Artikel ini bukanlah ingin membincangkan ‘budaya kuning’ yang menular sejak bayi dalam kandungan lagi. Walaupun tidak dinafikan, banyak budaya yang merisaukan kian menapak dalam masyarakat kita.
Pernahkah anda dengar tentang neonatal jaundice atau bayi baru lahir yang kelihatan kuning? Pada kesempatan ini, saya ingin berkongsi maklumat tentang ‘Neonatal Jaundice’ atau kadang kala dipanggil Demam Kuning. Diharap maklumat ini dapat memberi manfaat kepada ibu bapa dan penjaga sekalian.
Apakah itu ‘Neonatal Jaundice’ (NNJ) atau kuning bayi?
‘Neonatal’ bermaksud bayi yang berusia sebulan ke bawah manakala ‘jaundice’ pula secara amnya mengambarkan keadaan apabila bayi itu kelihatan berwarna ‘kuning’.
Jadi ringkasnya, NNJ adalah keadaan apabila bayi yang baru lahir kelihatan kuning.
Mengapakah bayi kelihatan kuning?
Warna kuning pada kulit, mata putih serta tisu mukosa dalam mulut bayi adalah disebabkan oleh tahap bahan yang dipanggil ‘bilirubin’ lebih tinggi daripada biasa.
Dari mana datangnya bilirubin itu?
Bilirubin adalah bahan yang terdapat dalam sel darah merah manusia. Bilirubin juga dirembeskan oleh hati yang berperanan dalam sistem pencernaan. Jadi, kandungan bilirubin yang tinggi boleh disebabkan oleh ‘pemecahan’ sel darah merah yang membebaskan bilirubin atau terdapat masalah dalam sistem hati serta salurannya.
Adakah normal untuk bayi menjadi kuning?
Jawapan bagi soalan ini boleh jadi ‘ya’ dan juga ‘tidak’. Ia bergantung kepada ‘jenis‘ bilirubin tersebut, ‘masa‘ bayi didapati kelihatan kuning dan tahap bacaan bilirubin dalam darah.
Bayi lazimnya memang akan menjadi kuning. Kuning bayi selalunya mula dilihat pada usia 2-3 hari setelah kelahiran. Bayi menjadi kuning kerana proses semulajadi yang berlaku secara perlahan-lahan, di mana badan akan ‘membuang’ sel-sel darah merah yang ‘lama’ (digunakan sejak daripada dalam kandungan) dan digantikan dengan sel darah merah yang baru. Faktor fungsi hati yang belum benar-benar matang juga turut menyumbang kepada keadaan kuning ini. Bilirubin yang terkumpul dalam darah akan dinyahkan daripada badan melalui najis bayi. Jadi adalah sangat penting untuk memastikan bayi terus diberi susu badan dengan secukupnya.
Walaupun kuning bayi adalah ‘normal’, namun tahap bilirubin yang terlalu tinggi akan mengubah keadaan ini menjadi ‘tidak normal’. Tahap bilirubin daripada sel darah merah (unconjugated bilirubin) yang terlalu tinggi adalah toksik kepada sel otak. Ini adalah sangat merbahaya kerana otak merupakan pusat kawalan seluruh badan. Dalam kes-kes yang serius, ia boleh menyebabkan kecacatan kekal pada sistem otak.
Oleh itu, bayi yang kelihatan kuning perlu dibawa ke klinik untuk pemeriksaan. Darah selalunya akan diambil untuk menilai jenis dan tahap bilirubin tersebut. Terdapat graf yang dirujuk oleh pengamal perubatan untuk menilai tahap bilirubin. Graf ini penting untuk membantu para doktor membuat keputusan samada rawatan yang spesifik perlu diberikan atau tidak. Sekiranya kandungan bilirubin tidak terlalu tinggi, bayi boleh dijaga seperti biasa dan dan ibu bapa serta penjaga perlu memastikan bayi disusukan dengan secukupnya. Sejumlah besar bayi yang mengalami NNJ tidak memerlukan rawatan spesifik dan keadaan ini akan pulih dengan sendirinya.
Sekiranya perlu, rawatan akan diberikan untuk menurunkan tahap bilirubin tersebut. Terdapat 2 jenis rawatan, samada lampu UV (ultraviolet) atau proses pertukaran darah yang juga dikenali sebagai ‘exchange transfusion’. Kaedah rawatan bergantung kepada tahap bilirubin di dalam darah. Kepekaan ibu bapa dan sikap tidak berlengah untuk mendapatkan pemeriksaan sememangnya sangat penting dalam pencegahan keadaan demam kuning yang merbahaya.
Apakah tempoh NNJ yang normal?
Kuning bayi masih boleh dianggap normal jika tahap bilirubin (jenis unconjugated) tidak terlalu tinggi dan umur bayi dalam lingkungan 14 hari bagi bayi matang dan 21 hari bagi bayi pra matang. Sekiranya bayi masih kelihatan kuning setelah melepasi tempoh tersebut, pemeriksaan perlu dijalankan untuk memastikan ‘jaundice’ tersebut tidak disebabkan oleh masalah – masalah kesihatan yang lain.
Bayi yang diberi susu badan boleh kelihatan kuning dalam tempoh yang lebih lama kerana faktor kematangan hati tetapi keadaan ini tidak memerlukan rawatan dan akan beransur hilang dengan sendirinya. Diharap ini tidak menjadikan sebab bagi para ibu bapa serta penjaga berhenti memberikan susu badan dan bertukar kepada susu formula. Penyusuan ibu secara ekslusif adalah yang terunggul dan terbaik untuk bayi walaupun kelihatan kuning melainkan dinasihatkan secara khusus oleh doktor. Susu ibu sesuai untuk semua bayi kecuali sebilangan kecil kes-kes tertentu.
Bila pula jaundis itu tidak normal?
- Jaundis yang hadir terlalu awal (kelihatan dalam tempoh beberapa jam setelah kelahiran)
- Tahap bilirubin yang terlalu tinggi
- Jika bayi kelihatan kuning dan terdapat tanda-tanda lain seperti air kencing berwarna pekat serta tinja kelihatan ‘pucat’ – menandakan ada masalah dalam sistem saluran hati
- Jika komponen bilirubin yang tinggi adalah daripada komponen berkaitan dengan hati (conjugated bilirubin) – ini dapat ditentukan oleh doktor daripada keputusan darah
- Jaundis yang disebabkan oleh jangkitan atau masalah kesihatan yang lain
Kesimpulan
Pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan. Bersegera untuk mendapatkan pemeriksaan mampu mengurangkan komplikasi penyakit kuning. Keadaan kuning bayi adalah perkara lazim tetapi boleh menjadi serius jika tidak dipantau. Ikutilah nasihat pengamal perubatan setelah bayi dibenarkan pulang ke rumah. Elakkan daripada memberi bayi cecair lain (contoh : air kosong , jus buah, air beras) kecuali susu badan. Pengambilan sesetengah jamu oleh ibu yang menyusu badan juga dikaitkan dengan kenaikan tahap bilirubin dalam bayi. Disebabkan itu, penggunaan jamu tidak digalakkan oleh para doktor dalam kes kes NNJ.
Dr. Alya Hamzah seorang pegawai perubatan kanak-kanak yang bekerja di Selangor dan beliau sedang mempersiapkan diri untuk peperiksaan pasca-ijazah pediatrik. Beliau percaya perjalanan menuju kesihatan yang baik haruslah ditempuhi oleh pesakit dan doktor, bersama-sama. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]