada ECV, pembedahan Caesaerean boleh terus dilakukan tanpa ragu-ragu kerana bayi sudahpun mencapai tempoh matang.
Kejayaan pemusingan bayi songsang melalui teknik ECV ini adalah tinggi, dalam lingkungan 50%. Tinggi bukan ?
Sebelum prosedur ECV dilakukan, anda akan melalui proses persediaan ; seolah-olah seperti pembedahan akan dijalakan iaitu perlu berpuasa sekurang-kurangnya 6 jam sebelum prosedur dijalankan. Kebanyakan ibu menyatakan pengalaman mereka bahawa ECV hanyalah prosedur yang tidak menyakitkan tetapi memberikan ketidakselesaan kepada mereka buat sementara waktu sahaja. Namun demikan, 5% melaporkan ECV turut memberikan sedikit kesakitan.
Walau bagaimanapun, tidak semua kehamilan songsang sesuai untuk menjalani prosedur ECV.
Faktor-faktor TIDAK dibolehkan menjalani prosedur ECV:
- Keadaan di mana pembedahan Caesarean perlu dilakukan
- Pendarahan ketika mengandung dalam lingkungan 7 hari sebelum prosedur
- Degupan jantung anak yang tidak normal
- Kecacatan rahim
- Air ketuban sudah pecah
- Kandungan kembar (kecuali untuk melahirkan kembar kedua)
Jika ECV tidak berjaya memusingkan bayi anda, cara kelahiran bayi akan dibincangkan bersama anda sekali lagi, sama ada melahirkan bayi secara songsang secara normal atau melalui pembedahan Caesaerean. Bincanglah bersama doktor anda, kerana kami pasti akan memberikan penerangan yang terbaik untuk membantu anda membuat keputusan yang bijaksana.
Dr. Muhammad Izzat adalah seorang registrar obstetrik dan gineakologi yang bertugas di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Rujukan:
- Royal College of Obstetrician & Gynaecologist, United Kingdom
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]