Berdasarkan laporan tahun 2012, barah serviks adalah kanser kedua paling kerap dialami oleh wanita Malaysia. 2145 kes baru barah serviks dikesan pada setiap tahun, dan sebanyak 621 kematian akibat barah serviks telah direkodkan pada tahun 2012. Ini bermakna setiap hari, 6 kes baru barah serviks dikesan pada wanita Malaysia dan hampir 2 wanita mati akibat penyakit tragik ini. Barah serviks adalah kanser wanita ketiga paling kerap pada tahun 2007.
Usaha pencegahan untuk mengurangkan kes-kes barah servikal adalah penting untuk menjaga kesihatan dan menyelamatkan nyawa wanita serta mengekalkan kesihatan seluruh negara.
Antara langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil adalah imunisasi virus Human Papilloma (HPV) untuk gadis-gadis remaja, Pap smears dan ujian virus Human Papilloma untuk wanita-wanita yang aktif secara seksual serta mendidik pesakit tentangnya. Usaha-usaha secara berkerjasama dan pendekatan pelbagai strategi serentak adalah lebih efektif dalam memerangi penyakit maut ini.
Kementrian Kesihatan Malaysia telah memperkenalkan program imunisasi HPV untuk gadis-gadis 13 tahun yang akan mengambilnya secara sukarela di seluruh negara pada 2010, menjadikan Malaysia sebagai salah satu antara beberapa buah negara di rantau Asia Pasifik yang menawarkan program penting ini bagi menyelamatkan nyawa kanak-kanak perempuan. Program ini mengikut langkah kebanyakan negara Eropah dan Amerika Syarikat dalam menjadikan kesihatan wanita dan kanak-kanak perempuan sebagai kepentingan utama. Hal ini merupakan usaha paling berani dan bersungguh-sungguh terhadap penjagaan kesihatan wanita dan semestinya salah satu pencapaian terbesar kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam bidang kesihatan wanita.
K Gadis-gadis awal belasan tahun dipilih untuk program imunisasi HPV ialah kerana pencegahan barah serviks menerusi vaksin adalah lebih berkesan sebelum bermulanya aktiviti seksual. Kumpulan umur tersebut juga menunjukkan respon antibodi paling tinggi terhadap vaksin. Mengikut resam perkara, ini bermaksud perlindungan yang lebih lama dan lebih baik akan dapat dicapai melalui vaksin tersebut.
Tahap sensitiviti ujian Pap smear adalah 56% hingga 83%.Jika diambil nilai purata, ianya hanya dianggarkan sebanyak 70% sensitif sahaja. Berdasarkan nilai ini, sekiranya ujian Pap smear didapati negatif, ini bermaksud peluang wanita tersebut tidak mempunyai penyakit berkaitan dengan kanser serviks atau pra-kanser adalah hanya 70%, kerana purata ketepatan ujian Pap smear hanya 70%. Oleh itu, disebabkan rangka masa kanser berkembang yang panjang dan ketidaktepatan relatif keputusan ujian Pap smear, ujian ini sebaiknya diulangi pada kadar yang tetap, biasanya 3 tahun sekali.
Bagi meningkatkan ketepatan ujian Pap smear, tambahan ujian sampingan virus Human Papilloma disyorkan. Sekiranya kedua-dua ujian terhasil negatif, kemungkinan wanita tersebut mendapat kanser serviksl atau pra-kanser dalam jangka masa 5 tahun sangat rendah dan tempoh ulangan ujian boleh dipanjangkan kepada 5 tahun sekali.
Ambil perhatian bahawa wanita-wanita yang seeloknya menjalani ujian HPV/Pap smear ialah mereka yang berumur 30 tahun ke atas. Wanita bawah umur 30 tahun tidak dinyatakan untuk menjalani ujian HPV/Pap smear kerana insiden jangkitan HPV dalam kumpulan umur yang lebih muda secara relatif lebih tinggi, dan kebanyakan jangkitan adalah sementara tanpa akibat berbahaya. Oleh itu, menjalankan ujian-ujian tersebut bagi wanita-wanita muda bawah umur 30 tahun boleh membawa kepada lebih banyak prosedur yang mungkin membahayakan tanpa faedah pencegahan barah.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mencadangkan kaedah pencegahan barah serviks primer (tahap pertama) menerusi vaksin diberikan kepada kanak-kanak wanita dalam berumur 9 hingga 13 tahun sebelum permulaan aktiviti seksual dan pencegahan sekunder (tahap kedua) dengan hanya Pap smear atau bersama ujian HPV dilakukan pada wanita berumur 30 hingga 49 tahun sekurang-kuranya sekali seumur hidup.
Adalah penting untuk kita sedar bahawa kebanyakan wanita muda akan mendapat jangkitan HPV sejurus selepas permulaan aktiviti seksual dan kebanyakan jangkitan adalah bersifat sementara. Jangkitan HPV berterusan dengan jenis virus berisiko tinggi yang mungkin akan berkembang menjadi pra-barah serviks dan akhirnya barah.
Jangkitan HPV kebanyakannya berlaku melalui hubungan seks. Oleh itu semua wanita yang aktif secara seksual berisiko mendapat barah serviks.
Usaha global dalam mencegah barah serviks terhad kepada sumber-sumber yang ada termasuklah sumber negara Malaysia; serta kesedaran yang semakin meningkat bahawa meletakkan kesihatan wanita di barisan depan matlamat negara adalah penting kepada ekonomi dan kesihatan bangsa.
Izinkan saya mengakhiri rencana ini dengan berkongsi cerita seorang gadis British yang meninggal dunia akibat penyakit ini pada umur 23 tahun pada tahun 2012. Nama beliau Mercedes Curnow. Berikut adalah petikan daripada laman Facebook Yayasan Mercedes Foundation melaporkan pemergian beliau.
“Menahan tangisan, Sandra Cousins memegang erat tangan anak perempuannya sambil melihatnya mengambil nafas terakhir, “Ibu, saya pergi dulu”, Mercedes, 23, membisik sambil matanya perlahan-lahan tutup.
Berat badan hanya 14 pound dan rambutnya pendek akibat kesan kemoterapi, beliau akhirnya tewas dalam peperangan ke atas penyakit yang telah memakan usia mudanya. Hanya 18 bulan sebelum itu, Mercedes seorang gadis yang periang dengan masa hadapan yang cerah. Kini beliau terbaring kaku di biliknya yang berwarna terang, dinding berhias bunga-bunga merah jambu dan bentuk-bentuk hati.”
Tiada ibu, ayah, keluarga, suami, anak perempuan dan anak lelaki perlu menderitai tragedi yang boleh dicegah sepenuhnya.
Kita perlu membuat keputusan sebagai sebuah masyarakat bahawa nyawa para wanita bernilai untuk diselamatkan. Kita mempunyai semua ilmu dan teknologi untuk membendung penyakit ini. Tetapi, kekurangan motivasi untuk mengecilkan jurang antara apa yang kita tahu dan apa yang perlu dilakukan telah terbukti membawa maut kepada ramai wanita dan akan terus memusnahkan keluarga sehingga kita lakukan apa yang betul untuk wanita.
Dr. John Teo seorang ahli obstetrisian dan ginekologi di Sabah. Beliau bertugas sebagai Penasihat Perubatan kepada Persatuan Perancang Keluarga peringkat negeri dan terlibat secara ekstensif dalam pendidikan pencegahan HPV dan pencegah kehamilan di seluruh negara. Beliau mempunyai minat yang mendalam terhadap kesihatan wanita dan hak reproduktif. Rencana ini diterjemahkan dari yang asal di pautan https://www.mmgazette.com/the-burden-of-cervical-cancer-and-its-prevention-dr-john-teo/ oleh Nur Nadhirah.
Rujukan:
- MOH cancer statistics 2007
- Konnon R et al, Vaccine 2008, 265
- US preventive services task force recommendation March 2012
- HPV and related diseases report , Malaysia, December 2014
- WHO guidance note, comprehensive cervical cancer prevention and control: A healthier future for girls and women, 2013
- WHO media center, HPV and cervical cancer, Nov, 2014
- Mercedes Curnow foundation Facebook.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]